Ad

Thursday, 22 May 2014

‘Cepatlah, saya dah tak sabar!’

 Sao Paulo: Ketika Dani Alves membayangkan tekanan selaku tuan rumah tidak akan memberi kesan kepada Brazil, tonggak pertahanan David Luiz pula tampil mengakui dia tidak sabar menantikan temasya bola sepak terbesar dunia itu bermula.

“Kami tidak sabar, saya harap ia bermula esok,” kata Luiz.
“Sesetengah daripada kami tidak lena tidur. Namun ia sebahagian daripada keadaan yang perlu dihadapi. Ia adalah peluang yang hebat dan kami mendapat keistimewaan beraksi di hadapan penyokong sendiri. Saya tidak sabar untuk menanti kejohanan itu bermula.” Pertahanan Chelsea itu berkata, suasana yang sedang dihadapi dalam skuad Brazil adalah pengalaman terbaiknya sepanjang tempoh lebih sedekad bergelar pemain profesional. 
Dia menambah, perpaduan akan membantu mereka mengatasi tekanan beraksi di negara sendiri pada Piala Dunia bulan depan. 
“Kami perlu mencari keseimbangan,” kata pemain berusia 27 tahun itu. 
“Sehingga satu tahap (kebimbangan) adalah bagus, ia membolehkan anda berfikir mengenai perlawanan. Namun jika terlebih, ia memberi kesan buruk, kami perlu mengatasinya dan lebih mudah melakukannya secara berkumpulan.

“Kumpulan pemain ini amat berfikiran terbuka, setiap orang mempunyai hak menyuarakan pendapat dan setiap orang membantu satu sama lain.

“Kami gembira dan tidak sabar mengharungi tiga perlawanan awal dan bersedia untuk bermula dengan pada tahap tertinggi.” Brazil akan memulakan saingan Piala Dunia menentang Croatia pada 12 Jun di Sao Paulo disusuli menentang Mexico dan Cameroon dalam aksi Kumpulan A.

Mereka akan beraksi dalam dua perlawanan pemanas badan menentang Panama di Goiania pada 3 Jun disusuli Serbia di Sao Paulo pada 6 Jun.Pertahanan Barcelona, Alves berkata, walaupun sebahagian besar pemain yang disenaraikan jurulatih Brazil tidak mempunyai pengalaman luas di Piala Dunia, mereka sudah bermain di peringkat tertinggi dan ia sama sekali tidak akan menjejaskan tumpuan.

“Ia adalah tekanan yang positif, ia tekanan yang kami mahu rasakan,” katanya“Saya fikir anda akan mencapai sesuatu apabila dicabar, jika anda tidak dicabar sukar untuk mengimpikan sesuatu. Kami melihat tekanan itu secara positif.” - Reuters

Artikel ini disiarkan my METRO pada : 2014/05/22

No comments:

Post a Comment