SEORANG juruterbang Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengkaji peta di dalam sebuah pesawat Pengawal
Pantai Jepun dalam misi mencari pesawat MH370 yang hilang di Laut China Selatan
semalam.
KUALA LUMPUR – Para penyiasat
kini percaya bahawa sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) telah dikemudikan
oleh seseorang yang berkemahiran tinggi bagi mengelak pergerakan kapal terbang
itu dikesan radar, kata seorang pegawai kanan tentera Malaysia kepada agensi
berita AFP semalam.
Radar tentera Malaysia
menunjukkan pesawat Boeing 777-200 itu telah mengubah arah semasa dalam
penerbangan ke Beijing, China dan ia dipercayai menuju ke arah Lautan Hindi.
“Dia (juruterbang itu) seorang
yang berkemahiran tinggi, cekap dan merupakan seorang juruterbang.
“Juruterbang itu mengetahui
cara untuk mengelakkan pesawat itu dikesan radar. Dia telah membuat kajian
tentang cara untuk mengelakkan pesawat itu dikesan (radar),” kata pegawai
tersebut yang enggan namanya disiarkan.
Rumusan itu dibuat selepas
agensi berita AP melaporkan kelmarin bahawa satelit Inmassat menerima lima atau
enam isyarat ’ping’ atau denyut elektronik selama empat jam dari pesawat
tersebut
Akhbar Washington Post melaporkan,
transponder pesawat itu yang menerima isyarat dari menara kawalan dimatikan 30
minit selepas berlaku komunikasi suara terakhir dari kokpit MH370.
Komunikasi dari pesawat itu
ialah: “Baiklah, selamat malam.”
Agensi berita AFP melaporkan,
seorang pensyarah penerbangan di Politeknik Temasek, Singapura Paul Yap
menyatakan terdapat dua keadaan yang boleh menyebabkan transponder itu
dimatikan.
“Pertamanya, orang yang
terlibat menutup transponder itu dengan sengaja ialah iaitu juruterbang dan
orang yang bersengkokol dengannya.
“Kita turut berdepan dengan
senario apabila para pengganas memaksa juruterbang itu mengubah arah haluan dan
menutup transponder ketika dures (ancaman). Pengganas itu mungkin mengancam
untuk membunuh penumpang,” katanya.
Beberapa penganalisis berkata,
transponder MH370 ditutup ketika pesawat itu berada pada paras altitud
penerbangan yang membolehkan juruterbang pergi ke tandas atau menikmati minuman
kopi.
Menurut akhbar New York Times,
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbarnya semalam
menyentuh tentang kawasan komunikasi terakhir antara pesawat itu dengan
satelit.
Najib berkata, komunikasi kali
terakhir antara pesawat itu dengan sebuah satelit mungkin berlaku di laluan
koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan
Turkmenistan sehingga ke utara Thailand.
Komunikasi terakhir pesawat
dengan satelit itu juga mungkin berlaku di laluan koridor selatan dari Indonesia
sehingga ke selatan Lautan Hindi.
Menurut Najib, pasukan
penyiasat sedang berusaha untuk memperhalusi lagi maklumat ini.
Namun, akhbar itu melaporkan
lalun koridor utara itu terletak berhampiran kawasan yang dianggap paling
bergolak di dunia dan menempatkan kumpulan-kumpulan pemberontak.
Namun, laluan tersebut juga
mempunyai rangkaian pertahanan udara yang dikendalikan tentera AS.
Laluan koridor utara itu turut
meliputi Iran, Afghanistan, utara Pakistan, utara India, banjaran Himalaya dan
Myanmar
Bagaimanapun, koridor utara itu
mempunyai beberapa buah pangkalan tentera milik AS dan anggota Pertubuhan
Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan yang wujud sejak lebih sedekad
lalu.
Sebuah angkalan tentera yang
terdapat berhampiran koridor utara itu adalah di Bagram, Afghanistan milik
tentera AS.
Akhbar itu melaporkan laluan
koridor selatan yang dinyatakan Najib itu bermula dari Indonesia ke selatan
Lautan Hindi.
BEBERAPA anggota Pengawal
Pantai Jepun memeriksa tayar sebuah pesawat yang akan berlepas dari Lapangan
Terbang Subang, Kuala Lumpur untuk mencari pesawat MH370 di Laut China Selatan
semalam. - Reuters
Transponder
Menurut laporan akhbar
tersebut, jika pesawat berkenaan melalui koridor selatan, ia akan melintasi
kawasan dekat Kepulauan Cocos milik Australia.
Kepulauan kecil yang mempunyai
penduduk kurang 1,000 orang itu mempunyai sebuah lapangan terbang kecil.
Justeru, seorang pengasas
perkhidmatan pengesan global Flightradar24, Mkael Robertson menyatakan, cara
komunikasi pesawat itu diputuskan menunjukkan terdapat penglibatan seseorang
yang mempunyai kepakaran dalam bidang penerbangan dan mengetahui laluan udara.
Menurut Robertson kepada akhbar
tersebut, kepakaran penerbangan itu kemungkinan dimiliki oleh seorang kru
pesawat.
Beliau berkata, signal
transponder yang ditutup bagi mengelak pesawat tersebut dikesan radar selepas
ia berlepas dari lapangan terbang menunjukkan terdapat seseorang yang sengaja
melakukan perbuatan itu untuk sesuatu tujuan.
Akhbar New York Times
melaporkan, seorang individu yang telah mendengar taklimat berhubung
perkembangan siasatan pesawat tersebut menyatakan, kotak komunikasi yang terdapat
di dalam pesawat MH370 itu merupakan generasi lama yang tidak dilengkapi dengan
sistem kedudukan sejagat (GPS).
Seramai 153 penumpang dalam
pesawat itu ialah warga China.
Pesawat itu membawa 227
penumpang dan 12 kru itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur pada pukul 12.40 pagi.
Komunikasi kali terakhir kapal
terbang tersebut dengan menara kawalan trafik awam adalah pada pukul 1.21 pagi.
Kehilangan pesawat itu kemudian
mencetuskan misteri kerana tiada serpihan badan Boeing 777-200 yang ditemui di
Laut China Selatan dan Selat Melaka selepas operasi mencari kapal terbang
berkenaan dilancarkan dengan melibatkan beberapa buah negara sejak 8 Mac lalu.
Pesawat itu dipandu
juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid,
27.
Dua penumpang Iran dikenal
pasti menggunakan pasport curi yang menaiki pesawat itu ialah Pouri Nour
Mohammadi, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Reza, 29.
Pouri menggunakan pasport
Austria manakala Delavar menggunakan pasport Itali yang telah dicuri di
Thailand.
Penumpang lain yang menaiki
pesawat itu ialah 38 warga Malaysia, tujuh orang penduduk Indonesia, enam warga
Australia, lima warga India, empat rakyat Perancis, tiga warga AS dan dua warga
New Zealand.
Turut menaiki pesawat MH370
ialah dua warga Ukraine, dua warga Kanada, Rusia (1), Taiwan (1) dan Belanda
(1). – Agensi
KOSMO ONLINE 16.3.14
No comments:
Post a Comment