LONDON - Manchester United
semalam mengesahkan melantik Louis van Gaal sebagai pengurus baharu mereka
untuk musim depan.
Pengumuman mengenai pelantikan
pengendali skuad Piala Dunia 2014 Belanda itu dibuat menerusi satu kenyataan
kepada media.
Van Gaal yang akan meninggalkan
skuad kebangsaan negaranya selepas Piala Dunia di Brazil itu nanti bersetuju
untuk mengikat kontrak bersama kelab gergasi England itu selama tiga tahun.
Selain itu, United juga
mengesahkan Ryan Giggs akan menjadi penolong kepada van Gaal yang cukup
berpengalaman termasuk pernah menjadi pengendali kepada Ajax Amsterdam,
Barcelona dan Bayern Munich sebelum ini.
Pada usia 62 tahun, van Gaal
juga pernah mencipta kejayaan besar di tiga negara dan beberapa kejohanan besar
seperti Liga Juara-Juara Eropah dan Piala UEFA.
"Dengan pemilihan van
Gaal, kami menganggap telah berjaya mendapatkan khidmat seorang pengurus yang
cukup berkebolehan dalam sukan bola sepak ketika ini.
"Banyak pencapaian besar
dicipta dalam kariernya dan kini tiba masa beliau memulakan episod baharu di
Manchester United pula.
"Semua orang kini ghairah
untuk memulakan fasa baharu dalam sejarah kelab ini. Rekod hebat beliau dalam
memenangi kejuaraan liga dan piala di sekitar Eropah meletakkannya sebagai
pilihan paling tepat untuk kami," kata Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed
Woodward dalam kenyataan itu.
Pada masa sama, Woodward juga
berbesar hati dan lega dengan langkah van Gaal memilih sendiri Giggs sebagai
penolongnya.
"Hubungan Giggs dengan
kelab ini selama dua dekad pastinya amat berguna buat van Gaal di samping
memberi peluang kepada Giggs untuk belajar sebaik mungkin," tambahnya.
Selain Giggs, van Gaal turut
membawa masuk jurulatih penjaga gol Belanda, Frans Hoek dalam pasukan
kejurulatihannya di samping pakar pencarian bakat, Marcel Bout sebagai penolong
jurulatih.
"Menjadi impian saya untuk
bekerja dalam Liga Perdana England ini. Apatah lagi menjadi pengurus kepada
Manchester United iaitu sebuah kelab terbesar di dunia.
"Ia cukup membanggakan
apabila saya dapat berada di kelab yang bercita-cita besar seperti ini. Saya
juga ada cita-cita. Ayuh bersama-sama kita mencipta sejarah," kata van
Gaal. - Reuters
KOSMO ONLINE 20.5.14
No comments:
Post a Comment