7 Jun 2015
Rohingya: Satun, lokasi utama
kemasukan sindiket Pemandu pelancong di Satun yang hanya mahu dikenali Lan
menceritakan kepada wartawan Bernama di mana kawasan jeti Tanjong Pao yang
dipercayai menjadi transit bagi bot pemerdagangan manusia Rohingya mengisi
petrol, mengambil bekalan makanan dan pakaian yang diberi oleh penduduk kampung
yang terlibat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. - Foto
Bernama
SATUN - THAILAND. Kampung Puyu
atau lebih dikenali sebagai Kampung Puju dalam kalangan rakyat Malaysia,
dipercayai menjadi antara pintu masuk utama bagi sindiket pemerdagangan manusia
membabitkan pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh.
Kampung ini terletak
bersebelahan Kampung Syed Omar dan Bukit Bintang di Perlis dan dipisahkan hutan
tebal Gunung Perlis yang juga menjadi kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Kampung Puyu yang majoriti
penduduknya beragama Islam hanya boleh dihubungi melalui jalan laut yang
mengambil masa kira-kira sejam setengah perjalanan daripada Kuala Perlis dan 30
minit daripada Jeti Tammalang, Thailand.
Difahamkan kampung ini akan
dijadikan lokasi pertama bagi 'mengurung' pelarian selepas bot yang membawa
mereka tiba di darat dari Lautan Andaman.
Bermula dari Kawthaung
(Myanmar), pelarian dipercayai dibawa menuju Ranong, Phuket, Phang Nga, Krabi
dan Trang di Thailand sebelum memasuki Malaysia melalui Satun.
Ramai mungkin tertanya-tanya
bagaimana pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh memasuki Malaysia dan di
mana mereka ditempatkan sebelum dijual kepada pasaran gelap.
Penulis bertemu seorang pemandu
pelancong di Satun yang hanya mahu dikenali sebagai Lan dan bersedia untuk
bercakap.
Namun Lan meminta kami agar
menyamar sebagai pelajar universiti bagi mengelak daripada mendapat perhatian
dan kejadian tidak diingini.
Dia yang bersetuju membawa kami
meninjau beberapa kawasan persinggahan bot pemerdagangan manusia berkata
Kampung Puyu yang bersempadan dengan hutan tebal dianggap kawasan strategik
kerana turut mempunyai banyak kampung kecil dan laluan tikus.
"Di sini kalau tanya orang
tempatan, memang banyak yang tahu pasal ini. Tapi banyak yang tak berani
bersuara sebab di sini ada juga orang tempatan yang turut terlibat dalam
sindiket,” katanya dan mengingatkan kami perlu berhati-hati ketika menyebut
mengenai Rohingya.
Perjalanan melalui laluan tikus
daripada Kampung Syed Omar hanya memerlukan sekitar satu jam untuk sampai ke
batu sempadan Thailand, dan beberapa jam lagi melalui hutan untuk sampai ke
kaki bukit Kampung Puyu.
Hutan yang sama turut
menyambungkan Bukit Bintang, Wang Mu, Wang Kelian dan Hutan Simpan Felda Mata
Ayer di mana beberapa kem transit dan kubur dipercayai mangsa sindiket
pemerdagangan manusia ditemukan pada 19 Mei lepas.
Lan menjelaskan bukti kuat yang
menunjukkan Kampung Puyu menjadi pintu masuk sindiket ialah selepas waran
tangkap dikeluarkan terhadap ketua kampungnya yang dipercayai menjadi antara
orang kanan kepada ketua sindiket di Satun iaitu Pajjuban Angchotipon.
Media Thailand melaporkan
bahawa Pajjuban yang melarikan diri bagaimanapun menyerah diri di Bangkok
beberapa hari kemudian selepas waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.
Beberapa orang lagi ketua
kampung di Satun termasuk ketua kampung Tanjung Pao, Chebilang dan Pulau Jetuk
turut dilaporkan terlibat sebagai orang kanan Pajjuban.
Kampung-kampung ini dipercayai
menjadi transit kepada bot yang membawa pelarian sama ada untuk mengambil
makanan atau mendapat ‘kebenaran’ sebelum berlabuh di Kampung Puyu.
Seorang anggota jawatankuasa
Kampung Tanjung Pao yang tidak mahu namanya didedahkan mengakui kawasan tempat
tinggalnya menjadi tempat persinggahan sementara kapal yang membawa pelarian
Rohingya.
"Mereka selalunya tidak
singgah lama di sini, tak sampai satu hari.
Selalunya bila mereka singgah
di sini, akan ada orang-orang tempatan yang bekerja dengan mereka membawa
makanan dan minyak petrol kepada mereka," katanya.
Dia yang berumur awal 60-an dan
menetap di Tanjung Pao sejak kecil berkata, Thailand hanya menjadi tempat
transit kepada sindiket pemerdagangan manusia sebelum menjual mangsa ke
Malaysia dan Indonesia yang menjadi pilihan utama mangsa.
Bagaimanapun, dia berkata
beberapa buah pulau kecil berhampiran Satun di Lautan Andaman turut dipercayai
menjadi kem tahanan sementara pelarian.
Tanjung Pao terletak kira-kira
13 kilometer (km) daripada Jeti Tammalang yang menyediakan bot tambang ke
Kampung Puyu dan kira-kira 17 km daripada bandar Satun.
Dalam pada itu, seorang warga
emas di Kampung Chebilang yang hanya mahu dikenali sebagai Kuna mengakui sering
melihat dua 'kapal besar tiga tingkat' yang dipercayai memuatkan mangsa
pemerdagangan manusia berlabuh di jeti kampungnya.
"Kami memang selalu tengok
tapi dia tak singgah lama di sini. Tak tahu pula ada sindiket begini,
sehinggalah beberapa orang di kampung ini sendiri ditahan. Banyak pihak
terlibat. Semuanya bekerja untuk satu tauke besar," katanya.
Kampung Chebilang terletak
kira-kira 13 km dari bandar Satun dan tujuh km dari Tanjung Pao.
Penduduk Melayu di kedua-dua
kampung berkenaan fasih berbahasa Melayu loghat
Kedah. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE
7.6.2015
No comments:
Post a Comment