Ad

Sunday, 7 June 2015

India haram mi Maggi


PIHAK berkuasa mengharamkan penjualan Maggi kerana mengandungi plumbum berlebihan.

NEW DELHI – Pihak berkuasa keselamatan makanan India mengharamkan penjualan dan pengeluaran mi segera Maggi keluaran Nestle semalam selepas beberapa ujian mendapati produk itu mengandungi plumbum pada tahap berlebihan.

Pihak Berkuasa Makanan Dan Standard India (FSSAI) menyatakan, ujian oleh beberapa negeri menemui terlalu banyak plumbum dalam produk tersebut dan mengarahkan Nestle supaya menghentikan pengeluarannya.

Dalam satu kenyataannya, FSSAI mengarahkan Nestle India menarik balik semua sembilan variasi mi segera Maggi dari pasaran dan menghentikan pengeluaran selanjutnya.

Nestle bagaimanapun memberitahu kandungan plumbum dalam mi Maggi adalah di bawah had dibenarkan di India. Syarikat itu sudah menarik semula produk berkaitan dari pasaran.

Ketua eksekutif globalnya, Paul Bulcke semalam berkata, mi Maggi adalah selamat untuk dimakan.

“Kami memutuskan untuk menarik semula mi ini dari pasaran kerana terdapat kekeliruan mengenai aspek keselamatan,” katanya pada satu sidang akhbar di New Delhi.

“Keselamatan pelanggan kami penting. Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjernihkan kekeliruan ini,” tambahnya.

Sekurang-kurangnya enam negeri termasuk ibu kota India berkenaan mengumumkan pengharaman jualan mi segera itu sejak beberapa hari susulan penemuan tersebut.

FSSAI memberitahu, kandungan plumbum dalam produk itu melebihi had yang dibenarkan dan berisiko merosakkan ginjal serta sistem saraf.

Dalam perkembangan berkaitan, aktivis-aktivis di bandar Kolkata, timur India membakar sejumlah peket mi Maggi dalam satu tunjuk perasaan bagi meluahkan kemarahan mereka.

Nestle telah menjual jenama Maggi di India selama tiga dekad dan menguasai 80 peratus pasaran mi segera di negara berkenaan. – AFP

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3cNccCi00 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment