Saturday, 15 February 2014

Laluan sukar bukan alasan

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Goh V Shem tidak mahu laluan sukar yang bakal diharungi bersama Lim Khim Wah pada saingan Terbuka Jerman bermula 25 Februari ini, menjadi alasan kepada mereka untuk pulang lebih awal.

Sebaliknya dia serta Khim Wah yang masih segar dengan kemenangan pada saingan Siri Super Premier Terbuka Malaysia bulan lalu, tetap meletakkan sasaran tinggi iaitu untuk mara sekurang-kurangnya ke saingan separuh akhir pada saingan itu.Kedua-dua mereka dilihat berada pada kemuncak prestasi tetapi undian Terbuka Jerman seolah-olah tidak memihak kepada mereka apabila terpaksa melalui laluan berliku sekiranya mahu merealisasikan impian mara ke separuh akhir.

“Bukan pada saingan suku atau separuh akhir, bagi saya seawal pusingan pertama lagi laluan kami berdua tidak mudah.
 Foto
V SHEM (kiri) letak sasaran tinggi.

“Kekuatan mental memainkan peranan utama. Kami perlu kuat menghadapi cabaran ini kerana lawan pasti sentiasa mencari kelemahan kami berdua selepas memenangi Terbuka Malaysia.
“Kami perlu lebih konsisten dan cuba untuk mengurangkan kesilapan sama terutama ketika Terbuka Malaysia lalu,” katanya.

Pada pusingan pertama, V Shem-Khim Wah dijangka tidak berdepan masalah menghadapi pasangan Hong Kong Chan Yun Lung-Lee Chun Hei tetapi Michael Fuchs-Johannes Schoettler dari Jerman yang mempunyai rekod lebih baik berbanding pasangan negara itu dijangka menanti mereka pada pusingan kedua.

Seandainya melepasi rintangan di pusingan kedua, beregu nombor tiga dunia dari Jepun Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dijangka menanti mereka di suku akhir dan sekiranya berjaya melakukan kejutan, lawan seangkatan mereka dari Indonesia Angga Pratama-Ryan Agung Saputra mungkin bakal ditemui pada saingan separuh akhir.

V Shem berkata, dia serta Khim Wah tidak pernah memandang mudah saingan Terbuka Jerman meskipun tumpuan lebih terarah kepada saingan Seluruh England.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

MYMETRO ONLINE 15.2.14

No comments:

Post a Comment