-Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
PARA pemain negara melangkah
dengan penuh kekecewaan selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada perlawanan
ketiga peringkat Kumpulan B Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan, Singapura
kelmarin.
SKUAD bola sepak Bawah 23
(B-23) tahun negara masih belum cukup bagus apabila terus mengalami kekalahan
pada Sukan SEA 2015 di Singapura.
Kelmarin, skuad bimbingan Datuk
Ong Kim Swee itu tewas 0-1 kepada Thailand pada perlawanan ketiga peringkat
Kumpulan B.
Sebelum itu mereka tewas 1-5
kepada Vietnam walaupun menang 1-0 ke atas Timor Leste pada aksi pembukaan
minggu lepas.
Ekoran kekalahan kepada
Thailand kelmarin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima hakikat bahawa
skuad muda negara itu masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
Ia diakui Setiausaha Agung FAM,
Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar kecil) selepas menyaksikan skuad negara tewas
0-1 kepada Thailand, sekali gus menyukarkan peluang mereka untuk melepasi
saingan peringkat Kumpulan B yang turut dibarisi Timor Leste, Vietnam, Brunei dan
Laos.
Kelmarin, impian skuad B-23
negara untuk menghidupkan peluang ke peringkat ke separuh akhir berkecai
selepas tewas kepada Thailand dan setakat ini mereka sekadar mengutip tiga
mata.
Thailand dan Vietnam kini
berkongsi sembilan mata, sekali gus muncul sebagai pasukan pilihan layak ke
separuh akhir.
Mengulas lanjut, Hamidin
memberitahu, FAM mengakui peluang skuad negara sudah tertutup dalam misi
melepasi peringkat kumpulan.
Begitupun, beliau menegaskan
bahawa FAM akan bekerja lebih keras bagi memastikan perancangan dan persediaan
skuad B-23 lebih tersusun menjelang Sukan SEA edisi 2017.
“Terimalah hakikat bahawa skuad
muda Thailand dan Vietnam adalah lebih baik berbanding pasukan negara.
“Secara matematik, saya fikir
peluang kita sudah tertutup untuk melepasi peringkat kumpulan tetapi FAM akan
membuat analisis terhadap kegagalan ini.
“Satu mesyuarat khas akan
diadakan bersama barisan jurulatih bagi mengenal pasti kelemahan-kelemahan dan
saya percaya FAM akan berusaha untuk tampil lebih baik pada edisi 2017 nanti,”
katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Dalam perkembangan sama,
Hamidin memberitahu bahawa masa depan Kim Swee bersama pasukan B-23 akan
terjawab pada Mesyuarat Pengurusan Skuad Kebangsaan yang bakal dipengerusikan
oleh Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada bulan depan.
“Kita akan mengetahui sama ada
Kim Swee terlibat atau sebaliknya untuk perancangan Sukan SEA 2017 nanti.
“FAM akan membuat bedah siasat
secepat mungkin selain akan mengadakan mesyuarat pada awal Julai nanti,”
katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3cEhcZw4P
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment