Oleh SHARAIMEI SHAIK
AHMEDULLAH dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my
HISHAMMUDDIN Tun Hussein
menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar operasi mencari dan menyelamat
MH370 di Pusat Media Hotel Sama-Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur di Sepang, semalam. Hadir sama, Anifah Aman (kanan) Azharuddin Abdul
Rahman (dua dari kiri) dan Ahmad Jauhari Yahya (kiri).
SEPANG 18 Mac - Fokus utama
operasi mencari dan menyelamat (SAR) kehilangan pesawat MH370 yang masuk hari
ke-11 kini ditumpukan kepada empat tugas utama iaitu mengumpul maklumat dari
radar dan satelit, analisis data radar, meningkatkan aset mencari dan
menyelamat serta penglibatan lebih ramai pakar teknikal.
Pemangku Menteri Pengangkutan,
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan operasi SAR itu yang masuk hari
ketiga fasa baharu menjadi semakin kompleks, teknikal dan melibatkan banyak
negara.
Berikutan itu, beliau berkata,
semua 26 negara yang terlibat dalam operasi tersebut terpaksa meningkatkan
keupayaan bagi mengesan pesawat jenis Boeing 777-200 itu di wilayah dan kawasan
sektor pencarian masing-masing.
"Dari segi logistik, kita
telah berusaha dalam tempoh 24 jam ini dengan negara terlibat untuk menumpukan operasi
di kawasan koridor masing-masing. Kita telah berjaya memperoleh beberapa
maklumat daripada data satelit negara terbabit.
"Berhubung analisis data
radar, Australia dan Indonesia serta China dan Kazakhstan masing-masing
bersetuju untuk mengetuai operasi di bahagian koridor selatan dan utara serta
kawasan berdekatan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam
sidang akhbar operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak
pagi Sabtu, 8 Mac di Pusat Media Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Luar,
Datuk Seri Anifah Aman; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk
Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS),
Ahmad Jauhari Yahya.
Hishammuddin yang juga Menteri
Pertahanan berkata, beliau juga telah menghubungi semua pemimpin utama negara
ASEAN untuk meminta mereka terus menghulurkan bantuan dalam operasi tersebut
termasuk menghantar aset yang mampu mengesan di lautan dalam.
Pada masa sama, katanya,
pihaknya juga meminta beberapa negara yang telah membantu memberi maklumat
tentang data radar primer mereka sebelum ini untuk melihat semula radar
tersebut.
Mengulas tentang terdapat
laporan bahawa radar primer pasukan keselamatan negara jiran, Thailand berjaya
mengesan satu plot yang dipercayai pesawat tersebut, katanya, setakat ini
pihaknya masih belum menerima maklumat lanjut.
"Saya sudah minta pihak
keselamatan Thailand untuk kaji semula rakaman dari radar mereka, khususnya
masa terakhir sejajar yang telah diputuskan untuk melihat semula di bahagian
koridor selatan dan utara.
"Selain itu, saya juga
telah menghubungi wakil dari Indonesia dan minta mereka untuk melihat semula
radar primer dan maklumat satelit yang ada," katanya.
Dalam pada itu, menyentuh
tentang operasi di kedua-dua koridor tersebut, beliau berkata, kawasan di
koridor selatan dan utara masing-masing dipecahkan kepada tujuh kuadran.
Katanya, seluruh kuadran
tersebut meliputi kawasan keseluruhan seluas 160,000 batu nautika persegi.
"Secara keseluruhan
operasi mencari ini meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika persegi dan
ini merupakan kawasan yang luas. Ini merupakan salah satu sebab Malaysia tidak
mampu untuk menggerakkan operasi ini bersendirian.
"Sehubungan itu, saya
gembira dengan kesanggupan banyak negara untuk tampil ke hadapan dan membantu
dalam operasi ini," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140319/dn_01/SAR-fokus-empat-tugas-utama#ixzz2wM4Gtzc4
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment