Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my
SEPANG - Ketua jurulatih
perseorangan negara, Rashid Sidek menuntut skuad negara memikirkan satu
persatu lawan pada peringkat Kumpulan C kejohanan badminton Piala Thomas 2014
terlebih dulu daripada terlalu ghairah untuk cuba menjuarainya.
Katanya, keghairahan atau sikap
terburu-buru itu hanya akan menambahkan tekanan kepada seluruh pasukan
sehingga mampu menjejaskan mutu persembahan sebenar mereka di gelanggang.
Sukar hendak cakap bahawa saya
yakin untuk memenangi (persaingan peringkat) kumpulan. Paling penting kami
hadapi satu persatu (India, Jerman dan Korea Selatan).
Jika kita fikirkan terlalu
jauh hendak menjuarainya, nanti perlawanan pertama dan kedua, ada yang bermain
tidak bagus dan memberikan lebih tekanan kepada pasukan kita. Jadi saya rasa, kami
fikirkan satu persatu supaya pemain dapat berikan yang terbaik," katanya.
Rashid mengulas persediaan anak
buahnya menjelang kejohanan di New Delhi pada 18-25 Mei ini, ketika ditemui
sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini,
semalam.
Namun pemenang Piala Thomas
1992 itu mengakui Korea Selatan merupakan lawan paling sukar buat anak buahnya
berbanding tuan rumah dan Jerman yang mampu diatasi memandangkan kecenderungan
kekuatan kedua-duanya hanya kepada perseorangan.
Beregu mereka (India dan
Jerman) kurang bagus tetapi Korea yang paling kuat. Memang kami sudah bersedia
dan menyedari kekuatan mereka dan saya harap peminat kita akan terus menyokong
kami tanpa putus asa walau apa juga yang berlaku," katanya.
Rashid juga mengakui kadang
kala faktor tuah dan kebetulan pada hari perlawanan, memainkan peranan
sekiranya bertemu lawan yang lebih handal atau sama taranya dengan Malaysia
seperti Korea Selatan, Denmark, Indonesia mahupun China.
Contohnya ketika kita menang
pada 1992, pasukan negara tidaklah kuat sangat tetapi faktor seperti itulah
yang akan dapat membantu pula pasukan ini ketika taraf lawan hampir setara
kita," katanya.
Sementara itu, pemain paling
senior, Datuk Lee Chong Wei menganggap skuad negara tidak akan kerugian
apa-apa sekiranya setiap pemain sudah mengerah aksi terbaik mereka terutama
apabila berdepan lawan yang sesengit Korea Selatan.
Pasukan lebih bersemangat kali
ini dan mereka kenal siapa lawan kita. Korea Selatan ada dua beregu yang lebih
kuat tetapi kami tidak akan rugi apa-apa, hanya lawan mereka habis-habisan dan
tumpukan prestasi sendiri serta pemain saling menyokong," katanya.
Bagaimanapun Chong Wei
menyedari, menjuarai Kumpulan C dengan menewaskan Korea Selatan bakal
mencerahkan peluang pasukan ke separuh akhir supaya dapat mengelak mereka
bertembung China atau Indonesia lebih awal.
Walaupun bukan lagi sebagai
ketua pasukan (diserahkan kepada Liew Daren), tanggungjawab saya masih berat
sebagai perseorangan pertama. Mungkin dengan memenangi mata pertama, pasukan
kita akan lebih tenang dan yakin terutamanya dua beregu.
Kepada rakyat Malaysia, kami
akan cuba yang terbaik dan sentiasalah menyokong kami. Piala Thomas kali ini
mungkin yang terakhir buat saya, amat penting," katanya.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140516/su_05/Piala-Thomas-Fikirkan-lawan-satu-persatu---Rashid#ixzz321NhHytz
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment