Ad

Saturday, 8 March 2014

SEJARAH ISLAM STPM P2

OLEH- AHMAD YAAKOB
SEJARAH  ISLAM (500 - 1918)
1 Masyarakat, Pemerintahan,Pertahanan, dan Perhubungan Luar
1.1  Masyarakat jahiliah Semenanjung Tanah Arab (abad ke-6) STPM 2012
(a)    menjelaskan konsep dan struktur masyarakat jahiliah.
MASYARAKAT JAHILIAH
       AI-Quran tidak membatasi masa bagi zaman jahiliah, tetapi hanya sekadar menyatakan secara umum ruang lingkup zaman tersebut dengan ungkapan,'Jahiliah yang dahulu. Dalam kamus-kamus Arab juga hanya menyatakan bahawa zaman Jahiliah ialah zaman sebelum Islam, iaitu zaman sebelum turunnya al-Quran .Dalam konteks masyarakat Arab, zaman yang dipanggil zaman jahiliah ialah zarnan selepas keruntuhan kerajaan Saba'. Pada masa itu tiada nabi yang diutus dan tiada kitab suci daripada Allah SWT untuk dijadikan petunjuk Pada masa yang sama, tiada ciri-ciri ketamadunan atau pembangunan fizikal yang melambangkan peradaban yang tinggi.

       Lebih tepat, zaman jahiliah bermula selepas kejatuhan kerajaan Saba’ peringkat ketiga atau peringkat akhir  pemerintahan  Himyar pada tahun 300 M dan berakhir setelah turunnya kitab suci al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahun 610 M. Dalam tempoh kira-kira tiga abad iatu masyarakat Arab pada amnya, telah.mengalami zaman keruntuhan bukan sahaja dari segi agama dan akhlak tetapi juga dari segi politik, ekonomi, sosial dan ilmu pengetahuan.

Konsep Jahiliah.[Hasil pembelajaran:menjelaskan konsep jahiliah]
Jahiliah berasal daripada akar kata jahala dan kata terbitan jahlun atau jahlatun yang bererti bodoh dan sesat.
Berdasarkan al-Quran, ciri-ciri jahiliah dapat dirumuskan kepada
empat, iaitu:
(a)zaman yang tidak mempunyai nabi dan kitab suci sebagai petunjuk.
(b) masyarakatnya tidak mempunyai peradaban dan tamadun.
(c ) masyarakatnya tidak berakhlak, bersikap angkuh dan bongkak.
(d )masyarakatnya jahil kerana tidak boleh menulis dan membaca.
Jika satu daripada sifat-sifat tersebut terdapat pada sesuatu zaman atau masyarakat tersebut boleh dianggap masyarakat jahiliah.Berdasarkan pengertian tersebut, kebenaran pendapat orientalis Barat seperti P. K. Hitti tentang makna jahiliah boleh disangkal.Menurut P. K. Hitti, masyarakatArab jahiliah hanya jahil dari segi agama dan kepercayaan tetapi maju dari segi ilmu pengetahuan dan mempunyai tamadun yang tinggi.

       Pendapat P. K. Hitti tentang makna jahiliah dari segi ketepatan sejarah juga boleh dipersoal. Ini kerana kerajaan Saba' pada Zaman kegemilangannya (pada zaman Ratu Balqis) telah menerima ajaran Nabi Sulaiman a.s. dan Allah SWT menganugerahkan kerajaan Saba' sebagai "negeri yang makmur dan mendapat pengampunan Tuhan". Setelah kerajaan ini ingkar kepada Allah SWT, maka Allah SWT telah menurunkan bala dan kerajaan ini mengalami keruntuhan.Di Semenanjung Tanah Arab, zaman yang paling layak digelar zaman jahiliah ialah zamaln selepas keruntuhan kerajaan Saba', iaitu sekitar tahun 300 M hingga kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahun 610 M. Dalam tempoh masa ini, tiada rasul dan tiada kitab suci diturunkan sebagai petunjuk.Pada zaman jahiliah, masyarakat Arab berada dalam kekufuran, kemaksiatan, keangkuhan dan kejahilan dalam ilmu pengetahuan.

Struktur  Masyarakat Jahiliah[Hasil pembelajaran:menjelaskan struktur masyarakat jahiliah]
Masyarakat jahiliah mengamalkan sistem berkabilah, iaitu satu unit sosial yang mengawal sistem pentadbiran masyarakat. Sistem masyarakat berkabilah ini adalah berlandaskan kepada
pertalian darah dan keturunan yang diistilahkan sebagai semangat asabiyah.

       Semangat asabiyah ialah perasaan taksub kepada kabilah dan bermegah dengan kabilahnya. Mereka memandang hina terhadap kabilah yang lain. Unit paling asas dalam sistem kabilah ialah seseorang individu yang terikat dengan kabilah masing-masing. Seterusnya, diikuti dengan unit keluarga (a'ilah) yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak yang tinggal dalam satu khemah.

       Manakala beberapa buah khemah akan membentuk satu kumpulan (hayy), dan beberapa hayy terbentuklah satu kaum. Setiap kaum akan membentuk satu kabilah.Wakil daripada kaum-kaum yang membentuk kabilah ini akan melantik seorang ketua (syeikh) untuk mengetuai kabilah mereka. Syeikh ini bertanggungjawab mempengerusikan Majlis Kabilah.

       Syeikh sangat dihormati dan ditaati dalam kabilahnya. Seseorang individu atau anggota kabilah hendaklah patuh kepada syeikh dan bertanggungjawab terhadap kepentingan kabilahnya. Manakala syeikh bertanggungjawab menyelesaikan masalah dalam kabilahnya, membuat perjanjian dengan kabilah-kabilah lain, melayan tetamu dan memberi perlindungan.

       Seseorang individu dalam kabilah mestilah sanggup menolong, menuntut bela dan berkorban untuk anggota dalam kabilahnya walaupun dengan jalan berperang. Ini kerana mereka beranggapan bahawa setiap individu dalam kabilah mempunyai pertalian darah dan mempertahankan kabilah merupakan kewajipan bersama.Jika terdapat anggota kabilah mereka dibunuh oleh anggota kabilah lain, individu dalam kabilah itu mesti segera bertindak dengan menuntut bela tanpa mengira salah atau benarnya anggota kabilah yang dibunuh itu.
Kehidupan masyarakat jahiliah yang berasaskan semangat asabiyah menjadi punca perbalahan  dan peperangan berlaku sesama mereka sehingga membawa kepada perpecahan dan kemunduran.

       Dalam struktur masyarakat jahiliah, wujud susun lapis masyarakat yang jelas, iaitu kelas atasan dan kelas bawahan. Kelas ini dibezakan dari sudut kekuasaan, kekayaan, kemahiran

dan sebagainya.Wanita, golongan miskin dan hamba dikategorikan sebagai kelas bawahan.

No comments:

Post a Comment