KELIHATAN sebuah kren
mengangkat kapal Eastern Star yang terbalik dan karam di Sungai Yangtze pada
lewat Isnin lalu sekali gus mengorbankan 396 orang setakat ini. - AFP
JIANLI, China – Seramai 396
orang disahkan terbunuh selepas sebuah kapal persiaran terbalik di China sekali
gus menjadikan ia bencana kapal terburuk dalam tempoh hampir 70 tahun, kata
media tempatan semalam.
Seramai 456 penumpang dan krew
yang berada di atas kapal Eastern Star, namun hanya 14 orang terselamat dengan
kebanyakan mangsa merupakan pelancong berusia 60 tahun ke atas.
Kapal tersebut terbalik sebelum
karam di Sungai Yangtze akibat ribut pada lewat Isnin lalu.
Jumlah kematian meningkat
melebihi 200 orang selepas pasukan penyelamat mengapungkan kapal tersebut
kelmarin dan menemui banyak mayat terperangkap di dalamnya.
Agensi berita Xinhua meletakkan
jumlah kematian kepada 396 orang pada pukul 5 petang waktu tempatan semalam.
Keadaan itu menjadikan ia satu
bencana kapal paling buruk sejak 1948 apabila hampir 4,000 orang yang berada di
atas kapal SS Kiangya terbunuh selepas karam berhampiran bandar di Shanghai.
Stesen penyiaran CCTV berkata,
para penyelamat dilihat bertungkus-lumus untuk membawa keluar mangsa sepanjang
malam. Dianggarkan lebih 3,400 anggota tentera dan 1,700 polis terlibat dalam
operasi menyelamat.
Sebanyak 46 orang masih hilang,
tetapi jurucakap kerajaan berkata, kemungkinan untuk menemui mangsa yang
terselamat sangat tipis.
Laporan saksi mengatakan, kapal
sepanjang 76.5 meter dengan berat 2,200 tan itu terbalik dalam tempoh kurang
seminit selepas dilanda ribut.
Kapal tersebut dikatakan telah
melanggar peraturan keselamatan dua tahun lalu, menurut notis daripada Biro
Maritim Nanjing.
Dalam pada itu, seorang waris
mangsa memberitahu, pihak berkuasa lambat menyalurkan maklumat dan kekurangan
akses untuk ke lokasi kemalangan.
“Kami datang dari jauh, namun
tiada apa yang dapat dilakukan kecuali menunggu,” kata Jin Weifeng dari
Shanghai yang kehilangan ibu mertuanya, Wang Shuisheng dalam tragedi itu. – AFP
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3cNfA4PRP
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment