Ad

Saturday, 17 May 2014

FAM tunggu kehadiran Wolfgang Sidka

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my
 
 Wolfgang SIDKA
KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih Iraq, Wolfgang Sidka muncul nama terbaharu yang berminat untuk mengendalikan Harimau Malaya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa mereka sedang menunggu kedatangan warga Jerman itu untuk ditemuduga.

Bekas pemain Werder Breman, Sidka pernah melatih skuad kebangsaan Iraq dan Bahrain akan bersaing dengan calon-calon lain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk K. Rajagobal.

Sebelum ini, bekas pemain Real Madrid dan Barcelona, Luis Milla bersama jurulatih Mozambique, Gern Engels antara calon yang berminat untuk me­latih skuad Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya masih dalam proses penilaian terakhir sebelum nama jurulatih baharu dijang­ka diumumkan bulan depan.

Beliau juga mengesahkan FAM telah mengadakan pertemuan dengan Engles kelmarin dan sedang menilai beberapa calon lain.

“Memang benar, kita ada pertemuan (dengan Engles) semalam (kelmarin). Kami dalam proses temuduga yang mana FAM sedang mengenal pasti seorang dua calon lagi dalam sesi temuduga ini.

“Sidka adalah calon terbaharu yang berminat dengan jawatan ini. Kami akan me­nunggu kedatangannya dalam tempoh terdekat.

“Nama calon yang melepasi saringan temuduga ter­akhir akan dibawa ke dalam Mesyuarat Exco FAM untuk diluluskan oleh jawatankuasa FAM," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Akhbar kelmarin melaporkan, Milla dan Engels, masing-masing telah me­nyatakan minat untuk melatih skuad negara, yang ketika ini dibimbing oleh jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee.

Selain mereka berdua, Rudi Voller (bekas pemain Jerman), Peter Reid (bekas jurulatih Thailand) dan Zdenek Zeman (bekas jurulatih AS Roma) juga dikatakan memasang impian untuk menjadi jurulatih baharu Harimau Malaya.

Begitupun, FAM masih tidak dapat melupakan episod duka dalam misi memburu khidmat pakar asing sebagaimana badan persatuan itu pernah dikecewakan oleh Phillipe Troussier.

Bekas jurulatih Jepun itu dikatakan terlalu demanding apabila menuntut perjanjian yang tidak masuk akal, sehingga menyebabkan FAM terpaksa membatalkan niat untuk mendapatkan khidmatnya.

Antara tuntutan tidak masuk akal yang dimahukan oleh Troussier adalah mahu mendapatkan kemudahan pa­ling canggih, permukaan padang harus mantap dan beliau boleh meninggalkan FAM bila-bila masa jika tidak berpuas hati dengan suasana di negara ini dengan bersyarat, gaji dibayar meskipun telah meletak jawatan.

Tambah Hamidin, pihaknya masih tidak terdesak untuk mencari calon-calon jurulatih baharu Harimau Malaya.

“Selepas kami gagal mencapai persetujuan dengan Troussier, FAM telah mengadakan pertemuan dengan ramai jurulatih lain.

“Sesi temuduga ini berlaku di dalam dan luar negara. Kami hanya menunggu proses pemilihan saringan terakhir dalam hal ini," katanya.RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140515/su_01/FAM-tunggu-kehadiran-Wolfgang-Sidka#ixzz321JmpRM3

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment