-05 Jun 2015 12:44 AM
Pemain Bawah 23 negara, Amer
Saidin (tengah) melepaskan rasa kecewanya
PEMAIN Bawah 23 negara, Amer
Saidin (tengah) melepaskan rasa kecewanya dengan menyepak botol minuman di tepi
padang selepas Malaysia kalah 0-1 kepada Thailand dalam perlawanan bola sepak
Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan, Singapura semalam. UTUSAN
SINGAPURA - Semenjak 2009,
skuad Bawah 23 tahun negara tidak pernah tercicir dari persaingan separuh akhir
bola sepak Sukan SEA, namun rekod cemerlang itu hanya menunggu masa untuk
tercalar dalam edisi di Singapura apabila Malaysia hampir pasti tersingkir di
peringkat kumpulan selepas tewas 0-1 kepada juara bertahan Thailand di Stadium
Bishan semalam.
Jaringan tunggal ketua pasukan
Sarach Yooyen pada minit ke-81 sudah cukup untuk pasukan Gajah Putih itu
meletakkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee di ambang pintu keluar walaupun
mempunyai baki dua perlawanan, berdepan Brunei (8 Jun) dan Laos (11 Jun), dan
hanya keajaiban membolehkan mereka terus mara.
Satu hakikat yang sememangnya
cukup pahit untuk ditelan namun hanya itu sahaja mampu dilakukan oleh jurulatih
Kim Swee dan pemain-pemain di Singapura serta gagal mengulangi
sekurang-kurangnya pencapaian yang dilakukan edisi lalu di Myanmar iaitu mara
ke separuh akhir.
Kegagalan di Singapura
mengulangi apa yang berlaku di Korat pada 2007 ketika skuad negara dibimbing oleh
B. Sathianathan.
Terlalu banyak kepincangan
ditunjukkan oleh skuad Bawah 23 negara pada temasya ini. Ekoran persiapan yang
kurang sempurna kerana Kim Swee hanya diberi masa tiga minggu untuk menyediakan
pasukannya di samping kebanyakan pemain utama bergelut dengan masalah
kecergasan sehinggakan sukar mendapat tempat dalam pasukan negeri atau kelab
masing-masing dalam Liga Malaysia.
Ditambah dengan isu pemain
tengah prolifik Mohd. Nazmi Faiz Mansor digantung enam perlawanan, situasi itu
memberi bebanan tambahan kepada pasukan negara.
Memerlukan kemenangan untuk
menghidupkan peluang selepas dibelasah 1-5 oleh Vietnam, Kim Swee membuat empat
pertukaran dalam kesebelasan utama dengan menurunkan Syahrul Azwari, Mohd.
Ariff Farhan Mohd. Isa, Nazirul Naim Che Hashim dan Shahrul Mohd. Saad
sementara Gary Steven Robbat menjadi ketua pasukan menggantikan Mohd. Fandi
Othman yang turut direhatkan.
Thailand unggul sejak awal
apabila mengawal bola dengan baik selain bijak mencari ruang ketika melancarkan
gerakan dari tengah yang direncanakan oleh Messi Thailand, Chanathip
Songkrasin.
Pada minit ke-10, penyerang
berbahaya Chananan Pombubpha mengejutkan pertahanan negara apabila menanduk
bola hantaran Rungrat Phumichantuk dari kiri tetapi tersasar.
Gary sepatutnya meletakkan
Malaysia di hadapan tiga minit kemudian melalui serangan balas dan dalam
situasi satu lawan satu dengan penjaga gol, dia lambat melakukan keputusan
sebelum diberi tekanan oleh pertahanan Thailand sehingga menyepak keluar.
Pada minit ke-17, Thitiphan
Puangjan sekadar menyepak tinggi di hadapan gawang skuad negara yang terbuka
sebelum sekali lagi melepaskan peluang apabila tandukannya meliar pada minit
ke-28.
Dua minit kemudian, sekali lagi
saat keemasan dilepaskan oleh Thailand apabila Nurul Sriyankem melakukan
tandukan tepat ke dakapan penjaga gol, Mohd. Farhan Abu Bakar setelah diumpan
oleh Phumichantuk.
Pada separuh masa kedua,
anak-anak buah Kim Swee mengimbangi rentak Thailand yang hanya mengancam pada
minit ke-49 menerusi gerakan solo Songkrasin dengan Syahrul Azwari hampir
menjaringkan gol pada minit ke-59 selepas rembatan kencangnya dari luar kota
penalti ditepis keluar oleh penjaga gol Chanin Sae-Ear.
Bagaimanapun, segala-galanya
musnah ketika permainan berbaki 10 minit untuk ditamatkan apabila tanpa diduga
Yooyen melepaskan rembatan jarak jauh yang tepat ke penjuru gawang yang dikawal
Farhan sekali gus melengkapkan episod pedih pasukan negara. – UTUSAN
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/boleh-ucap-selamat-tinggal-1.99208#sthash.IvCnOxw3.dpuf
No comments:
Post a Comment