10 Disember 2014 1:25 AM
HANOI - Sebaik sahaja Harimau
Malaya tumbang diratah oleh Vietnam di Stadium Shah Alam Ahad lalu, ramai
mempersoalkan mengapa pemain berpengaruh Kelantan, Mohd. Badhri Radzi tidak
diturunkan dalam kesebelasan utama.
Setelah didesak pelbagai pihak,
pengendali skuad negara Dollah Salleh membayangkan kemungkinan akan memberi
peluang kepada Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya untuk beraksi dalam perlawanan
separuh akhir kedua di Stadium My Dinh esok.
Piya yang ditemui selepas sesi
latihan di padang berhampiran Stadium My Dinh berkata, jika benar dia akan
diberikan peluang untuk beraksi, dia menganggap itu adalah kesempatan terbaik
untuk membuktikan dirinya mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan.
“Jika saya bermain esok, itu
akan menjadi aksi rasmi pertama saya dalam Piala AFF sejak bersama skuad
kebangsaan.
“Sudah tentu saya rasa gembira
kerana lama menantikan peluang ini. Saya akan cuba membuka ruang kepada
rakan-rakan sepasukan menjaringkan gol,” katanya.
Pemain berusia 32 tahun itu
menambah, dia sedar antara sebab yang mungkin menyebabkan jurulatih tidak
menurunkannya adalah kerana kurang berperanan dalam aspek bertahan berbanding
menyerang.
“Memang saya kena mengakui,
saya ada kekurangan sedikit dalam aspek bertahan dan apa yang saya boleh
perbaiki, saya akan bermain sebagai satu unit dengan pasukan.
“Andai kata bergandingan dengan
Safiq Rahim, saya dengan dia akan bersama-sama mempertingkatkan persefahaman
bagi membantu pasukan negara memenangi perlawanan,” katanya.
Selain Piya, Dollah juga
dijangka merombak bahagian depan dengan Indra Putra Mahyuddin mungkin berada di
bahagian serangan.
S. Kunanlan pula berkemungkinan
bertindak di bahagian bek kanan menggantikan Mahali Jasulli.
Penjaga gol, Farizal Marlias
mungkin merasai aksi Piala AFF 2014 buat kali pertama selain Shukor Adan
bergandingan bersama Mohd. Fadhli Shas di bahagian pertahanan. – UTUSAN
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/piya-dijangka-beraksi-pertama-kali-esok-1.34638#sthash.qKa3oEWK.dpuf
No comments:
Post a Comment