Friday, 5 June 2015

Safiq sedia kembali jadi kapten

FADHILUL IZMEL ISHAK  |  05 Jun 2015 12:50 AM
Safiq Rahim (kiri) berbual bersama Amri Yahyah ketika sesi latihan
Safiq Rahim (kiri) berbual bersama Amri Yahyah ketika sesi latihan
SAFIQ RAHIM (kiri) berbual bersama Amri Yahyah ketika sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Shah Alam semalam untuk menentang Hong Kong esok. UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz

KUALA LUMPUR - Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim bersedia memikul tanggungjawab sebagai ketua pasukan Harimau Malaya yang masih tiada nakhoda tetap selepas Shukor Adan menggantung but dari arena antarabangsa.
Safiq, 28, berkata dia sentiasa memastikan dirinya berada dalam keadaan bersedia andai kata pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh mahu pemain kelahiran Kuala Selangor itu mengetuai pasukan walaupun sedar pasukan akan menghadapi cabaran besar iaitu kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia tidak lama lagi.
“Kalau diberi kepercayaan oleh jurulatih untuk mengetuai pasukan saya akan lakukan yang terbaik dan tidak mensia-siakannya.
“Bagaimanapun itu bukan menjadi keutamaan saya kerana apa yang mustahak adalah setiap pemain dapat memainkan peranan masing-masing menjelang perlawanan menentang Timor Leste (11 Jun) dan Palestin (16 Jun).
“Dalam masa sama saya juga mengharapkan sokongan daripada rakan sepasukan seandainya dipilih menjadi ketua pasukan. Apa yang penting kami harus mendapatkan keputusan yang positif dalam dua perlawanan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Meskipun Dollah masih belum membuat pengumuman mengenai siapa yang akan memakai lilitan kapten, namun Safiq dilihat calon utama untuk menggalas tanggungjawab tersebut setelah mengetuai skuad Harimau Malaya ketika mereka menghadapi perlawanan pemanas badan menentang Kuantan FA pada Isnin lalu.
Selain itu, dia juga merupakan perancang pergerakan pa­sukan menerusi kepakarannya melorongkan bola kepada rakan sepasukan ketika merencana serangan terhadap pasukan lawan dan ketepatan sepakan dalam situasi bola mati.
Safiq pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan ketika skuad negara di bawah bimbingan Datuk K. Rajagopal dalam kejohanan Piala AFF empat tahun lalu.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-sedia-kembali-jadi-kapten-1.99286#sthash.D3ZOZ2Ys.dpuf

No comments:

Post a Comment