Ad

Tuesday, 20 May 2014

Malaysia tempah tiket suku akhir

MALAYSIA meraih kemenangan kedua dalam kempen Piala Thomas 2014 apabila menewaskan Jerman 4-1 pada aksi Kumpulan C semalam.

Pada saingan di Stadium Tertutup Siri Fort, New Delhi itu, pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi menyumbang mata pertama apabila menewaskan Marc Zwiebler 21-14, 21-8.

Mata kedua pula disumbangkan oleh Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong yang dipaksa bekerja keras dalam masa 57 minit sebelum menewaskan Johannes Schoettler-Michael Fuchs 13-21, 21-17, 21-18.

Perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng mengambil masa satu jam untuk menyumbangkan mata ketiga apabila menundukkan Dieter Domke dalam satu persaingan sengit yang berkesudahan 19-21, 22-20, 23-21.

Juara Terbuka Malaysia 2014, Goh V Shem-Lim Khim Wah terus menjulang nama negara apabila menewaskan Peter Kaesbauer-Josche Zurwonne 21-12, 21-18 dalam masa setengah jam.

Bagaimanapun, impian kapten, Liew Daren untuk menyumbangkan mata pertama pada kempen Piala Thomas kali ini masih belum kesampaian.

Daren tewas kepada Lukas Schmidt straight set 20-22, 10-21 dalam masa 36 minit.

Walaupun kemenangan 4-1 ke atas Jerman semalam telah mengesahkan tiket suku akhir, Malaysia harus menumbangkan naib juara edisi 2012, Korea Selatan esok jika mahu bergelar juara Kumpulan C.

Sementara itu, skuad Piala Uber negara tumpas 2-3 kepada pasukan pilihan, Denmark pada aksi pertama Kumpulan Z semalam.

Skuad wanita hanya meraih mata daripada dua pemain perseorangan - Tee Jing Yi dan Lim Yin Fun yang beraksi pada perlawanan pertama dan kelima.

Jing Yi menyumbangkan mata pertama selepas menewaskan Line Kjaersfeldt 21-14, 22-20 manakala Yin Fun menang 21-15, 14-21, 21-19 ke atas Sandra Maria Jensen.

Beregu wanita pertama, Woon Khe Wei-Vivian Hoo tewas kepada pasangan No. 3 dunia, Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl 17-21, 10-21.

Perseorangan kedua negara, Yang Li Lian pula tersungkur di tangan Anna Thea Madsen dalam satu aksi sengit yang berkesudahan 13-21, 21-15, 19-21.

Mata kemenangan Denmark pula menerusi beregu kedua mereka, Marie Roepke-Line Damkjaer Kruse yang menumpaskan Lee Meng Yean-Lim Yin Loo 19-21, 21-16, 21-19.

Kosmo online 20.5.14

No comments:

Post a Comment