ROU YOU (kiri) dan Ho Ying akan
menentang pasangan tuan rumah pada aksi separuh akhir ping pong di Stadium
Tertutup Singapura hari ini.
SINGAPURA – Gandingan Ho Ying
dan Lee Rou You mencipta kejutan apabila melangkah ke pentas separuh akhir
acara beregu wanita Sukan SEA 2015 selepas menewaskan pasangan Indonesia,
Gustin Dwijayanti-Kharisma Nur Hawwa 3-0 di Stadium Tertutup Singapura semalam.
Kemenangan 11-6, 11-8, 11-6 itu
menyaksikan Ho Ying-Rou You bakal menjadi penyumbang pingat pertama buat
kontinjen negara dengan sekurang-kurangnya pingat gangsa.
Mereka dijadualkan bertemu
beregu utama tuan rumah, Singapura, Feng Tianwei dan Yu Mengyu pada aksi
separuh akhir hari ini.
Mengulas mengenai kejayaan
tersebut, Ho Ying, 20, berharap mereka mampu mengulangi kejayaan suku akhir
sambil mengharapkan sedikit tuah kerana menyedari Tiangwei dan Mengyu bukan
mudah untuk ditewaskan.
“Sekarang kami merasai sedikit
tekanan selepas mara ke peringkat separuh akhir tetapi lawan dari Singapura
nanti sangat kuat. Mereka adalah pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012.
“Kalau boleh saya tak mahu
keputusan 0-3 kerana saya tak rela kami tewas teruk. Saya mengharapkan mungkin
ada sedikit tuah akan berlaku kepada kami esok (hari ini),” katanya kepada
Kosmo! selepas tamat aksi suku akhir semalam.
Sementara itu, Rou You, 20,
pula seakan tidak percaya mampu menjadi penyumbang pingat pertama buat Malaysia
dan menganggap undian pusingan awal sebenarnya banyak memihak kepada mereka.
“Kami memang ada meletakkan
sasaran sendiri apabila selepas undian (kelmarin) kami tidak dijadualkan
bertemu dengan lawan-lawan yang kuat pada pusingan awal.
“Sebenarnya kami juga tak
sangka akan menjadi penyumbang pingat pertama buat Malaysia dan sudah tentu ia
satu kepuasan buat kami,” jelas pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2013 di
Myanmar itu.
Sebagai rekod, Tianwei-Mengyu
mara ke peringkat separuh akhir bertemu Ho Yong-Rou You selepas menewaskan
beregu dari Thailand, Orawan Paranang dan Tamolwan Ketkhuan dengan keputusan
11-8, 13-11, 11-6.
Kedua-dua beregu tersebut
berjaya menempah tiket ke pusingan suku akhir selepas mendapat bye pada
pusingan awal.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0602&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3bs5cbfLB
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment