FADHILUL IZMEL ISHAK | 05
Jun 2015 12:50 AM
Safiq Rahim (kiri) berbual
bersama Amri Yahyah ketika sesi latihan
SAFIQ RAHIM (kiri) berbual
bersama Amri Yahyah ketika sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Shah Alam
semalam untuk menentang Hong Kong esok. UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz
KUALA LUMPUR - Pemain tengah
Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim bersedia memikul tanggungjawab sebagai
ketua pasukan Harimau Malaya yang masih tiada nakhoda tetap selepas Shukor Adan
menggantung but dari arena antarabangsa.
Safiq, 28, berkata dia sentiasa
memastikan dirinya berada dalam keadaan bersedia andai kata pengendali skuad
Harimau Malaya, Dollah Salleh mahu pemain kelahiran Kuala Selangor itu
mengetuai pasukan walaupun sedar pasukan akan menghadapi cabaran besar iaitu
kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia tidak lama lagi.
“Kalau diberi kepercayaan oleh
jurulatih untuk mengetuai pasukan saya akan lakukan yang terbaik dan tidak
mensia-siakannya.
“Bagaimanapun itu bukan menjadi
keutamaan saya kerana apa yang mustahak adalah setiap pemain dapat memainkan
peranan masing-masing menjelang perlawanan menentang Timor Leste (11 Jun) dan
Palestin (16 Jun).
“Dalam masa sama saya juga
mengharapkan sokongan daripada rakan sepasukan seandainya dipilih menjadi ketua
pasukan. Apa yang penting kami harus mendapatkan keputusan yang positif dalam
dua perlawanan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Meskipun Dollah masih belum
membuat pengumuman mengenai siapa yang akan memakai lilitan kapten, namun Safiq
dilihat calon utama untuk menggalas tanggungjawab tersebut setelah mengetuai
skuad Harimau Malaya ketika mereka menghadapi perlawanan pemanas badan menentang
Kuantan FA pada Isnin lalu.
Selain itu, dia juga merupakan
perancang pergerakan pasukan menerusi kepakarannya melorongkan bola kepada
rakan sepasukan ketika merencana serangan terhadap pasukan lawan dan ketepatan
sepakan dalam situasi bola mati.
Safiq pernah menggalas
tanggungjawab sebagai ketua pasukan ketika skuad negara di bawah bimbingan
Datuk K. Rajagopal dalam kejohanan Piala AFF empat tahun lalu.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safiq-sedia-kembali-jadi-kapten-1.99286#sthash.D3ZOZ2Ys.dpuf
No comments:
Post a Comment