Daripada ASAN AHMAD
asan.ahmad@kosmo.com.my
DUA ‘arkitek’ yang akan
merencanakan nasib pasukan masing-masing, Dollah (kanan) dan Miura pada sidang
akhbar di Hanoi, Vietnam semalam menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala
AFF Suzuki 2014 malam ini.
HANOI – Hari ini akan menjadi
penentu nasib skuad Harimau Malaya pada kempen Piala AFF Suzuki 2014.
Skuad bimbingan Dollah Salleh
itu akan turun membuat perhitungan dengan Vietnam pada aksi separuh akhir kedua
di Stadium Nasional My Dinh dan sepak mula dijadualkan berlangsung pada pukul 8
malam.
Andai tewas, maka perjuangan
skuad skuad Harimau Malaya terhenti setakat itu sahaja, sekali gus memberi
laluan kepada Vietnam melangkah ke perlawanan akhir.
Perhitungan malam ini adalah
misi ‘hidup atau mati’ kerana kehadiran Harimau Malaya di bumi Hanoi sekadar
berbekalkan bebanan yang sangat berat.
Tiada kelebihan untuk
dibanggakan kerana mereka tewas 1-2 pada aksi separuh akhir pertama, Ahad lalu.
Situasi tersebut telah
mengundang tugas yang cukup berat buat skuad Harimau Malaya kerana perlu
mencari dua gol tanpa bolos malam ini.
Jumlah yang perlu dicari itu
boleh dikatakan sangat sukar jika mengambil kira kelemahan jentera serangan
yang masih belum sempurna seratus peratus dari segi penyudah.
Jika masalah tersebut
berterusan, maka gawang Vietnam sudah pastinya sukar untuk ditembusi.
Jadi, mana-mana penyerang yang
bakal diberi tanggungjawab dalam kesebelasan utama malam ini harus bijak
mencuri peluang dan pada masa yang sama, barisan pertahanan juga perlu kental.
Kesilapan percaturan pada aksi
pertama tidak harus diulangi kerana ia tidak memberi sebarang impak untuk
memusnahkan benteng lawan.
Kesilapan itu seharusnya
disedari dan wajib dirombak. Formasi 4-4-2 yang diamalkan pada aksi pertama
lalu juga dilihat memudahkan Vietnam untuk meloloskan diri.
Jadi, formasi tersebut sudah
tidak relevan kerana ia membuka terlalu banyak ruang buat Vietnam melancarkan
gerak.
Pengurusan pasukan sudah tentu
melihat sendiri bagaimana rentak permainan pantas yang dipamerkan Vietnam pada
perlawanan pertama lalu, dan sekurang-kurangnya ia sudah boleh memberi
gambaran buat mereka untuk merangka strategi yang lebih ampuh.
Vietnam bukan sebuah pasukan
yang mantap tetapi corak atau strategi permainan yang mereka amalkan itu
menjadikan skuad kendalian Toshiya Miura itu kelihatan kemas di segenap
penjuru.
Setiap gerakan sentiasa ada
pemain lain tampil memberi sokongan. Posisi pula tidak ditinggalkan kosong.
Untuk mengelak Harimau Malaya
melancarkan serangan pula, Vietnam ghairah melancarkan asakan, akibatnya
skuad negara sekadar bertahan.
Andai Harimau Malaya masih
berhasrat untuk meneruskan perjuangan pada kejohanan ini, mereka harus mengelak
gaya permainan bertahan, sebaliknya harus tampil lebih garang menyerang.
Untuk tugas menyerang, Dollah
mungkin boleh mempertimbangkan gandingan Safee Sali, Amri Yahyah dan Indra
Putra Mahayuddin untuk tugas menggempur kubu lawan manakala jentera tengah
harus ada pemain seperti Safiq Rahim, Gary Steven Robbat serta Badhri Radzi
atau Baddrol Bakthiar.
Jentera pertahanan pula harus
diterajui pemain yang pantas dan tidak mudah meningggalkan posisi.
Calon back four yang dilihat
paling sesuai adalah Shukor Adan, Fadhli Shas, Zubir Azmi serta Afif Amiruddin
tetapi Dollah dikhabarkan bakal menggunakan khidmat S. Kunanlan untuk
bertindak sebagai pertahanan di sebelah kanan.
Mereka perlukan dua gol untuk
kembali bernyawa dan jika gagal, terkuburlah impian untuk mengulangi kejayaan
pada edisi 2010.
Sumber-
Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3LaHGaHOqHakcipta
terpelihara
No comments:
Post a Comment