Monday, 19 May 2014

Layak tetapi tak meyakinkan

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
  
Lee Chong Wei menunjukkan aksi menarik ketika membalas pukulan Marc Zwiebler dalam pertemuan perseorangan pertama Piala Thomas di New Delhi, semalam. Chong Wei menang 21-14, 21-8. - REUTERS
NEW DELHI - Malaysia memenuhi misi awal dengan me­nempah tiket suku akhir Piala Thomas, namun menerusi aksi yang jauh daripada meyakinkan walaupun menundukkan Jerman 4-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan C di Stadium Tertutup Siri Fort semalam.

Kekalahan kedua berturut-turut yang dialami kapten dan perseorangan ketiga negara, Liew Daren mencetus keresahan dalam kem badminton negara, malah kesukaran yang dialami perseorangan kedua, Chong Wei Feng dan beregu Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong sebelum mencatat kemenangan turut menimbulkan keraguan mengenai keupayaan pasukan Malaysia.

Hanya jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan pasangan, Goh V Shem-Lim Khim Wah menunjukkan aksi meyakinkan, sedangkan dalam tiga lagi acara Malaysia dipaksa berhempas pulas.

Chong Wei, 32, sekali lagi memenuhi reputasi sebagai penyumbang mata semangat apabila hanya memerlukan 37 minit untuk menang 21-14, 21-8 ke atas Marc Zwiebler.

Malaysia melakukan eksperimen kedua dalam acara beregu apabila menggandingkan Boon Heong dan Wee Kiong. Kombinasi itu nyaris dikejutkan apabila tewas 13-21 di set pertama, sebelum bangkit mencatat kemena­ngan 21-17, 21-18 ke atas Johannes Schoettler-Michael Fuchs untuk kedudukan 2-0.

Buat kali kedua berturut-turut, Wei Feng berjaya menghadiahkan mata kemenangan Malaysia, namun selepas menunjukkan aksi tidak meyakinkan ketika menundukkan Dieter Domke 19-21, 22-20, 23-21. Juara Terbuka Malaysia, V Shem-Khim Wah melengkapkan mata keempat dengan menewaskan Peter Kaesbauer-Josche Zurwonne 21-12, 21-18.

Ketika tiada sebarang tekanan diberi kepada Daren apabila turun untuk melengkapkan perlawanan, bekas juara Terbuka Perancis itu bagaimanapun gagal menghasilkan prestasi mantap apabila kalah 20-22 di set pertama sebelum tewas mudah 10-21 di set kedua kepada Lukas Schmidt.

“Saya tidak tahu apa yang tidak kena dengan Daren. Dia telah diberi persiapan terbaik sebelum datang ke sini dan persembahannya benar-benar mengecewakan saya.

“Selepas kalah dalam perlawanan pertama semalam, saya mengharapkan dia bangkit hari ini, malangnya dia gagal memanfaatkan peluang yang diberi.

“Saya belum buat keputusan mengenai perlawanan dengan Korea (esok) kerana kami ada rehat sehari dan punya masa untuk membincangkan perkara ini, namun saya tidak nafikan selepas gagal tampil dengan aksi me­yakinkan dalam dua perlawanan pertama, mungkin Daren akan digantikan dengan Goh Soon Huat," kata Rashid.

Daren, 26, yang terlalu kecewa dengan kekalahan terbaharunya enggan menemui wartawan sejurus tamat perlawanan, sebaliknya meninggalkan gelanggang dengan kekecewaan. Kelmarin dia tewas 21-18, 13-21, 19-21 kepada pemain India, R.M.V Gurusaidutt.

Kemenangan ke atas Jerman memastikan dua kedudukan ter­atas peringkat kumpulan milik pasukan negara, selepas Korea Selatan turut mengesahkan tiket suku akhir dengan menundukkan tuan rumah 3-2 dalam satu lagi perlawanan.

Namun bagi Chong Wei, kejayaan mara ke suku akhir belum memadai buat mereka kerana Malaysia perlu menumpaskan Korea Selatan esok untuk muncul juara kumpulan.

Tegas Chong Wei, kegagalan menamatkan cabaran selaku juara Kumpulan C mampu mengundang risiko gagal menempatkan diri ke separuh akhir seperti yang berlaku pada Piala Thomas ter­akhir di Wuhan dua tahun lalu.

“Walaupun kita telah ke suku akhir, tetapi kami tidak boleh ambil mudah perlawanan terakhir menentang Korea. Kami kena memenangi pertarungan itu untuk memastikan Malaysia menamatkan kempen selaku juara kumpulan.

“Hanya kemenangan menjadi satu-satunya cara untuk kita mengelak daripada bertemu China atau Indonesia di suku akhir, sekali gus mempunyai peluang cerah untuk ke separuh akhir.

“Lihat apa yang berlaku di Wuhan dua tahun lalu. Saya mengalami kecederaan buku lali ketika itu, kami gagal muncul juara kumpulan dan akhirnya diundi menentang China di suku akhir. Saya harap perkara itu tidak berulang sekali lagi," ujar Chong Wei.

Biarpun Korea Selatan pada awalnya dianggap pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan C, namun prestasi tidak menentu yang ditunjukkan pasukan itu dalam dua perlawanan awal memberi harapan kepada Malaysia untuk mencatat kemenangan apabila kedua-dua pasukan bertemu esok.

“Permainan saya mungkin tidak bagus hari ini dan ramai yang takut saya gagal memberikan aksi terbaik jika diturunkan menentang Korea, tetapi mereka juga tidak bermain baik dalam dua perlawanan pertama, mungkin mereka juga takut untuk berjumpa dengan kita," katanya.
RUJUKAN 
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140520/su_01/Layak-tetapi-tak-meyakinkan#ixzz32Ce1mlp0

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment