Ad

Saturday, 15 March 2014

Keluarga penumpang MH370 di China diselubungi kebimbangan

 
BEBERAPA saudara-mara penumpang MH370 mengikuti siaran langsung sidang akhbar Najib Tun Razak di Hotel Lido, Beijing semalam.

BEIJING - Saudara-mara penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang pada 8 Mac lalu menyuarakan perasaan bimbang dan ketakutan semalam selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kapal terbang itu telah menukar arah penerbangan secara sengaja semasa ia terbang ke Beijing.

Saudara-mara 153 warga China yang menaiki pesawat MH370 itu berhimpun di Hotel Lido di sini semasa mereka menyaksikan pengumuman Najib berhubung perkembangan pencarian pesawat tersebut yang masih gagal ditemui.

Penjelasan Perdana Menteri Malaysia itu memberikan sedikit kelegaan kepada saudara-mara penumpang tersebut.

Namun, terdapat sebilangan saudara-mara tersebut yang mengesyaki berlakunya perbuatan khianat berhubung kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu.

"Saya berpendapat MAS mempunyai peranan dalam insiden itu," kata Wen Wancheng yang merupakan bapa kepada seorang penumpang lelaki pesawat tersebut kepada pemberita.

Dia yang berasal dari wilayah Shandong menyuarakan keraguannya berhubung perkembangan terbaharu tersebut.

Wancheng menganggap terdapat konspirasi dalam kehilangan pesawat itu.

"Masa pesawat itu hilang sebelum ini ialah 1.21 pagi dan kini masa itu berubah kepada pukul 8.11 pagi," katanya.

Beberapa saudara-mara penumpang memberitahu agensi berita AFP, mereka berasa kecewa kerana kekurangan maklumat tentang lokasi sebenar pesawat yang hilang itu semasa pertemuan selama dua jam dengan wakil-wakil syarikat penerbangan tersebut di sini semalam.

"Saya berasa kecewa dengan mereka (wakil-wakil MAS)," kata seorang saudara kepada penumpang pesawat berkenaan yang merujuk kepada kerajaan Malaysia dan China.

"Mereka tidak memberitahu sebarang perkara baharu kepada kami," tambahnya.

Pesawat MAS itu membawa 227 penumpang dan 12 kru semasa ia hilang daripada dikesan radar pada awal pagi 8 Mac lalu. - Agensi
 KOSMO ONLINE 16.3.14

No comments:

Post a Comment