8 Mac 2014
Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Kawasan operasi
mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang hilang hari
ini, diperluas sehingga ke sempadan negara Vietnam selepas pencarian awal buntu
menemui pesawat itu.
Kawasan asal operasi ialah 120
batu nautika timur Kota Baharu, Kelantan.
Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata usaha mencari pesawat itu diteruskan dengan memperluas
kawasan operasi kerana pesawat berkenaan belum ditemui.
"Kami tidak menemui
sebarang bangkai pesawat," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sama-Sama,
KLIA di Sepang selepas bertemu anggota keluarga penumpang dan anak kapal
pesawat yang hilang itu.
Operasi mencari pesawat itu
turut memperkukuh kerjasama erat antara komuniti Asean, China dan Amerika
Syarikat.
Najib berkata Singapura dan
Vietnam bersetuju menyertai operasi itu bersama-sama Amerika Syarikat dan China
dengan menggembleng beberapa aset bagi menjayakannya.
Malaysia turut menambah asetnya
untuk operasi itu membabitkan 15 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),
termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter
Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal
Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).
Pesawat MH370 itu hilang
daripada radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA) pukul 12.41 pagi menuju ke Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di
Beijing 6.30 pagi.
Menurut MAS, seramai 38 rakyat
Malaysia, 153 rakyat China, lima warga India, tujuh Indonesia, seorang Rusia
dan dua Ukraine adalah antara 227 penumpang dari 14 negara.
Sehingga kini, tidak diketahui
nasib pesawat itu serta penumpang dan 12 anak kapalnya.
Perdana Menteri berkata
terdapat beberapa teori berkaitan kehilangan pesawat itu dan menyifatkan teori
ia dirampas hanyalah spekulasi.
Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya pula berkata insiden itu tidak menjejaskan
operasi penerbangan pesawat MAS yang lain manakala Malaysia Airports Holdings
Bhd (MAHB) memaklumkan operasi semua penerbangan di KLIA berjalan seperti biasa.
- Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 8.3.14
No comments:
Post a Comment