KUALA LUMPUR 16 Mac - Operasi mencari
dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 di Lautan Hindi jauh lebih sukar dan boleh
mengambil masa lama berbanding Laut China Selatan memandangkan kawasannya yang
sangat luas selain kedalaman yang mencecah 7,000 meter di beberapa tempat.
Pakar Ukur Hidrografi dan
Pemetaan Dasar Laut, Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah, Universiti Teknologi
Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Razali Mahmud berkata, alat teknologi sonar
yang dinamakan pemerum gema berbilang alur (PGBA) boleh digunakan untuk
menjalankan pencarian namun tidak semudah yang dijangka.
Ini, katanya, untuk memastikan
proses pencarian berjalan lancar, setiap inci dasar laut perlu diperiksa dan
sehingga hari ini belum ada pihak yang pernah memetakan keseluruhan Lautan
Hindi.
Selain itu, beliau menjelaskan,
teknologi PGBA yang dimiliki pusat hidrografi negara terhad kepada kedalaman
1,000 meter sahaja kerana berdasarkan situasi perairan negara.
"Kalau SAR tahu di mana
lokasi maka boleh melakukan penumpuan tetapi mengikut keadaan sekarang,
pencarian perlu dilakukan secara sistematik iaitu setiap inci dasar laut perlu
dipetakan untuk memastikan tiada kawasan yang tertinggal kerana kita khuatir
tempat yang terlepas itulah menjadi lokasi pesawat.
"Kedalaman maksimum Lautan
Hindi adalah 7,000 meter namun puratanya 4,000 meter sahaja. Meskipun begitu,
Malaysia tidak ada teknologi PGBA pada kedalaman itu maka kita perlukan bantuan
negara lain atau menggunakan teknologi PGBA daripada syarikat cari gali
minyak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Razali mengulas pencarian
pesawat MH370 yang kini ditumpukan di dua koridor selepas SAR sebelum ini
difokuskan di sekitar Laut China Selatan dan Selat Melaka.
Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak semalam berkata, pencarian di koridor utara bermula dari
sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand manakala
koridor selatan mengunjur dari Indonesia ke utara Lautan Hindi.
Menurut Mohd. Razali, Malaysia
sangat memerlukan kerjasama daripada negara lain memandangkan pencarian
tersebut memerlukan jumlah aset yang banyak selain pembahagian kawasan yang
sistematik.
"Kalau hanya Malaysia yang
cari, kita cuma ada kapal KD Perantau untuk bekerja, jadi masa yang digunakan
memang terlalu lama malah saya sendiri tidak boleh membuat jangkaan.
"Untuk mencari di Lautan
Hindi tidak boleh ada ruang yang ditinggalkan sebab itulah mesti ada koordinasi
antara pihak yang terlibat dengan SAR dan saya harap negara lain terus memberi
bantuan kepada kita," tambahnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140317/dn_12/Operasi-mencari-di-Lautan-Hindi-lebih-sukar---Pakar#ixzz2wAlpAHqB
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment