Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD
HIDZIR
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Harimau Muda A
terus mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatatkan kemenangan selesa 5-2 ke
atas Redlands United dalam perlawanan kedua Liga Perdana Kebangsaan (NPL)
Queensland di Cleveland, Australia semalam.
Walaupun ketinggalan seawal minit
ke-15, menerusi jaringan Rhys Meredith anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak
panik dan menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Amirul Hisyam Awang Kechik hanya
tiga minit kemudian.
Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris
meletakkan pasukan negara di hadapan pada minit ke-25 namun Redlands hanya
memerlukan 10 minit untuk menyamakan semula kedudukan menerusi sepakan penalti
Graham Fyfe.
Skuad kendalian Kim Swee
meneruskan rentak cemerlang apabila Mohd. Ferris Danial Mat Nasir menjaringkan
gol ketiga pada minit ke-79 sebelum pasukan lawan terpaksa beraksi dengan
sepuluh pemain apabila James Donnelly dibuang padang dua minit kemudian.
Jaringan keempat Harimau Muda
hadir menerusi sepakan penalti D. Saarvindran pada minit ke-82 sebelum Mohd.
Ridzuan Abdunloh menjaringkan gol kelima ketika perlawanan berbaki seminit.
Kim Swee ketika dihubungi
Utusan Malaysia memberitahu, pasukannya mempamerkan corak permainan yang lebih
kemas berbanding perlawanan sebelumnya, selain berjaya menyempurnakan
peluang-peluang yang dihasilkan dengan baik.
Meskipun berjaya menjaringkan
lapan gol dalam dua perlawanan pertama namun beliau masih tidak berpuas hati
kerana pada masa sama pasukannya dibolosi lima gol, setelah sebelum ini seri
3-3 dengan Moreton Bay United dalam perlawanan pertama.
Pada separuh masa pertama kami
terikat 2-2 tetapi pada separuh masa kedua berjaya mencari tiga gol menerusi
corak permainan pantas yang dipamerkan selain berjaya mengawal rentak permainan
bagi memastikan kemenangan.
Saya masih tidak berpuas hati
kerana dalam dua perlawanan ini kami sudah dibolosi dengan lima gol. Jumlah ini
sangat besar dan tidak boleh berlaku lagi kerana adalah mustahil untuk setiap
perlawanan pemain dapat menjaringkan gol yang banyak.
Selepas ini saya akan lakukan
sedikit perubahan di beberapa posisi bagi bagi memantapkan pasukan selain
memberi peluang kepada para pemain yang belum beraksi," katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140317/su_02/Harimau-Muda-A-berpesta-gol#ixzz2wOwK73Iu
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment