17 Mei 2014
Keyakinan Brazil memuncak
Barisan pemain yang diramal bakal memperkuatkan jentera Brazil dalam aksi Piala
Dunia nanti.
SELAKU tuan rumah, Brazil
dilihat tidak berdepan masalah untuk memberi saingan dalam Kumpulan A.
Di tambah dengan sokongan padu
daripada penyokong, peluang Brazil untuk melangkah ke pusingan kedua dilihat
mudah.
Bagaimanapun skuad bimbingan
Luiz Felipe Scolari perlu berdepan tiga lagi pasukan yang turut diundi dalam
Kumpulan A iaitu Mexico, Cameroon dan Croatia yang semestinya akan memberi
tentangan hebat buat juara lima kali itu.
Skuad Samba akan membuka tirai
kejohanan bola sepak paling berprestij itu menentang Croatia, 13 Jun nanti.
Membariskan pemain berkelas
dunia, antaranya Neymar, Hulk, Jo, Bernard dan Fred di barisan serangan, sudah
pasti ia akan mengundang resah buat pasukan lain.
Dibantu dengan perancang tengah
yang kreatif seperti Paulinho, Ramires, Willian, Oscar, Hernanes, Luiz Gustavo
dan Fernandinho, Brazil kali ini sudah pasti mampu mencapai kegemilangan semula
selepas kali terakhir menjulang Piala Dunia pada 2002.
“Matlamat kami hanya satu iaitu
mencapai kemenangan dalam semua perlawanan di halaman sendiri.
“Tiada tekanan. Semua pemain
dalam keadaan tenang. Jika ada pasukan yang lebih baik, kami akan terima tetapi
mereka perlu buktikan terlebih dahulu,” kata Scolari.
Selain Brazil, Croatia juga
mempunyai peluang cerah untuk mengiringi pasukan tuan rumah ke pusingan kedua.
Dibarisi dengan pemain ternama
antaranya Mario Mandzukic, Eduardo dan Luka Modric, pasukan bimbingan Niko
Kovac menjanjikan saingan yang sengit terutamanya berdepan pasukan tuan rumah.
Mereka yang sebelum ini
melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia selepas melalui saingan playoff
yakin akan membuat kejutan untuk melangkah ke pusingan kedua.
“Kami akan melakukan yang
terbaik di Brazil nanti,” tegas Kovac.
Sementara itu, Mexico mempunyai
peluang yang lebih besar berbanding Cameroon untuk memberi saingan kepada
Brazil dan Croatia.
Bagaimanapun, segalanya masih
boleh berubah kerana dalam dunia bola sepak, segalanya berkemungkinan.
Sinar HARIAN ONLINE 17.5.14
No comments:
Post a Comment