BEBERAPA saudara-mara penumpang
MH370 mengikuti siaran langsung sidang akhbar Najib Tun Razak di Hotel Lido,
Beijing semalam.
BEIJING - Saudara-mara penumpang
pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang pada 8 Mac lalu menyuarakan
perasaan bimbang dan ketakutan semalam selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk
Seri Najib Tun Razak mengumumkan kapal terbang itu telah menukar arah
penerbangan secara sengaja semasa ia terbang ke Beijing.
Saudara-mara 153 warga China
yang menaiki pesawat MH370 itu berhimpun di Hotel Lido di sini semasa mereka
menyaksikan pengumuman Najib berhubung perkembangan pencarian pesawat tersebut
yang masih gagal ditemui.
Penjelasan Perdana Menteri
Malaysia itu memberikan sedikit kelegaan kepada saudara-mara penumpang
tersebut.
Namun, terdapat sebilangan
saudara-mara tersebut yang mengesyaki berlakunya perbuatan khianat berhubung
kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu.
"Saya berpendapat MAS
mempunyai peranan dalam insiden itu," kata Wen Wancheng yang merupakan
bapa kepada seorang penumpang lelaki pesawat tersebut kepada pemberita.
Dia yang berasal dari wilayah
Shandong menyuarakan keraguannya berhubung perkembangan terbaharu tersebut.
Wancheng menganggap terdapat
konspirasi dalam kehilangan pesawat itu.
"Masa pesawat itu hilang
sebelum ini ialah 1.21 pagi dan kini masa itu berubah kepada pukul 8.11
pagi," katanya.
Beberapa saudara-mara penumpang
memberitahu agensi berita AFP, mereka berasa kecewa kerana kekurangan maklumat
tentang lokasi sebenar pesawat yang hilang itu semasa pertemuan selama dua jam
dengan wakil-wakil syarikat penerbangan tersebut di sini semalam.
"Saya berasa kecewa dengan
mereka (wakil-wakil MAS)," kata seorang saudara kepada penumpang pesawat
berkenaan yang merujuk kepada kerajaan Malaysia dan China.
"Mereka tidak memberitahu
sebarang perkara baharu kepada kami," tambahnya.
Pesawat MAS itu membawa 227
penumpang dan 12 kru semasa ia hilang daripada dikesan radar pada awal pagi 8
Mac lalu. - Agensi
KOSMO ONLINE 16.3.14
No comments:
Post a Comment