Wednesday, 10 December 2014

Piya dijangka beraksi pertama kali esok



10 Disember 2014 1:25 AM
 
HANOI - Sebaik sahaja Harimau Malaya tumbang diratah oleh Vietnam di Stadium Shah Alam Ahad lalu, ramai mempersoalkan mengapa pemain berpengaruh Kelantan, Mohd. Badhri Radzi tidak diturun­kan dalam kesebelasan utama.

Setelah didesak pelbagai pihak, pengendali skuad negara Dollah Salleh membayangkan kemungkinan akan memberi peluang kepada Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya untuk beraksi dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium My Dinh esok.

Piya yang ditemui selepas sesi latihan di padang berhampiran Stadium My Dinh berkata, jika benar dia akan diberikan peluang untuk beraksi, dia menganggap itu adalah kesempatan terbaik untuk membuktikan dirinya mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan.

“Jika saya bermain esok, itu akan menjadi aksi rasmi pertama saya dalam Piala AFF sejak bersama skuad kebangsaan.

“Sudah tentu saya rasa gembira kerana lama menantikan peluang ini. Saya akan cuba membuka ruang kepada rakan-rakan sepasukan menjaringkan gol,” katanya.

Pemain berusia 32 tahun itu menambah, dia sedar antara sebab yang mungkin menyebabkan jurulatih tidak menurunkannya adalah kerana kurang berperanan dalam aspek bertahan berbanding menye­rang.

“Memang saya kena mengakui, saya ada kekurangan sedikit dalam aspek bertahan dan apa yang saya boleh perbaiki, saya akan bermain sebagai satu unit dengan pasukan.

“Andai kata bergandingan dengan Safiq Rahim, saya dengan dia akan bersama-sama mempertingkatkan persefahaman bagi membantu pasukan negara memenangi perlawanan,” katanya.

Selain Piya, Dollah juga dijangka merombak bahagian depan dengan Indra Putra Mahyuddin mungkin berada di bahagian serangan.

S. Kunanlan pula berkemungkinan bertindak di bahagian bek kanan menggantikan Mahali Jasulli.

Penjaga gol, Farizal Marlias mungkin merasai aksi Piala AFF 2014 buat kali pertama selain Shukor Adan bergandingan bersama Mohd. Fadhli Shas di bahagian pertahanan. – UTUSAN
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/piya-dijangka-beraksi-pertama-kali-esok-1.34638#sthash.qKa3oEWK.dpuf

No comments:

Post a Comment