Ad

Thursday, 11 December 2014

Hanoi penentu nasib Harimau Malaya



Daripada ASAN AHMAD
asan.ahmad@kosmo.com.my
 
DUA ‘arkitek’ yang akan merencanakan nasib pasukan masing-masing, Dollah (kanan) dan Miura pada sidang akhbar di Hanoi, Vietnam semalam menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 malam ini.

HANOI – Hari ini akan menjadi penentu nasib skuad Harimau Malaya pada kempen Piala AFF Suzuki 2014.

Skuad bimbingan Dollah Salleh itu akan turun membuat perhitungan dengan Vietnam pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh dan sepak mula dijadualkan berlangsung pada pukul 8 malam.

Andai tewas, maka perjuangan skuad skuad Harimau Malaya terhenti setakat itu sahaja, sekali gus memberi laluan kepada Vietnam melangkah ke perlawanan akhir.

Perhitungan malam ini adalah misi ‘hidup atau mati’ kerana kehadiran Harimau Malaya di bumi Hanoi sekadar berbekalkan bebanan yang sangat berat.

Tiada kelebihan untuk dibanggakan kerana mereka tewas 1-2 pada aksi separuh akhir pertama, Ahad lalu.

Situasi tersebut telah me­ngundang tugas yang cukup berat buat skuad Harimau Malaya kerana perlu mencari dua gol tanpa bolos malam ini.

Jumlah yang perlu dicari itu boleh dikatakan sangat sukar jika mengambil kira kelemahan jentera serangan yang masih belum sempurna seratus peratus dari segi penyudah.

Jika masalah tersebut berterusan, maka gawang Vietnam sudah pastinya sukar untuk ditembusi.

Jadi, mana-mana penye­rang yang bakal diberi tanggungjawab dalam kesebelasan utama malam ini harus bijak mencuri peluang dan pada masa yang sama, barisan pertahanan juga perlu kental.

Kesilapan percaturan pada aksi pertama tidak harus diulangi kerana ia tidak memberi sebarang impak untuk memusnahkan benteng lawan.

Kesilapan itu seharusnya disedari dan wajib dirombak. Formasi 4-4-2 yang diamalkan pada aksi pertama lalu juga dilihat memudahkan Vietnam untuk meloloskan diri.

Jadi, formasi tersebut sudah tidak relevan kerana ia membuka terlalu banyak ruang buat Vietnam melancarkan gerak.

Pengurusan pasukan sudah tentu melihat sendiri bagaimana rentak permai­nan pantas yang dipamerkan Vietnam pada perla­wa­nan pertama lalu, dan se­kurang-kurangnya ia su­­­dah boleh memberi gambaran buat mereka untuk merangka strategi yang lebih ampuh.

Vietnam bukan sebuah pasukan yang mantap tetapi corak atau strategi permai­nan yang mereka amalkan itu menjadikan skuad kendalian Toshiya Miura itu ke­lihatan kemas di segenap penjuru.

Setiap gerakan sentiasa ada pemain lain tampil memberi sokongan. Posisi pula tidak ditinggalkan kosong.

Untuk mengelak Harimau Malaya melancarkan sera­ngan pula, Vietnam ghairah melancarkan asakan, akibat­nya skuad negara sekadar bertahan.

Andai Harimau Malaya masih berhasrat untuk meneruskan perjuangan pada kejohanan ini, mereka harus mengelak gaya permainan bertahan, sebaliknya harus tampil lebih garang menye­rang.

Untuk tugas menyerang, Dollah mungkin boleh mempertimbangkan gandingan Safee Sali, Amri Yahyah dan Indra Putra Mahayuddin untuk tugas menggempur kubu lawan manakala jentera te­ngah harus ada pemain seperti Safiq Rahim, Gary Steven Robbat serta Badhri Radzi atau Baddrol Bakthiar.

Jentera pertahanan pula harus diterajui pemain yang pantas dan tidak mudah me­ningggalkan posisi.

Calon back four yang dilihat paling sesuai adalah Shukor Adan, Fadhli Shas, Zubir Azmi serta Afif Amiruddin tetapi Dollah dikhabarkan bakal menggunakan khid­mat S. Kunanlan untuk ber­tindak sebagai pertahanan di sebelah kanan.

Mereka perlukan dua gol untuk kembali bernyawa dan jika gagal, terkuburlah impian untuk mengulangi kejayaan pada edisi 2010.
Sumber-
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3LaHGaHOqHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment