MALAYSIA meraih kemenangan
kedua dalam kempen Piala Thomas 2014 apabila menewaskan Jerman 4-1 pada aksi
Kumpulan C semalam.
Pada saingan di Stadium
Tertutup Siri Fort, New Delhi itu, pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei
sekali lagi menyumbang mata pertama apabila menewaskan Marc Zwiebler 21-14,
21-8.
Mata kedua pula disumbangkan
oleh Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong yang dipaksa bekerja keras dalam masa 57
minit sebelum menewaskan Johannes Schoettler-Michael Fuchs 13-21, 21-17, 21-18.
Perseorangan kedua negara,
Chong Wei Feng mengambil masa satu jam untuk menyumbangkan mata ketiga apabila
menundukkan Dieter Domke dalam satu persaingan sengit yang berkesudahan 19-21,
22-20, 23-21.
Juara Terbuka Malaysia 2014,
Goh V Shem-Lim Khim Wah terus menjulang nama negara apabila menewaskan Peter
Kaesbauer-Josche Zurwonne 21-12, 21-18 dalam masa setengah jam.
Bagaimanapun, impian kapten,
Liew Daren untuk menyumbangkan mata pertama pada kempen Piala Thomas kali ini
masih belum kesampaian.
Daren tewas kepada Lukas
Schmidt straight set 20-22, 10-21 dalam masa 36 minit.
Walaupun kemenangan 4-1 ke atas
Jerman semalam telah mengesahkan tiket suku akhir, Malaysia harus menumbangkan
naib juara edisi 2012, Korea Selatan esok jika mahu bergelar juara Kumpulan C.
Sementara itu, skuad Piala Uber
negara tumpas 2-3 kepada pasukan pilihan, Denmark pada aksi pertama Kumpulan Z
semalam.
Skuad wanita hanya meraih mata
daripada dua pemain perseorangan - Tee Jing Yi dan Lim Yin Fun yang beraksi
pada perlawanan pertama dan kelima.
Jing Yi menyumbangkan mata
pertama selepas menewaskan Line Kjaersfeldt 21-14, 22-20 manakala Yin Fun
menang 21-15, 14-21, 21-19 ke atas Sandra Maria Jensen.
Beregu wanita pertama, Woon Khe
Wei-Vivian Hoo tewas kepada pasangan No. 3 dunia, Christinna Pedersen-Kamilla
Rytter Juhl 17-21, 10-21.
Perseorangan kedua negara, Yang
Li Lian pula tersungkur di tangan Anna Thea Madsen dalam satu aksi sengit yang
berkesudahan 13-21, 21-15, 19-21.
Mata kemenangan Denmark pula
menerusi beregu kedua mereka, Marie Roepke-Line Damkjaer Kruse yang menumpaskan
Lee Meng Yean-Lim Yin Loo 19-21, 21-16, 21-19.
Kosmo online 20.5.14
No comments:
Post a Comment