Monday, 1 June 2015

Natasha Ezzra enggan tertekan dengan sasaran pingat emas


 
NATASHA EZZRA tekad memberikan aksi terbaik dalam acara lawan pedang tanpa mahu tertekan dengan sasaran pingat emas.

SINGAPURA – Atlet lawan pedang wanita negara, Natasha Ezzra Abu Bakar enggan terlalu awal memikirkan mengenai peluang untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2015 kali ini.

Ini kerana atlet berusia 23 tahun itu tidak mahu mele­takkan dirinya dalam keadaan tertekan lebih-lebih lagi dalam acara foil perseorangan wanita yang akan membuka tirainya di Arena OCBC, Singapura esok.

Begitupun, Natasha Ezzra akan tetap memberikan persembahan terbaik kerana dia mempunyai matlamat peribadi iaitu melakar kejayaan lebih cemerlang daripada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia.

“Saya ada sasaran peribadi pada temasya kali ini iaitu untuk memperbaiki pencapaian lalu. Kalau boleh saya mahu masuk ke final sebab dulu (2011) saya sekadar memena­ngi pingat gangsa.

“Kalau boleh saya memang nak pingat emas, saya akan cuba yang terbaik tetapi buat masa ini saya tak merasai tekanan lagi. Malah sebenarnya, saya tak mahu fikir lagi. Saya mahu beraksi seperti biasa sahaja,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada temasya di Palembang, empat tahun lalu, atlet kelahiran Johor itu terpaksa berpuas hati berkongsi pingat gangsa dengan Nunta Chantasuvannasin dari Thailand.

Kali ini, Natasha Ezzra menjadi harapan skuad lawan pedang negara apabila dia di­letakkan sasaran untuk me­nyumbang emas kepada kontinjen negara selain Yu Peng Kean dalam acara sabre perseorangan lelaki.

Tiga pingat emas ditawarkan pada hari pertama acara lawan pedang esok iaitu dalam ka­tegori epee dan sabre perseorangan lelaki serta foil perseorangan wanita.

Sebagai rekod, skuad lawan pedang negara berjaya me­raih dua pingat emas dan lima gangsa pada Sukan SEA 2011 sebelum ia tidak dipertandingkan pada temasya di Myanmar dua tahun lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0602&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3bsEqFh5E Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment