Ad

Friday, 14 March 2014

Perdana Menteri sertai ribuan jemaah solat hajat di Masjid KLIA

 
NAJIB Tun Razak bersama jemaah mengaminkan doa yang dibaca oleh Imam II, Mohd. Aizuddin Mohd. Salleh selepas solat hajat mencari pesawat MH370 di Masjid Sultan Abdul Samad, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, semalam. Turut serta Jamil Khir Baharom (empat dari kanan) dan Hishammuddin Tun Hussein.
SEPANG 14 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini menunaikan solat Jumaat, diikuti solat hajat di Masjid Sultan Abdul Samad di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Solat hajat itu yang dipimpin oleh Imam II masjid tersebut, Mohd. Aizuddin Mohd. Salleh bertujuan memohon pertolongan daripada Allah supaya operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu itu dipermudahkan.

Yang hadir sama, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Dalam pada itu, suasana di perkarangan masjid tersebut bertukar kecoh seketika apabila beberapa media dari luar negara bertindak keterlaluan apabila cuba mendapatkan reaksi Perdana Menteri ketika mahu menuju ke ruang solat.

Lebih keterlaluan apabila, wartawan tersebut menyoal dengan cara terjerit-jerit beberapa kali biarpun telah dihalang oleh pasukan keselamatan.

Namun, Perdana Menteri tetap tenang dan hanya menjawab ringkas asakan media itu: "Kami doakan pada semua."

Beliau merujuk kepada nasib 239 penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang kali terakhir dikesan pada pukul 1.30 pagi di Laut China Selatan.

Sementara itu, dalam khutbah yang disampaikan oleh Pegawai Penyelaras Masjid Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, Rahimi Abdul Aziz, beliau menyeru semua pihak supaya berprasangka baik dengan ujian yang diturunkan Allah itu.

Pada masa sama, katanya, orang ramai juga dinasihatkan tidak mengambil kesempatan dengan menyebar khabar angin atau berita palsu sehingga menyusahkan semua pihak.
SUMBER-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140315/dn_03/Perdana-Menteri-sertai-ribuan-jemaah-solat-hajat-di-Masjid-KLIA#ixzz2vyuF3o8H

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment