Hanoi: Kapten Vietnam Le Cong
Vinh percaya mereka akan tampil lebih hebat di depan penyokong sendiri apabila
turun menentang Harimau Malaya hari ini.
Penyerang berusia 29 tahun itu
berkata, sokongan padu 40,000 penyokong yang bakal memenuhi stadium bakal
menjadi faktor penting menentukan kemaraan mereka ke final buat kali ketiga
selepas muncul juara pada 2008.
“Kami perlu bermain mengikut
perancangan dan saya percaya Malaysia mahu bangkit, tapi kami beraksi di depan
penyokong sendiri. Itu pasti akan menjadi kelebihan buat kami,” kata Cong Vinh
yang sudah meledak dua gol setakat ini.
Pemain kelab Becamex Binh Duong
FC itu pasti menjadi sandaran jurulatih Toshiya Miura untuk merobek gawang
Malaysia bersama gandingannya Nguyen Van Quyet seperti dilakukan ketika menang 2-1
pada aksi separuh akhir pertama di Shah Alam, Ahad lalu.
Dalam pada itu, Cong Vinh turut
menyeru penyokong menunjukkan semangat kesukanan tinggi dan tidak melakukan
sebarang kekecohan pada perlawanan hari ini.
Sebelum ini, ada peminat
Vietnam dikatakan mengancam penyokong Malaysia di laman media sosial sebagai
membalas dendam insiden pergaduhan di Shah Alam.
“Saya percaya peminat Vietnam
mengalu-alukan kedatangan penyokong Malaysia dan tidak akan membuat sebarang
kekecohan.
“Jika tiada keganasan berlaku
sudah pasti kemenangan lebih bermakna,” kata Cong Vinh yang dipetik dalam
laporan www.thanhniennews.com semalam.
Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 11 Disember 2014 @ 6:55 AM
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/15324#sthash.DatzMToL.dpuf
No comments:
Post a Comment