Ad

Monday, 19 May 2014

Atletico akhiri kemarau

 
SIMEONE dijulang pemain-pemainnya sebaik Atletico mengesahkan status selaku juara Liga Sepanyol musim ini kelmarin.

BARCELONA - Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone memuji kesungguhan anak-anak buahnya merangkul kejuaraan pertama Liga Sepanyol dalam tempoh 18 tahun.

Kejayaan itu hadir sejurus Atletico mengikat pencabar terdekat, Barcelona 1-1 pada aksi terakhir liga domestik di Stadium Nou Camp, kelmarin.

Sebelum perlawanan itu bermula, Atletico hanya memerlukan satu mata bagi memecahkan dominasi dua pasukan, Barcelona dan Real Madrid yang sering menjuarai liga dalam tempoh 10 tahun lalu.

Pada aksi tersebut, Atletico terlebih dahulu ketinggalan satu gol selepas pemain sayap Barca, Alexis Sanchez mencetak gol pada minit ke-34.

Begitupun, skuad bimbingan Simeone itu memperagakan aksi 'sang juara' dengan menyamakan kedudukan menerusi tandukan deras pemain pertahanan, Diego Godin (m-49).

"Tiada ganti untuk kerja keras. Pasukan ini memahaminya dengan jelas dan telah menjalankan tugas dengan sangat baik.

"Hari ini (kelmarin) merupakan satu detik terpenting dalam sejarah Atletico," katanya.

Sementara itu, jurulatih berusia 44 tahun itu turut memberi penghormatan kepada bekas pengurus Sepanyol dan lagenda Atletico, Luis Aragones yang telah meninggal dunia pada usia 75 tahun, awal tahun ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada presiden dan ketua pegawai eksekutif kelab yang sentiasa menaruh kepercayaan kepada kami. Tidak lupa juga kepada Aragones.

"Selain itu, saya berterima kasih kepada semua penyokong kerana memberikan sokongan padu dan sentiasa berdiri di belakang kami sepanjang musim ini," tambahnya.

Atletico juga berpeluang memahat sejarah baharu serta meraih kejayaan berganda musim ini jika berjaya menewaskan Real Madrid pada aksi final Liga Juara-Juara di Stadium Lisbon, Sabtu ini. - AFP

rujukanArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo online 19.5.14

No comments:

Post a Comment