NAJIB Tun Razak membaca
kenyataan semasa sidang media mengenai kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia
(MAS) MH370 yang turut dihadiri Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein (dua dari kiri), Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah
Zainuddin (kiri), Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin
Abdul Rahman (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad
Jauhari Yahya (kanan) di Hotel Sama-Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
KUALA LUMPUR 15 Mac - Berikut
ialah kenyataan akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang:
Tujuh hari lepas, pesawat MAS
penerbangan MH370 hilang. Kami sedar ini merupakan detik-detik amat menyeksakan
bagi keluarga penumpang yang menaiki pesawat itu. Tiada kata-kata yang dapat
menggambarkan keperitan yang sedang mereka alami. Sesungguhnya, perasaan
simpati dan doa kami sentiasa bersama mereka.
Saya meneliti operasi mencari
pesawat itu sepanjang masa. Pada peringkat awal operasi, saya mengarahkan
supaya kawasan mencari diperluaskan; saya mengarahkan pihak berkuasa Malaysia
berkongsi semua maklumat berkenaan secara bebas dan telus dengan pasukan
penyiasat yang semakin besar; dan saya meminta sahabat dan sekutu kami supaya
menyertai operasi ini. Sehingga hari ini, sebanyak 14 negara, 43 kapal dan 58
pesawat terlibat dalam usaha ini.
Saya ingin mengucapkan terima
kasih kepada semua kerajaan yang memberi pertolongan dalam saat-saat yang amat
getir ini. Sejak hari pertama lagi, pihak berkuasa Malaysia bekerjasama rapat
dengan rakan kami di peringkat antarabangsa - termasuk negara jiran, pihak
berkuasa penerbangan dan pasukan mencari dari pelbagai negara - kebanyakan
mereka berada di sini sejak Ahad lepas.
Kami telah berkongsi maklumat
secara tepat masa dengan pihak berkuasa yang memiliki pengalaman diperlukan
bagi mentafsir data yang ada. Kami berusaha tanpa henti untuk membantu
penyiasatan. Dan kami meletakkan kepentingan negara di tempat kedua dalam usaha
mencari pesawat yang hilang itu. Ramai yang faham bahawa situasi ini belum
pernah terjadi sebelum ini.
Kami menjalankan operasi
mencari di darat, di Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan
Hindi. Pada setiap peringkat, kami bertindak berdasarkan maklumat yang disahkan
dan kami memberi tumpuan terhadap setiap petunjuk yang boleh dipercayai.
Memang wujud pelbagai
spekulasi. Kami faham keperluan mendesak untuk mendapatkan maklumat bagi pihak
keluarga terbabit dan mereka yang memerhati di seluruh dunia. Namun demikian,
tanggungjawab kami kepada penyiasatan dan keluarga terbabit adalah untuk hanya
mengeluarkan maklumat yang sudah disahkan.
Dan perkara yang memberi
motivasi kepada kami ialah untuk mencari pesawat berkenaan. Dalam fasa pertama
operasi mencari, kami melakukan pencarian berhampiran posisi terakhir MH370
yang diketahui iaitu di Laut China Selatan. Pada waktu yang sama, kami dimaklumkan
oleh Tentera Udara Diraja Malaysia bahawa menurut radar utama mereka, sebuah
pesawat udara - yang identitinya tidak dapat disahkan - telah berpatah balik.
Data radar utama ini
menunjukkan bahawa pesawat udara berkenaan menggunakan laluan penerbangan yang
membawanya ke satu kawasan di utara Selat Melaka. Berdasarkan data yang boleh
dipercayai ini, yang kemudiannya disahkan dengan pihak berkuasa antarabangsa
berkaitan, kami meluaskan kawasan mencari hingga meliputi Selat Melaka dan
kemudiannya Laut Andaman.
Awal pagi tadi, saya diberi
taklimat oleh pasukan penyiasat - yang dianggotai FAA, NTSB, AAIB, pihak
berkuasa Malaysia serta Pemangku Menteri Pengangkutan - mengenai maklumat
baharu yang memberi lebih banyak petunjuk tentang apa yang berlaku kepada
MH370.
Berdasarkan maklumat terbaharu
satelit, kami boleh menyatakan dengan tahap kepastian yang tinggi bahawa Sistem
Pengendalian Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) dimatikan sejurus sebelum
pesawat berkenaan sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia. Sejurus selepas
itu, berhampiran sempadan kawalan trafik udara antara Malaysia dan Vietnam,
transponder pesawat itu dimatikan.
Mulai saat itu, radar utama
Tentera Udara Diraja Malaysia menunjukkan sebuah pesawat, yang dipercayai -
tetapi tidak disahkan - MH370 memang berpatah balik. Ia kemudian terbang semula
ke arah barat melalui Semenanjung Malaysia, sebelum membelok ke arah barat
laut. Sepanjang tempoh itu, sehinggalah ia hilang daripada liputan radar utama
tentera, pergerakan yang berlaku menunjukkan ia adalah hasil tindakan secara
sengaja oleh seseorang yang berada di dalam pesawat berkenaan.
Hari ini, berdasarkan data
satelit belum proses yang diperoleh daripada penyedia perkhidmatan data
satelit, kami boleh mengesahkan bahawa pesawat yang ditunjukkan di dalam radar
utama itu adalah penerbangan MH370. Selepas banyak kajian forensik dibuat dan
perbincangan mendalam diadakan, FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia,
yang mengkaji data itu secara berasingan, memberi pendapat yang sama.
Menurut data baharu itu,
komunikasi terakhir yang disahkan berlaku antara pesawat itu dengan satelit
ialah pada pukul 8.11 pagi waktu Malaysia, Sabtu, 8 Mac. Pasukan penyiasat
sedang membuat kiraan selanjutnya untuk mengetahui hingga sampai ke mana
pesawat itu mungkin terbang selepas kali terakhir ia mempunyai hubungan. Ini
akan membantu kami memperhalusi lagi usaha mencari.
Berikutan jenis data satelit
yang ada, kami tidak dapat mengesahkan lokasi tepat pesawat itu berada ketika
kali terakhir ia mempunyai hubungan dengan satelit.
Bagaimanapun, berdasarkan data
baharu ini, pihak berkuasa Penerbangan Malaysia dan rakan antarabangsanya
memutuskan bahawa komunikasi kali terakhir antara pesawat itu dengan satelit
berlaku di satu daripada dua koridor ini, koridor utara yang menjangkau lebih
kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand, atau
koridor selatan dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. Pasukan
penyiasat sedang berusaha untuk memperhalusi lagi maklumat ini.
Berikutan perkembangan
terbaharu ini, pihak berkuasa Malaysia mengalih fokus penyiasatan mereka kepada
petugas dan penumpang pesawat berkenaan. Walaupun terdapat laporan media bahawa
pesawat itu telah dirampas, saya ingin menegaskan dengan sejelas-jelasnya
bahawa kami sedang menyiasat semua kemungkinan yang boleh menyebabkan MH370
melencong dari laluan asal penerbangannya.
Maklumat satelit terbaharu ini
memberi kesan penting terhadap bentuk dan skop operasi mencari. Kami telah
menghentikan operasi kami di Laut China Selatan dan menilai semula penggunaan
aset kami. Kami sedang bekerjasama dengan negara berkaitan dan memohon mereka
memberi semua maklumat berkenaan untuk digunakan dalam operasi mencari,
termasuk data radar.
Oleh kerana dua koridor baharu
itu melibatkan banyak negara, maka kedutaan negara berkenaan hari ini diundang
menghadiri majlis taklimat bersama Kementerian Luar dan pakar teknikal
berhubung maklumat yang baharu diperoleh itu. Saya juga telah mengarahkan
Kementerian Luar memberi taklimat penuh kepada kerajaan-kerajaan asing, yang
rakyat mereka menjadi penumpang pesawat itu. Pagi tadi, MAS memaklumkan kepada
keluarga penumpang dan petugas pesawat mengenai perkembangan terbaharu ini.
Jelas sekali, usaha mencari
MH370 kini memasuki fasa baharu. Sepanjang tujuh hari lepas, kami mengikuti
setiap petunjuk dan mengkaji pelbagai kemungkinan. Kepada keluarga dan
rakan-rakan mereka yang terlibat, kami berharap maklumat baharu ini akan
membawa kami lebih dekat kepada menemui pesawat berkenaan. - BERNAMA
SUMBER-Artikel-Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140316/dn_01/MH370-disahkan-melencong-laluan#ixzz2w4tnJMGd
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment