Tahap kecergasan masih lagi
menghimpit pemain tengah Gary Steven Robbat (gambar) namun dia bersedia beraksi
ke tahap maksimum untuk membantu skuad Bawah 23 (B-23) negara mengatasi Vietnam
pada perlawanan kedua Kumpulan B Sukan SEA Singpura di Stadium Bishan, hari
ini.
Selepas digantung perlawanan
tiga bulan Januari lalu akibat pelanggaran kontrak, perlawanan pertama dengan
Timor Leste, Sabtu lalu, tempoh paling lama Gary berada di atas padang bagi
aksi kompetitif tahun ini.
Biarpun hanya beraksi 70 minit
sebelum digantikan dengan Saiful Ridzuwan Selamat, sumbangan pemain Johor Darul
Ta’zim (Johor DT) itu cukup penting buat pasukan ketika menewaskan Timor Leste
1-0 dengan 10 pemain.
“Ini kali pertama saya beraksi
70 minit dalam perlawanan kompetitif tahun ini. Saya pernah bermain dalam
perlawanan persahabatan sebelum ini tapi tidak sampai 70 minit.
“Saya memang nak main sepenuh
masa, saya akan cuba mempertingkatkan tahap kecergasan dan permainan lebih
baik. Memang sukar sebab sudah enam bulan tak main sepenuh masa,” katanya
selepas perlawanan semalam.
Gary menjadi watak penting
penguasaan bola Malaysia ketika bertahan dan menyerang namun bertemu Vietnam,
gandingannya di bahagian tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor tidak beraksi kerana
digantung perlawanan.
Ini menyaksikan tugas Gary
lebih mencabar bertemu Vietnam yang tampil antara pasukan pilihan bersama
Thailand dalam Kumpulan B.
Ketiadaan Nazmi, bekas pemain
Harimau Muda A itu mungkin menyebabkan Gary bergandingan dengan Muhammad Ariff
Farhan Md Isa atau Ridzuwan.
“Masa Nazmi ada, kami beraksi
dengan yakin. Tapi selepas dia keluar susah sikit sebab kami terpaksa menukar
corak permainan kepada bertahan.
“Vietnam memang lawan sukar,
kita kena lawan habis-habisan kali ini. Kita pernah lawan mereka sebelum ini
dan tahu kekuatan dan kelemahan mereka,” kata Gary yang bersama Harimau Malaya
menewaskan Vietnam pada separuh akhir Piala AFF 2014.
Artikel ini disiarkan pada :
Selasa, 2 Jun 2015 @ 8:44 AM
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/55078#sthash.xRVAczCd.dpuf
No comments:
Post a Comment