Ad

Tuesday, 2 June 2015

Nazmi perlu bimbingan

 Oleh Mohd Firdaus Hashim -firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Jangan salahkan dia (Muhammad Nazmi Faiz Mansor) seorang, sebaliknya semua pihak di sekelilingnya perlu turut bertanggungjawab,” kata bekas jurulatih dan pemain kebangsaan, Bakri Ibni.

Bukan mahu menegakkan perbuatan keterlaluan tonggak tengah Selangor itu, sebaliknya Bakri percaya Nazmi tidak seharusnya dipersalahkan 100 peratus kerana baginya pembentukan sikap positif seseorang pemain itu bermula dengan rakan-rakan, keluarga, jurulatih dan pasukan diwakilinya.

“Menyalahkan dia bulat-bulat dalam insiden itu tidak wajar walaupun saya akui tindakan meludah pemain lawan itu salah dan tidak sepatutnya dilakukan,” katanya, semalam.

Bakri menyuarakan isi hatinya susulan tindakan pemain tengah itu meludah pertahanan Timor Leste, Filipe Oliveira yang mengundang layangan kad merah sekali gus menyukarkan skuad Bawah 23 (B-23) negara mencipta kemenangan selesa dalam aksi pertama, Sabtu lalu.

“Sebenarnya pembikinan pemain itu bermula daripada rakan-rakan, keluarga dan jurulatih. Kalau ketika pembikinan pemain itu tidak disalurkan nilai-nilai murni, maka hasilnya juga kurang sempurna.

“Semua itu disebabkan persekitaran yang membentuk perilaku pemain terutama pasukan muda negara yang sepatutnya memiliki disiplin tinggi.

“Apabila berlakunya insiden seperti itu, mengapa pemain saja dipersalahkan? Walhal, dia juga berjuang demi negara dengan sanggup berkorban tenaga, masa dan segala-galanya.

“Sepatutnya semua pihak beri panduan dan nasihat agar dia menjadi pemain yang baik,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurut Bakri, bakat yang dimiliki pemain berusia 21 tahun itu amat luar biasa hingga berjaya memikat kelab Eropah seperti Beira Mar FC di Portugal, namun secara tiba-tiba sentuhannya hilang disebabkan persekitaran yang tidak membantu.

“Saya pernah jumpa dia sekali di Wisma FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Saya katakan kepadanya, dia pemain paling bertuah yang mempunyai bakat semula jadi.

“Sekiranya betul cara didikan, saya percaya dia boleh dibentuk menjadi pemain dengan gaya permainan tiki-taka kerana memang mempunyai kebolehan bermain seperti itu,” katanya yang pernah membantu Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 untuk layak ke Olimpik 1980 Moscow.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 8:46 AM
DISYORKAN

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/55082#sthash.wdU7aIpd.dpuf

No comments:

Post a Comment