Monday, 1 June 2015

Malaysia pilih laluan berliku – Fandi

01 Jun 2015 1:15 AM
Fandi Othman
Fandi Othman

SINGAPURA – Ke­tua pa­sukan negara, Mohd. Fandi Othman me­ngakui, Malaysia me­nempah laluan berliku apabila sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Timor Leste dalam aksi pembukaan bola sepak Sukan SEA di Singapura, kelmarin.
Katanya, pasukan negara kini tiada pilihan kecuali menewaskan Vietnam dan Thailand sekiranya berhasrat untuk menempah tiket ke separuh akhir selaku dua pasukan teratas Kumpulan B.
Malaysia kini menduduki tangga ketiga kumpulan selepas dua pesaing mereka, Thailand dan Vietnam mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas Laos serta Brunei dalam aksi pembukaan masing-masing.
Tambahnya, ketiadaan Muhd. Nazmi Faiz Mansor yang dijangka tidak boleh beraksi dalam dua perlawanan akan datang pasti merumitkan keadaan tetapi dia menaruh harapan rakan sepasukan lain mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain tengah Sela­ngor itu.
“Kemenangan tipis ke atas Timor Leste bermakna jika kami mahu layak, kami perlu menang..perlu mengutip mata penuh ketika bertemu kedua-dua pasukan (Vietnam dan Thailand), itu laluan yang kami terpaksa lalui.
“Kehilangan Nazmi saya akui akan sedikit jejaskan mood pasukan tetapi kami masih ada pengganti lain dan saya rasa Saiful Ridzuwan (Selamat) boleh menggantikan tempat dia di posisi tengah,” kata Fandi.
Skuad negara dijadual menentang Vietnam esok dan bertemu Thailand pada 4 Jun dalam perlawanan di sebelah petang, dua aksi yang dilihat menjadi hala taju mereka bagi merampas kembali pingat emas yang hilang pada dua edisi lalu.
Menyentuh tindakan Nazmi, Fandi berkata, rakan sepasukannya itu memohon kemaafan atas apa yang dilakukan, namun sebagai satu pasukan, dia menganggap mereka perlu bersama dalam apa jua situasi.
“Selepas permainan tamat, Nazmi ada berjumpa dengan kami dan minta maaf atas apa yang terjadi, sebagai satu pasukan sama ada menang atau kalah, kami tetap akan bersama dalam satu pasukan.
“Inilah bola sepak, kadang-kala kami terpaksa bermain de­ngan 10 orang dan apa yang penting kami kena sentiasa fokus walau apa yang terjadi dan saya tetap gembira walaupun menang 1-0,” katanya.
Bagi penjaga gol negara, Mohd. Farhan Abu Bakar, yang bertindak cemerlang menyelamatkan dua percubaan terakhir lawan pada 10 minit terakhir, kemena­ngan ke atas Timor Leste begitu mencabar sambil berasa sedikit bimbang tanpa kehadiran Nazmi.
“Perlawanan hari ini amat mencabar kerana kita terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain dan ini memang satu kerugian kepada pasukan, syukur dapat mencuri tiga mata penting.
“Cuma satu kerugian kerana tidak banyak gol yang kita dapat jaringkan sebelum menghadapi Vietnam dan Thailand.
“Ketiadaan Nazmi yang saya belum pasti akan digantung berapa perlawanan pasti akan menyukarkan lagi keadaan. Saya menggesa rakan sepasukan berikan komitmen lebih 100 peratus,” katanya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-pilih-laluan-berliku-8211-fandi-1.97842#sthash.DBqsRgyJ.dpuf

No comments:

Post a Comment