NATASHA EZZRA tekad memberikan
aksi terbaik dalam acara lawan pedang tanpa mahu tertekan dengan sasaran pingat
emas.
SINGAPURA – Atlet lawan pedang
wanita negara, Natasha Ezzra Abu Bakar enggan terlalu awal memikirkan mengenai
peluang untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2015 kali ini.
Ini kerana atlet berusia 23
tahun itu tidak mahu meletakkan dirinya dalam keadaan tertekan lebih-lebih
lagi dalam acara foil perseorangan wanita yang akan membuka tirainya di Arena
OCBC, Singapura esok.
Begitupun, Natasha Ezzra akan
tetap memberikan persembahan terbaik kerana dia mempunyai matlamat peribadi
iaitu melakar kejayaan lebih cemerlang daripada Sukan SEA 2011 di Palembang,
Indonesia.
“Saya ada sasaran peribadi pada
temasya kali ini iaitu untuk memperbaiki pencapaian lalu. Kalau boleh saya mahu
masuk ke final sebab dulu (2011) saya sekadar memenangi pingat gangsa.
“Kalau boleh saya memang nak
pingat emas, saya akan cuba yang terbaik tetapi buat masa ini saya tak merasai
tekanan lagi. Malah sebenarnya, saya tak mahu fikir lagi. Saya mahu beraksi
seperti biasa sahaja,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Pada temasya di Palembang,
empat tahun lalu, atlet kelahiran Johor itu terpaksa berpuas hati berkongsi
pingat gangsa dengan Nunta Chantasuvannasin dari Thailand.
Kali ini, Natasha Ezzra menjadi
harapan skuad lawan pedang negara apabila dia diletakkan sasaran untuk
menyumbang emas kepada kontinjen negara selain Yu Peng Kean dalam acara sabre
perseorangan lelaki.
Tiga pingat emas ditawarkan
pada hari pertama acara lawan pedang esok iaitu dalam kategori epee dan sabre
perseorangan lelaki serta foil perseorangan wanita.
Sebagai rekod, skuad lawan
pedang negara berjaya meraih dua pingat emas dan lima gangsa pada Sukan SEA
2011 sebelum ia tidak dipertandingkan pada temasya di Myanmar dua tahun lalu.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0602&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3bsEqFh5E
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment