Hishammuddin Tun Hussein
bersama Khalid Abu Bakar (kanan), Azharuddin Abdul Rahman (dua dari kiri) dan
Ahmad Jauhari Yahya ketika mengadakan sidang akhbar di Hotel Sama-Sama, Sepang,
semalam.
SEPANG 16 Mac - Usaha mencari
dan menyelamat penumpang pesawat MH370 telah menjadi usaha multinasional
melibatkan 25 negara dengan dipimpin oleh Malaysia.
Pemangku Menteri Pengangkutan,
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, fasa baharu pencarian pesawat
MH370 adalah lebih rumit dan susah kerana bukan sahaja melibatkan lautan dalam
dan kawasan terpencil, tetapi turut membabitkan kawasan tanah luas menjangkau
11 negara.
Beliau berkata, Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghubungi pemimpin tertinggi
Bangladesh, Turkmenistan, Kazakhstan dan India untuk membantu dalam usaha
mengesan pesawat MH370 yang hilang lebih seminggu lalu.
Menurutnya, Kementerian Luar
pada masa yang sama turut memberi taklimat kepada wakil dari 22 negara serta
meminta bantuan termasuk pembekalan data radar tentera, data satelit selain
bantuan lain yang difikirkan sesuai.
"Negara-negara ini
termasuk Kazakhstan, Turkmenistan, Uzbekistan, Pakistan, Bangladesh, India,
China, Myanmar, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Australia.
"Pencarian di kawasan yang
lebih luas memberi cabaran baharu dalam soal penyelarasan usaha mencari dan
menyelamat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Polis
Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam,
Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad
Jauhari Yahya.
Menurut Hishammuddin, Kuala
Lumpur menghargai sokongan padu yang diberikan oleh masyarakat antarabangsa
untuk membantu Malaysia mengesan pesawat MH370.
"Pasukan dari Satelit
Inmarsat turut sampai di Malaysia untuk membantu mengenal pasti kedudukan pesawat
ini," katanya.
Perdana Menteri sebelum ini
berkata, berdasarkan komunikasi dengan satelit, pesawat MH370 boleh berada di
koridor utara yang meliputi utara Thailand hingga sempadan
Kazakhstan-Turkmenistan atau di koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia
hingga selatan Lautan Hindi.
Mengenai andaian pesawat MH370
akan menuju ke koridor selatan jika individu yang mengawalnya berniat membunuh
diri dan pesawat akan menghala ke koridor utara jika juruterbangnya menyimpan
motif politik, Hishammuddin berkata, siasatan misteri kehilangan pesawat MH370
tidak dilakukan berdasarkan andaian tersebut.
Sementara itu, Kementerian
Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, tumpuan sama akan diberikan kepada
koridor utara dan selatan dalam usaha mengesan pesawat MH370.
Menurut kenyataan itu, Malaysia
akan berbincang dengan rakan-rakannya mengenai cara terbaik untuk menghantar
aset ke koridor utara dan selatan.
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140317/dn_04/Kini-operasi-libatkan-25-negara#ixzz2wAmvId9A
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment