Oleh Mohd Firdaus Hashim -firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Jangan salahkan
dia (Muhammad Nazmi Faiz Mansor) seorang, sebaliknya semua pihak di
sekelilingnya perlu turut bertanggungjawab,” kata bekas jurulatih dan pemain
kebangsaan, Bakri Ibni.
Bukan mahu menegakkan perbuatan
keterlaluan tonggak tengah Selangor itu, sebaliknya Bakri percaya Nazmi tidak
seharusnya dipersalahkan 100 peratus kerana baginya pembentukan sikap positif
seseorang pemain itu bermula dengan rakan-rakan, keluarga, jurulatih dan
pasukan diwakilinya.
“Menyalahkan dia bulat-bulat
dalam insiden itu tidak wajar walaupun saya akui tindakan meludah pemain lawan
itu salah dan tidak sepatutnya dilakukan,” katanya, semalam.
Bakri menyuarakan isi hatinya
susulan tindakan pemain tengah itu meludah pertahanan Timor Leste, Filipe
Oliveira yang mengundang layangan kad merah sekali gus menyukarkan skuad Bawah
23 (B-23) negara mencipta kemenangan selesa dalam aksi pertama, Sabtu lalu.
“Sebenarnya pembikinan pemain
itu bermula daripada rakan-rakan, keluarga dan jurulatih. Kalau ketika
pembikinan pemain itu tidak disalurkan nilai-nilai murni, maka hasilnya juga
kurang sempurna.
“Semua itu disebabkan
persekitaran yang membentuk perilaku pemain terutama pasukan muda negara yang
sepatutnya memiliki disiplin tinggi.
“Apabila berlakunya insiden
seperti itu, mengapa pemain saja dipersalahkan? Walhal, dia juga berjuang demi
negara dengan sanggup berkorban tenaga, masa dan segala-galanya.
“Sepatutnya semua pihak beri
panduan dan nasihat agar dia menjadi pemain yang baik,” katanya ketika
dihubungi Arena Metro.
Menurut Bakri, bakat yang
dimiliki pemain berusia 21 tahun itu amat luar biasa hingga berjaya memikat
kelab Eropah seperti Beira Mar FC di Portugal, namun secara tiba-tiba
sentuhannya hilang disebabkan persekitaran yang tidak membantu.
“Saya pernah jumpa dia sekali
di Wisma FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Saya katakan kepadanya, dia pemain
paling bertuah yang mempunyai bakat semula jadi.
“Sekiranya betul cara didikan,
saya percaya dia boleh dibentuk menjadi pemain dengan gaya permainan tiki-taka
kerana memang mempunyai kebolehan bermain seperti itu,” katanya yang pernah
membantu Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 untuk layak ke Olimpik 1980
Moscow.
Artikel ini disiarkan pada :
Selasa, 2 Jun 2015 @ 8:46 AM
DISYORKAN
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/55082#sthash.wdU7aIpd.dpuf
No comments:
Post a Comment