‘Jangan
ulangi kesilapan generasi 1994’
Oleh AHMAD
FAZLI MOHD. YADI
BEKAS
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ibrahim Saad
menggesa generasi bola sepak sekarang mengamalkan semangat cintakan negara
dengan tidak sesekali melibatkan diri dalam skandal rasuah.
Ini kerana
beliau tidak mahu lagi menyaksikan skandal mengatur perlawanan yang menyaksikan
78 pemain bola sepak digantung pada tahun 1994 sehingga 1995 kembali melanda
negara.
Bagaimanapun,
Ibrahim yang menjadi antara individu terawal melaporkan kegiatan rasuah itu
kepada polis ketika menjadi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang
(FAP) pada tahun 1994, mengakui menarik nafas lega selepas menyaksikan 78
pemain tersebut dibebaskan daripada hukuman tersebut.
“Mesejnya
senang sahaja. Ini membuktikan (laporan) saya bukan mahu menangkap mereka (78
pemain) dengan sewenang-wenangnya. Prosesnya amat panjang kerana ia melibatkan
polis, FAM, AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan FIFA (Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa).
“Sama
seperti (pengumuman Timbalan Presiden FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah, beliau
juga harus melalui proses yang panjang. Maka, (FIFA telah bersetuju) untuk
membebaskan mereka daripada kesalahan tersebut, baguslah buat pemain-pemain
terbabit.
“Namun, kita
harus melihat kesannya pada bola sepak secara menyeluruh. Bayangkan, satu
generasi hilang begitu sahaja ketika itu yang mana kita terpaksa mencari
pemain-pemain baharu kerana tiada pelapis bagi meneruskan perjalanan liga.
“Saya masih
ingat skandal tersebut dan saya benar-benar kecewa kerana sebaik melaporkan
kepada polis, pada awalnya saya fikir hanya tiga atau empat pemain terlibat
tetapi sangkaan saya meleset apabila pihak berkuasa mendedahkan, lebih 50
pemain terlibat dalam skandal tersebut.
“Betapa
kecewanya saya ketika itu kerana sebenarnya kita memiliki ramai pemain-pemain
berkaliber. Saya tidak sangka ia (rasuah) merebak dengan begitu teruk pada
tahun 1994 dan saya berharap ia tidak akan berulang sekali lagi,” katanya
ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo!
semalam melaporkan, FAM mengesahkan bahawa seramai 78 pemain yang digantung
seumur hidup gara-gara terlibat dengan gejala rasuah dibebaskan sepenuhnya.
Mereka
diberikan pilihan sama ada untuk kembali aktif dalam bola sepak pada peringkat
kebangsaan mahupun peringkat negeri.
Dalam
perkembangan sama, Ibrahim tidak melihat generasi bola sepak kini harus
mengambil rasuah kerana mereka memiliki kelebihan jika dibandingkan dengan
pemain-pemain era 1990-an.
“Saya fikir
pemain moden sekarang tidak perlu nasihat. Mereka sudah profesional dan sudah
tahu tanggungjawab kepada diri sendiri, pasukan dan negara.
“Sekarang
ini jika mereka kekurangan wang, ia masih boleh diselesaikan dengan pelbagai
cara tetapi jika mahu bandingkan situasi dahulu dengan sekarang, saya yakin
zaman sekarang adalah lebih baik,” katanya
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0511&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz48LVjOK8D
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment