7 Jun 2015
Lima lagi mayat mangsa gempa
bumi ditemui Sebahagian daripada malim gunung tiba di Pondok Timpohon dari
Laban Rata Gunung Kinabalu selepas menamatkan operasi mencari dan menyelamat
mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu.
Pasukan malim gunung itu
menamatkan operasi mencari mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu selepas kesemua
mangsa dijumpai hari ini. - Foto Bernama
RANAU - Pasukan Mencari dan
Menyelamat (SAR) hari ini menemui lima lagi mayat di Gunung Kinabalu susulan
gempa bumi pada Jumaat yang melanda Ranau, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan
dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata tiga daripada
mayat telah dikeluarkan dan diterbangkan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota
Kinabalu oleh helikopter sementara dua lagi mayat belum dibawa turun.
"Tetapi keadaan kedua-dua
mayat menyukarkan kami untuk membuat pengecaman secara positif mengenai
identiti kerana sebahagian daripadanya hanya cebisan tubuh.
"Jadi kami benar-benar
tidak tahu sama ada sebahagian daripadanya telah dikeluarkan dari kawasan
bencana adalah mayat baharu.
"Sebab itulah untuk
sementara waktu ini, kami menyenaraikan dua masih hilang kerana kami tidak
dapat membuat pengecaman positif tentang identiti mereka disebabkan keadaan
mayat," katanya pada sidang media di Pusat Operasi Taman Kinabalu, di
sini.
Masidi berkata dua mangsa yang
masih dilaporkan hilang ialah dua warga Singapura - seorang guru dan seorang
pelajar.
"Jumlah mangsa yang
terkorban ialah 18, 16 daripada mereka ditemui mati dan mereka ialah enam dari
Malaysia, Singapura (7), Filipina (satu), China (satu), Jepun (satu),"
katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa
daripada enam yang dilaporkan hilang semalam, seorang masih hidup.
Katanya, Mohd Khairulridzuan
Abdul Kahalif, 39, warga Malaysia dilaporkan berada dalam kumpulan pertama 52
pendaki yang berjaya dibawa turun dengan selamat pada hari kejadian.
"Beliau berada dalam
kumpulan pertama tetapi tidak diambil kira dan beliau sekarang telah kembali di
Kuala Lumpur," katanya.
Sementara itu, Masidi berkata
operasi SAR akan dikecilkan tetapi akan diteruskan sehingga semua mangsa
ditemui.
"Kami akan mengurangkan
operasi SAR sehingga pada satu tempoh apabila kami percaya bahawa semua telah
ditemui. Keseluruhan ideanya ialah kami perlu meneruskan operasi seandainya
kami menemui cebisan badan mayat," katanya. -Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE
7.6.2015
No comments:
Post a Comment