Khairy salahkan FAM
06 Jun 2015 1:15 AM
SINGAPURA – “Dalam hal ini FAM
(Persatuan Bola Sepak Malaysia) perlu dipersalahkan seratus peratus.”
Khairy Jamaluddin
Itu tegas Menteri Belia dan
Sukan, Khairy Jamaluddin yang mengulas prestasi hambar skuad Bawah 23 (B-23)
negara dalam kempen Sukan SEA 2015.
Katanya, sistem dalam FAM yang
tidak begitu baik selain persatuan negeri yang tidak berupaya menghasilkan
pemain berbakat menjadi punca utama masalah untuk membentuk skuad yang kuat.
Tambah Khairy, FAM perlu
menyelesaikan isu utama dalam sistem yang diguna pakai sekarang jika mahu bola
sepak berada di kedudukan terbaik.
“Kalau kita lihat banyak pemain
muda datang dari sekolah sukan dan bukan dari pihak persatuan atau akademi negeri.
“Bagi saya corak permainan
pasukan yang tidak begitu menarik semuanya berpunca akibat tidak ada pengalaman
dan jurulatih yang bagus yang semuanya berbalik semula kepada FAM sendiri,”
katanya ketika ditemui sebaik sahaja tiba di sini semalam.
Skuad bimbingan jurulatih Datuk
Ong Kim Swee mempamerkan prestasi buruk dalam penyertaan mereka di Sukan SEA
kali ini selepas tewas kepada Vietnam dan Thailand setelah sebelumnya hanya
menang tipis ke atas Timor Leste.
Dalam perlawanan menentang
Timor Leste, skuad negara sekadar menang 1-0 setelah beraksi dengan 10 pemain
selepas pemain Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad merah kerana meludah pemain
lawan dan digantung enam perlawanan.
Kini peluang skuad negara untuk
melangkah ke pusingan seterusnya memerlukan keajaiban iaitu mengharapkan
Thailand kalah dalam baki dua perlawanan iaitu menentang Brunei hari ini dan
kemudian Vietnam.
Skuad negara pula dijadual
menentang Brunei pada Isnin ini di Stadium Bishan sebelum bertemu Laos.
Sementara itu Ketua Kontinjen
Negara, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menganggap kegagalan skuad negara
melepasi peringkat kumpulan umpama siren kecemasan kepada FAM agar sedar
daripada tidur dan awas bahawa Malaysia tidak akan sentiasa menjadi kuasa bola
sepak di Asia Tenggara.
Beliau juga bersetuju dengan
apa yang diluahkan oleh Kim Swee bahawa skuad ini perlu dihimpunkan lebih awal
untuk menghadapi temasya Sukan SEA seperti mana perancangan rapi yang dilakukan
oleh kebanyakan negara lain.
“Dari segi persiapan, banyak
kerja kena dilakukan pada masa depan dan kita kena buat post mortem dari aspek
teknikal dan pengurusan, apa yang terjadi di peringkat akar umbi serta
memotivasikan pemain muda kita selepas ini.
“Saya amat setuju dengan
pandangan bahawa pasukan ini perlu diberikan masa lebih awal untuk melakukan
persediaan dan kita boleh nampak kebanyakan pasukan lain mempunyai perancangan
jangka panjang serta pendek.
“Jadi kita kena buat perkara
yang sama terutama dalam aspek teknikal dan mental,” katanya ketika ditemui
selepas Majlis Penyerahan Saguhati kepada Kontinjen Pelayaran Sukan SEA. –
UTUSAN
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/khairy-salahkan-fam-1.99512#sthash.3GGBo8EL.dpuf
No comments:
Post a Comment