Ad

Tuesday 24 November 2020

Cheng Hoe setuju ambil Tuck, Cabrera

Oleh Zulfaizan Mansor - November 24, 2020 @ 4:31pm

zulfaizan@bh.com.my



Lee Tuck dan Gonzalo Cabrera.

KUALA LUMPUR: Faktor usia dianggap bukan menjadi halangan terbesar buat Lee Tuck dan Gonzalo Cabrera untuk diserap sebagai pemain naturalisasi Harimau Malaya.Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dilihat lebih mementingkan prestasi pemain terbabit dalam menyumbang sesuatu yang positif buat skuad kebangsaan.Malah, Cheng Hoe tidak menafikan dua pemain itu antara yang boleh diberi peluang untuk bersama skuad kebangsaan berdasarkan prestasi cemerlang sepanjang beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

"Kalau kita lihat pemain naturalisasi di mana-mana negara pun adalah sementara sahaja, yang mana matlamatnya untuk menguatkan pasukan. Tapi untuk jangka masa panjang, kita masih memerlukan bakat anak tempatan juga.

"Kalau pemain itu nampak lebih baik daripada pemain tempatan kita akan bagi mereka peluang. Sudah tentu usia satu faktor besar juga, tapi kadang-kadang terpulang kepada individu itu sendiri.

"Seperti Zlatan Ibrahimovic (39 tahun) masih berbisa bersama AC Milan, dan Cristiano Ronaldo, walaupun sudah berusia 35 tahun tapi masih lagi menjadi penyerang yang berbahaya.

"Namun kita perlu lihat juga sama ada mereka (Tuck dan Cabrera) mahu mewakili pasukan kebangsaan atau tidak. Tidak dinafikan Cabrera beraksi dengan baik bersama JDT dan Lee Tuck bersama TFC," katanya kepada BH Sukan.

BH Sukan sebelum ini melaporkan, Tuck, 32, dan Cabrera, 31, berada dalam pemantauan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai calon pemain naturalisasi selepas mereka bakal memenuhi syarat lima tahun beraksi di Liga M musim depan.

Selain itu, Cheng Hoe tetap masih mengharapkan akan muncul pemain tempatan yang akan menyinar dalam masa terdekat, terutama bagi posisi pertahanan tengah.

"Bahagian serangan memang kita masih harapkan penyerang tempatan seperti Shahrel Fikri (Fauzi), Syafiq Ahmad dan selepas ini ada Luqman Hakim Shamsudin.

"Kalau kita lihat bahagian tengah atau sayap kita ada pemain yang menyinar macam Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh dan beberapa pemain lain," katanya.SUMBER BH ONLINE

Empat dalang mohon maaf

MyMetro



Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Saingan Liga Malaysia (Liga M) 2021 belum lagi bermula, namun ketika ini bertiup kencang terdapat empat dalang yang menyebabkan Kelantan FC terpaksa menanggung kerugian.

Walaupun jumlah berkenaan masih lagi menjadi rahsia, ia dipercayai ada kaitan dengan persediaan pasukan itu dalam mengharungi saingan liga 2021.

Menurut kenyataan media penasihat undang-undang TRW Kelantan FC, nama empat individu terbabit tidak diumumkan berikutan sudah membuat permohonan maaf pada tengah hari tadi.

Empat individu terbabit dikatakan amat dikenali dalam arena bola sepak tempatan dan sering terbabit secara langsung bersama pasukan Liga M.

''Pihak Kelantan FC sudah menerima surat permohonan maaf dan penangguhan kali ke-2 pada jam 2.04 petang daripada wakil empat individu yang terbabit dalam penipuan ini. ''Mereka berjanji melangsaikan hutang dan memenuhi semua perjanjian termasuk ganti rugi yang dijanjikan sebelum 26 November ini.

"Selepas tarikh terbabit, jika mereka gagal melaksanakannya, kami akan meneruskan tindakan undang-undang termasuk saman bagi mendapatkan ganti rugi atas kerosakan yang sudah berlaku,'' katanya.

Sementara itu, menurut sumber, kenyataan terbabit menyebabkan pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) diserang dan dituduh antara dalang empat individu terbabit.

''Pihak pengurusan Kafa menerima puluhan panggilan daripada orang ramai yang mahu mengetahui situasi sebenar termasuk empat dalang itu.

''Namun, apa yang boleh saya katakan, Kafa tiada masalah dengan pemilik baharu TRW Kelantan FC kerana semua perjanjian sudah selesai.

'Malah, Kafa juga tiada hutang dengan TRW Kelantan FC dan mungkin masalah itu membabitkan orang luar,'' katanya.

Saturday 21 November 2020

Mungkin rezeki Safawi kali ini

Oleh Syafiq Aznan - November 20, 2020 @ 10:33am

syafiq.aznan@bh.com.my



Safawi (kanan) dijangka diberi peluang Portimonense SC beraksi menentang UD Leiria dalam saingan Taca de Portugal pagi esok. - Foto FB Portimonense Futebol SAD

KUALA LUMPUR: Mungkinkah saingan Taca de Portugal (Piala FA Portugal) bakal memberi rezeki buat penyerang prolifik kebangsaan, Safawi Rasid untuk meraih penampilan pertamanya bersama skuad utama Portimonense SC?

Ini kerana skuad yang berpengkalan di Algarve, Portugal itu dijadual bertemu pasukan divisyen tiga, UD Leiria bagi aksi pusingan ketiga Taca de Portugal yang akan berlangsung pada jam 5 pagi esok.

Dengan melihat jurang kekuatan antara Portimonense SC yang beraksi di divisyen utama dan UD Leiria di divisyen tiga, Safawi mungkin berpeluang untuk diturunkan sekurang kurangnya sebagai pemain simpanan.

Malah, menentang pasukan dari liga bawahan seperti ini juga boleh dianggap sebagai peluang keemasan oleh jurulatih, Paulo Sergio untuk menguji Safawi sekali gus mampu menjadi langkah pertama yang begitu besar kepada karier pemain kebangsaan itu di benua Eropah.

Ketika ditanya mengenai peluang beraksi pada perlawanan ini, berita gembira dikongsi pemain itu selepas dia berkemungkinan akan disenaraikan buat kali kedua sekali gus mencerahkan peluang yang sudah lama dinantikannya selama ini.

"Jika tiada halangan kemungkinan perlawanan hujung minggu ini, saya berpeluang untuk bermain sebagai pemain gantian. Namun, perkara itu terserah kepada barisan jurulatih. Ketika ini saya giat menjalani latihan untuk perlawanan berkenaan," katanya.

Terdahulu, penantian penyokong Malaysia yang sanggup bersengkang mata berakhir dengan kekecewaan selepas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sekali lagi tidak diturunkan ketika bertemu Porto sebelum ini.

Meskipun disenaraikan buat kali pertama di bangku simpanan Portimonense SC, rezeki jelas masih lagi belum berpihak kepada pemain itu untuk meraih penampilan sulung bersama skuad utama di bumi Eropah.SUMBER BH ONLINE

Tuesday 17 November 2020

Kedah masih perlukan Baddrol

Oleh Izzali Ismail - November 15, 2020 @ 5:51pm

sukanteam@nstp.com.my



Kapten Kedah Baddrol Bakhtiar.

ALOR SETAR: Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor masih mengharapkan sentuhan Baddrol Bakhtiar pada Liga Malaysia (Liga M) 2021.

Sanusi menyifatkan kapten Kedah itu masih diperlukan pasukan untuk mencapai sasaran ditetapkan musim depan.

"Saya belum dapat apa-apa maklumat tentang Baddrol Bakhtiar dan saya harap dia akan terus kekal kerana khidmatnya masih diperlukan di Kedah. Orang bagus-bagus ni kita nak (mahu) la," kata Sanusi.

Berkaitan penyusunan pasukan untuk musim depan pula, Sanusi berkata ianya akan dibuat oleh FC (Kedah Darul Aman FC) dan bukan lagi oleh KFA.

"Saya pun tak ada apa-apa dalam FC tu kerana saham dalam FC ini KFA 20 peratus, dan MBI 80 peratus," katanya.

Berkenaan status pemain pertahanan Kedah Shakir Hamzah yang dikatakan akan meninggalkan pasukan, Sanusi berkata: "Saudara Shakir Hamzah ini kontraknya tamat musim ini dan dia datang bersama ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak, dan mungkin dia ada pilihan di tempat lain.

"Kita pun tak boleh tahan dia kalau dia dapat tawaran yang lebih baik."

Khidmat Baddrol masih diperlukan – Sanusi.SUMBER BH ONLINE

Khidmat Baddrol masih diperlukan - Sanusi

MyMetroArena



BERNAMA

Alor Setar: Khidmat kapten pasukan Kedah Baddrol Bakhtiar masih diperlukan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berharap tonggak utama skuad Hijau Kuning berusia 32 tahun itu dapat terus berbakti setelah bersama pasukan Kedah sejak saingan Piala Presiden pada 2005/2006.

"Saya belum ada apa-apa maklumat mengenai (perpindahan) Baddrol, namun amat mengharapkan dia dapat kekal di Kedah," katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan Kedah 2021 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sanusi mengulas mengenai kemungkinan Baddrol berhijrah berikutan terdapat beberapa pasukan berminat mendapatkan khidmat pemain kebangsaan itu, malah laporan media turut mendedahkan pengakuan Baddrol bahawa dirinya 'didekati' sekurang-kurangnya empat pasukan yang ingin mendapatkan khidmatnya musim depan.

Sepanjang bersama Kedah, Baddrol membuat 296 penampilan sejak 2005 dan membantu Hijau Kuning meraih dua trofi Liga Super dan Liga Perdana, empat Piala Malaysia, tiga Piala FA serta satu Piala Sumbangsih.

Sepanjang bergelar pemain profesional, Baddrol juga tidak pernah berhijrah ke mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dan meledak 112 gol bersama pasukan Kedah.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 6:39 PM

Saturday 14 November 2020

Nafuzi sedia terus pacu TFC


NAFUZI ketika mengendalikan sesi latihan TFC pada September lalu. FOTO FB Terengganu Football Club

myMetrotopic


Malik Muhamad

sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Jurulatih Nafuzi Zain mengesahkan beliau sedia terus membimbing pasukan Terengganu FC (TFC) pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan sekiranya diberi peluang.

"Jika diberi peluang membimbing pasukan TFC musim depan, saya memang akan menerimanya untuk meneruskan kesinambungan membentuk pasukan sebagaimana sebelum ini," katanya yang dibantu Subri Sulong dan Rosdi Talib mengemudi skuad itu musim ini.

"Bagaimanapun, saya serahkan kepada pengurusan untuk menyelesaikan kedudukan pemain dan pegawai kerana kita tahu kontrak pemain pun akan berakhir pada bulan ini. Begitu juga dengan saya, pada tahun ini."

Nafuzi yang berjaya membawa TFC mara ke pentas Piala AFC musim depan selain menduduki tangga ketiga Liga Super musim ini bagaimanapun tetap menerima dengan hati terbuka jika khidmatnya tidak diperlukan lagi.


Beliau yang pernah berguru dengan bekas jurulatih TFC sebelum ini, Irfan Bakti Abu Salim selama dua musim bermula 2018 mengakui tugasnya membimbing pasukan itu belum selesai kerana mahu meneruskan kesinambungan membentuk pasukan benar-benar mantap terutama sebelum beraksi ke pentas Asia.


Ketika ditanya pemilihan TFC beraksi dalam pentas Asia 2021 selepas lapan tahun menanti, jurulatih berusia 42 tahun itu yang pernah membantu Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001, meluahkan nada gembira kerana impian semua pihak sudah tercapai.


Namun katanya, untuk bersaing di peringkat Asia, rombakan ke atas pasukan perlu dilakukan bagi memastikan ia benar-benar bersedia.


sumberArtikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 6:12 PM

Kecil tapi berbakat

MyMetroUtama



Oleh Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jurulatih KV Kortrijk, Yves Vanderhaege mendedahkan kehadiran Luqman Hakim Shamsudin dalam pasukan mengubah stigma terhadap pemain Asia yang sebenarnya berbakat walaupun memiliki fizikal kecil.

Bercakap menerusi dokumentari #TheJourneyOfLuqie yang disiarkan laman rasmi pasukan itu, Vanderhaeghe berkata, pemain berasal dari Kota Bharu itu boleh menjadi pemain terbaik untuk mereka menerusi latihan intensif yang diterapkan kepada Luqman.

Malah, beliau juga mengagumi semangat Luqman yang sentiasa menunjukkan persembahan terbaik walaupun bermain dalam perlawanan persahabatan.

"Luqman ketika ini menjalani latihan intensif bersama pasukan utama dan apa yang boleh dilihat dia semakin baik dan cepat menyesuaikan diri bersama rakan lain.

"Pada peringkat awal, dia bermain dalam perlawanan persahabatan dan dalam tempoh 30 minit bermain sudah menjaringkan gol.

"Situasi ini begitu menakjubkan seterusnya bagus untuk motivasikan diri bagi meningkatkan lagi prestasi pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, katanya, KV Kortrijk dalam proses untuk membentuk pemain itu dan membantu dia meningkatkan kekuatan fizikal asasnya dalam perjalanan menjadi pemain yang lebih baik pada masa akan datang.

"Kami menjalani ujian fizikal ke atasnya sebelum ini kerana mahu mengetahui sejauh mana catatannya. Dia jelas tidak berada dalam keadaan yang terbaik pada masa itu. Jadi, dia diberikan program latihan individu.

"Dia masih perlu masa untuk menjadi pemain yang baik untuk kami. Ketika ini, dia menjalani latihan demi latihan kerana kita mahu keadaan asasnya dapat dicapai pada tahap sepatutnya," katanya.

Terdahulu, program latihan diberikan pasukan itu tampak membuahkan hasil selepas pemain itu memperlihatkan perubahan fizikalnya.

Menerusi kemas kini gambar terbaharu di Instagramnya, pemain itu tampak semakin berotot dan 'sado'. Sementara itu, rakan sepasukan Luqman, Loic Ritiere turut mengakui produk kelahiran Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu mempunyai keistimewaan sebagai pemain apabila mampu menghidu peluang untuk menjaringkan gol.

"Dia sangat pantas dengan bola di kaki selain ada daya pecutan bagus dan memiliki penyudah kemas.

"Dia juga lincah apabila melihat bagaimana untuk membuat hantaran kepada rakan sepasukan," kata pertahanan kiri itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 7:01 AM

Friday 13 November 2020

Ronaldo jaring gol ke 102

MyMetroArena



AFP

Lisbon: Cristiano Ronaldo menghampiri rekod penjaring terbanyak antarabangsa sepanjang zaman ketika juara Eropah, Portugal membenam Andorra 7-0 dalam aksi persahabatan pagi ini.

Bintang Juventus itu dimasukkan dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol ke-102 buat Portugal pada minit ke-85.

Bekas penyerang Iran, Ali Daei memegang rekod dengan 109 gol.

Portugal, yang meneruskan persiapan untuk mempertahankan Kejohanan Eropah tahun depan akan beraksi dalam Liga Negara-Negara berdepan Perancis awal pagi Ahad ini, mudah mengatasi Andorra.

Pemain sayap Wolves, Pedro Neto memberikan gol awal sebelum dua gol Paulinho, masing-masing sebelum dan selepas gol Renato Sanches menjadikan ia 4-0.

Emili Garcia menjaringkan gol sendiri berbaki 14 minit permainan.

Ronaldo dimasukkan pada babak pertama tapi perlu menunggu hingga baki lima minit permainan sebelum penyerang Atletico Madrid, Joao Felix melengkapkan jaringan.

Ronaldo, 35, didapati positif Covid-19 pada 13 Oktober iaitu kali terakhir bersama skuad Portugal, sehingga tersisih daripada kemenangan 3-0 skuad itu ke atas Sweden.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 7:26 AM

Wednesday 11 November 2020

Tak kisah main di Pahang, Kelantan

Oleh Zulfaizan Mansor - November 10, 2020 @ 11:12pm

zulfaizan@bh.com.my



PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak (kiri), Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira (tengah) dan pengendali Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff.

PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak (kiri), Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira (tengah) dan pengendali Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff.

KUALA LUMPUR: Pasukan yang bakal beraksi di suku akhir Piala Malaysia menyokong rayuan yang dikemukakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan tertua Asia Tenggara itu.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui bersedia untuk memastikan pasukan sentiasa mempersiapkan diri untuk beraksi di venue berkecuali yang dipohon oleh pihak MFL iaitu Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan bagi aksi suku akhir.

Jurulatih dari Singapura itu yakin pemain tiada masalah untuk beraksi dengan perancangan khas serta prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu "quarantine based".

"Harap kita masih boleh meneruskan saingan ini tetapi apa-apa pun kami tetap akan menghormati apa jua perancangan daripada MFL dan keputusan kerajaan.

"Apa yang penting keselamatan semua orang, dan untuk saya, tiada masalah pun kita beraksi di venue berkecuali termasuk daripada segi persiapan pemain juga tiada masalah sebab pasukan lain pun seperti kita juga.

"Jadi, ia perancangan yang adil untuk semua pasukan dan saya rasa MFL juga sudah fikirkan yang terbaik untuk kami semua, jadi harap sesuatu yang positif akan diputuskan," katanya.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira pula menyifatkan rayuan yang dikemukakan oleh MFL itu wajar memandangkan hanya tinggal beberapa perlawanan sahaja lagi.

Justeru, baginya cadangan daripada MFL untuk mengadakan perlawanan di venue yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah yang terbaik apatah lagi jumlah pasukan juga akan berkurangan sebaik sahaja tamat aksi di pusingan suku akhir.

"Aksi suku akhir hanya membabitkan lapan pasukan, selepas itu akan tinggal lagi empat di separuh akhir, sebelum kita ke final. Jadi rasanya tidak akan menjadi isu," katanya.

Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff turut menyokong seandainya pihak kerajaan memberi lampu hijau supaya saingan Piala Malaysia diteruskan, asalkan tidak mengganggu kontrak pemain yang akan berakhir hujung bulan ini.

Justeru, baginya selagi saingan itu tetap berlangsung pada bulan ini, maka tiada masalah untuk pasukan tetap melakukan persediaan menghadapi perlawanan di venue berkecuali yang dicadangkan pihak MFL.

"Saya secara peribadi juga berharap agar Piala Malaysia dapat diteruskan dan memahami situasi yang sedang berlaku ketika ini," katanya.SUMBER BH ONLINE

United mahu beli Ronaldo

November 11, 2020 @ 8:54pm



United sedang mengadakan rundingan membeli Ronaldo daripada Juventus.

LONDON: Manchester United dilapor sedang mengadakan rundingan bagi menandatangani Cristiano Ronaldo pada musim depan selepas Juventus dikatakan mahu menjual bintang sensasi itu.

Juara Serie A itu dipercayai bersungguh-sungguh untuk menjual bekas bintang Real Madrid itu.

Juventus mahu melepaskan Ronaldo bagi mendapatkan wang tunai sebelum kontrak pemain Portugal itu tamat pada hujung musim 2021/2022 sekali gus tidak lagi menanggung beban membayar gaji pemain itu sebanyak 540,000 pound (RM2.9 juta) seminggu.

Kini, United dilapor sedang berunding dengan Ronaldo menurut laporan wartawan terkemuka Fox Amerika, Christian Martin.

Ronaldo dikatakan sedang mempertimbangkan tawaran berkenaan dan Juventus terbuka untuk mengadakan rundingan dengan United.

"Sumber kami di Manchester dan Porto mengesahkan Manchester United bersungguh-sungguh mahu membawa semula Cristiano Ronaldo ke kelab itu musim depan.

"Bintang Portugal itu sedang mempertimbangkan. Juventus akan memulakan rundingan sekiranya Ronaldo meminta berbuat demikian," tulis Martin menerusi ciapan di Twitter miliknya.


Skuad Gergasi Merah 1995 menanti ganjaran tanah

MyMetroArena



Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mana janji manismu? Selepas 25 tahun menyepi akhirnya bekas pemain skuad Selangor 1995 bersuara dengan menuntut janji manis daripada pihak berkaitan yang mahu memberikan mereka tanah selepas menjuarai Piala Malaysia pada tahun itu.

Malah, selepas tempoh berkenaan, perkara terbabit seolah sudah dilupakan walaupun setiap tahun bekas pemain berkenaan sentiasa menuntut hak mereka selepas berhempas pulas memastikan skuad Gergasi Merah menjulang piala itu.

Menurut bekas kapten Selangor 1995, Ismail Ibrahim, pemberian tanah anugerah itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada 11 November 1995 dan hari ini genap 25 tahun berlalu tanpa sebarang pembelaan.

Beliau berkata, barisan pemain sudah lama bersabar dengan alasan yang diberikan pihak berkaitan dan akhirnya terpaksa meluahkan secara terbuka perkara itu supaya tindakan susulan diambil segera.

"Pada tarikh hari ini, 25 tahun lalu tanggal 11 November 1995, pasukan Selangor berjaya menjulang Piala Malaysia kali ke-28 selepas menanti selama sembilan tahun untuk menjuarai piala keagungan bola sepak negara.

"Di atas keprihatinan dan penghargaan, Tan Sri Muhammad Muhd Taib membuat pengumuman pada malam sambutan kejayaan menjuarai Piala Malaysia pads 15 November 1995 di Kelana Jaya.

"Pemberian tanah itu adalah hasil daripada mesyuarat exco kerajaan negeri sebagai hadiah selepas pasukan berjaya membenam Pahang 1-0 pada aksi final Piala Piala Malaysia itu," katanya, ketika pada sidang media, hari ini.

Hadir sama bekas penolong jurulatih Selangor, Datuk K. Rajagopal; bekas pemain Selangor, Asmawi Bakiri dan isteri pemain Selangor Anuar Abu Bakar, Siti Mariam Sathawee.

Sementara itu, Mariam mengakui ganjaran berupa sebidang tanah seperti yang dijanjikan kerajaan negeri pada 1995 sememangnya menjadi impian Anuar.

Ini kerana Allahyarham menjadi individu pertama yang mengetengahkan tuntutan terbabit namun sayangnya, harapan Anuar untuk menikmati ganjaran itu tidak kesampaian sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhirnya pada Mei tahun lalu.

"Arwah memang selalu bercakap mengenai perkara ini. Setiap kali kami berborak mengenai bola sepak, kadang kadang dia akan bertanya 'entah dapat atau tidak tanah ini' tetapi saya katakan kepadanya Insya-Allah kalau ada rezeki, mungkin ada orang akan tolong kita.

"Memang impian arwah adalah untuk melihat perkara ini diselesaikan. Mungkin (ganjaran) ini untuk anak-anak ataupun setidak tidaknya, adalah sesuatu yang boleh dikenangkan sebagai anugerah dan tanda penghargaan kepada kita.

"Alhamdulliah usaha ini tetap diteruskan oleh sahabat juang arwah dan saya berterima kasih kerana mereka tidak pernah lupakan arwah. Jadi saya berharap pihak terbabit atau sesiapa sahaja yang prihatin dengan nasib kami, bolehlah membantu kami," katanya, di sini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 4:14 PM

Monday 9 November 2020

Dollah pasrah



Oleh Izzali Ismail - November 7, 2020 @ 4:16pm

sukanteam@nstp.com.my

Dollah Salleh masih belum pasti mengenai masa depannya bersama Pahang musim depan.

ALOR SETAR: Status pengendali Pahang, Dollah Salleh untuk musim depan mungkin menjadi tanda tanya apabila skuad Tok Gajah tersingkir daripada saingan Piala Malaysia selepas tewas kepada Kedah 2-3 di Stadium Darul Aman semalam.

Menurut Dollah, sudah menjadi lumrah dalam kerjaya bola sepak sama ada akan dikekalkan atau sebaliknya oleh pengurusan Pahang untuk perancangan musim depan.

"Itu belakang kira, dan sudah menjadi lumrah kalau dikekal, kekallah, kalau tidak, itu sahajalah, kerana semua perkara itu adalah lumrah sebagai pemain, jurulatih dan saya tak khuatirkan benda itu," katanya.

Menyentuh mengenai perlawanan yang mengakibatkan Pahang tewas di Darul Aman semalam, Dollah menganggap skuadnya tidak bernasib baik dengan pertahanannya longlai di babak pertama perlawanan ketika ketinggalan tiga gol yang menjadi antara punca kekalahan.

"Kita ambil mudah dalam keadaan tidak begitu bahaya, kita beri Kedah jaringkan gol. Jadi kesilapan-kesilapan mudah sebenarnya yang membuatkan perancangan kita serba tak menjadi, cuma nasib mungkin tidak menyebelahi kita dan kita cuma dapat membalas dua gol sahaja.

"Pada separuh masa kedua pula saya cakap kalau sikap mereka berterusan dalam padang seperti aksi pada separuh masa pertama, awak (pemain) akan dibolosi banyak lagi gol, jadi awak kena ubah dan itulah perubahan yang telah berlaku," katanya.

SUMBER-BH ONLINE

Friday 6 November 2020

Arif Aiman penyelamat JDT

MyMetroArena



Rizar Mohd Noor

rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dipaksa bermandi peluh sebelum melangkah ke saingan suku akhir selepas menang tipis 1-0 menewaskan pendatang baharu kancah Piala Malaysia, Kuching FA pada aksi pusingan 16 kalah mati di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Jaringan tunggal pemain muda Arif Aiman Mohd Hanafi menjadi penyelamat skuad Harimau Selatan untuk mara ke saingan suku akhir dan akan berdepan Kuala Lumpur di laman sendiri pada 12 November ini.

Apapun, bibit-bibit memburu kemenangan JDT bermula seawal minit ketiga, selepas mengundang cemas benteng pelawat apabila sepakan lintang Arif Aiman tepat ke kaki Gonzalo Cabrera namun bola rembatan pemain dari Argentina itu melewati palang gol.

Skuad Harimau Selatan yang menguasai perlawanan sejak minit pertama akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-19 hasil bola umpanan Natxo Insa menyaksikan Diogo Luis Santo sempat mendada bola memberi peluang Arif Aiman yang tidak dikawal merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Mohd Iqbal Mohd Suhimi.

Arif Aiman hampir mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-35 selepas bertindak berani menyusup masuk ke dalam kotak penalti pelawat namun bola rembatan leret tidak mampu menewaskan Mohd Iqbal yang sudah bersedia menangkap bola.

Bersambung babak kedua, tuan rumah menggandakan asakan untuk memburu gol kedua namun benteng pelawat tampak kental apabila bertindak menghalang gerakan berbahaya menerusi gandingan Cabrera dan Luis Santo.

Agak malang apabila Luis Santo gagal menambah jaringan pada mini ke-53 selepas bola sepakan leret hasil umpanan Cabrera sempat ditangkap kemas Mohd Iqbal bagi memastikan gawangnya tidak dibolosi.

Walaupun sering diasak, anak didik Akira Higashiyama tampak berusaha menggempur benteng tuan rumah dalam usaha memburu gol penyamaan tapi gagal untuk melepasi gandingan Mauricio Dos Santos dan kapten Aidil Zafuan Abd Radzak.

Malah bola tandukan pemain gantian, Ramadhan Saifullah Usman tatkala aksi berbaki tiga minit untuk ditamatkan sekadar sipi dari gawang gol dan kedudukan 1-0 yang memihak JDT kekal hingga perlawanan berakhir.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 11:23 PM

Lang Merah ke suku akhir

MyMetroArena



Izzali Ismail

sukanteam@nstp.com.my

Alor Setar : Kedah layak ke saingan suku akhir saingan Piala Malaysia selepas membenam Pahang dengan kemenangan 3-2 pada aksi pusingan pertama secara kalah mati di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Babak permulaan berlangsung dengan penuh bersemangat oleh kedua-dua pasukan, dengan Kedah melalui penyerangnya Kipre Tchetche hampir membolosi gawang Pahang selepas percubaannya pada minit ketujuh di depan gawang berjaya dihalang penjaga gol Helmi Eliza Elias.

Selepas melakukan beberapa percubaan bahaya termasuk dari Kpah Sherman pada minit ke-12 yang gagal dimanfaatkan tuan tumah, tuan rumah mengejutkan Pahang melalui jaringan tandukan kemas Shakir Hamzah pada minit ke-17 berpunca daripada sepakan sudut Baddrol Bakhtiar.

Pahang cuba bangkit memburu gol pada minit ke-23 apabila percubaan Ivan Carlos yang menolak bola ke arah Dickson Nwakeme di depan gawang tuan rumah gagal dimanfaatkan pemain kelahiran Nigeria itu.

Pahang terus tertekan apabila Kedah terus menambah gol pada minit ke-35, sekali lagi melalui tandukan oleh Sherman yang menerima hantaran cantik Tchetche dari sebelah kiri gawang Pahang sekali gus meletakkan kedudukan 2-0.

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Kedah terus menambah derita skuad Tok Gajah dengan gol ketiga melalui umpanan pemain sayap Faizat Ghazli kepada Tchetche disambut dengan rembatan padu ke arah penjuru kiri gawang Pahang.

Tiga minit selepas babak kedua bermula Pahang mendapat 'tonik' permulaan terbaik melalui gol pertama hasil percubaan tandukan Muslim Ahmad yang berjaya menewaskan Azri Ghani, berpunca dari sepakan percuma yang diambil Nor Azam Azih.

Pahang sekali lagi mendapat peluang keemasan apabila pengadil Muhammad Nazmi menghadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan Kedah, Renan Alves menarik baju Adam Michael namun Nwakaeme gagal mengambil peluang berkenaan apabila percubaannya sekadar terkena tiang.

Pahang akhirnya berjaya merapatkan jurang gol dengan sumbangan pemain gantian Faizal Abdul Rani pada minit ke-88 yang bermula dari gerakan Nor Azam dan sekali gus mencemaskan tuan rumah.

Namun kedudukan 3-2 berlarutan hingga tamat perlawanan menyaksikan Kedah mara ke suku akhir sementara Pahang pula tersingkir dari saingan Piala Malaysia musim ini.

Turut mara ke suku akhir ialah juara Liga Perdana, Pulau Pinang selepas menewaskan pasukan Liga Super, FELDA United FC 3-1 di Stadium Bandaraya.

Lawan skuad Harimau Kumbang di suku akhir nanti adalah pemenang perlawanan antara UiTM FC dan Kelantan yang akan membuat perhitungan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Ahad ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 11:30 PM

Thursday 5 November 2020

Pemain Pahang diingat patuhi SOP

MyMetroArena



Asrol Awang

sukanteam@nstp.com.my

Kuantan: Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang meminta pemain skuad itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, pematuhan itu ketika skuad kendalian Dollah Salleh akan berdepan Kedah pada pusingan pertama Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung minggu ini.

"Daripada segi persiapan, segalanya berjalan lancar dan mengharapkan pada perlawanan itu nanti semua pemain berada pada prestasi terbaik dan bebas kecederaan.

"Dengan prestasi itu, Pahang lebih bersedia untuk memastikan tempat suku akhir menjadi milik skaud Tok Gajah.

"Tapi tumpuan lebih kepada memastikan semua pemain patuhi SOP bukan sahaja di tempat latihan, malah dalam amalan seharian untuk menyekat penularan Covid-19," katanya.

Pada majlis undian semalam, Pahang diundi bertemu Kedah yang juga naib juara piala itu musim lalu.

Bagaimanapun tarikh perlawanan kedua-dua belum ditetapkan tetapi Kedah bertindak selaku tuan rumah pada pusingan pertama itu.

Saingan Liga Super musim ini menyaksikan, skuad Tok Gajah menamatkan liga di kedudukan kelapan berbanding Kedah pula di kedudukan kedua liga.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 6:28 PM

Wednesday 4 November 2020

Dollah impi barisan terbaik berdepan Kedah

| | 3 November 2020




Dollah Salleh
KUALA LUMPUR - Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berharap dapat membariskan kesebelasan terbaik ketika bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi menghadapi cabaran Kedah pada perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia 2020 Jumaat ini.
Dollah mengakui isu kecederaan pemain selain kontroversi perpindahan Mohamadou Sumareh yang mempengaruhi prestasi skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Super musim ini turut menjejaskan persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia.
Beliau berkata, anak-anak buahnya sedia berdepan mana-mana pasukan dalam kempen kejohanan tertua di Asia Tenggara itu, namun hanya kombinasi terbaik dalam pasukan mampu memainkan peranan dalam meraih kemenangan pada setiap perlawanan.
“Semua pasukan saya anggap ada kekuatan seimbang bila melibatkan saingan Piala Malaysia. Apa yang penting bagi saya hanyalah pasukan Pahang. Tumpuan saya adalah pada barisan pemain selepas macam-macam isu timbul yang mengganggu persiapan kita.
Jika saya dapat kesebelasan pemain terbaik saya tidak khuatir untuk bertemu Kedah, kita sudah tahu kelemahan dan kekuatan masing-masing,” katanya.
Pada masa sama, bekas ketua jurulatih kebangsaan itu berkata, kemenangan tipis 2-1 ke atas skuad Lang Merah pada saingan Liga Super, September lepas tidak memberikan sebarang jaminan menjelang pertembungan di Stadium Darul Aman itu.
“Cuma pada malam penentuan, pasukan mana yang memberikan terbaik dan paling kurang melakukan kesilapan, kemenangan akan berpihak kepada mereka. Saya harap nasib juga akan berpihak kepada Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, pemain tengah Pahang, Adam Reed hampir pasti terlepas aksi tersebut apabila masih belum pulih daripada kecederaan pangkal paha sementara beberapa tonggak utama telah kembali menjalani latihan.
Pahang muncul juara Piala Malaysia empat kali dan kali terakhir menjuarainya pada edisi 2014 sementara Kedah turut memenangi Piala Malaysia sebanyak empat kali dengan kali terakhir pada musim 2016. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/108339/BERITA/Sukan/Dollah-impi-barisan-terbaik-berdepan-Kedah© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Tuesday 3 November 2020

Peminat kena kelentong, Safawi tak main lagi

MyMetroArena



Oleh Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketiadaan bintang bola sepak negara, Safawi Rasid pada aksi Liga Primeira Portugal malam kelmarin ketika Portimonense SC menentang Santa Clara jelas tidak disenangi oleh peminat bola sepak tanah air.

Kekecewaan penyokong negara itu hadir selepas menyangka Safawi bakal disenaraikan bersama pasukan selepas Facebook rasmi kelab berkenaan 'tagged' nama Safawi seolah memberi harapan pemain itu akan beraksi.

Namun segala harapan itu palsu apabila Safawi langsung tidak kelihatan termasuk di bangku simpanan yang kemudiannya mendatang kemarahan penyokong Malaysia seolah di 'scam' oleh kelab terbabit.

Susulan itu, ratusan penyokong dan netizen tempatan mula menyerang Facebook Portimonense SC dengan mendakwa kelab berkenaan sengaja menggunakan nama pemain Harimau Malaya itu untuk mendapatkan perhatian di laman sosial.

"Nak suruh bagi masa macam mana lagi. Loan (pinjaman) tinggal 11 bulan je lagi. Kalau dia tak masuk macam mana dia nak bagi impak. Dah tu sedap sedap tag pawi. Kalau mamat tu main tak apa la jugak," kata pemilik akaun bernama, Fazly Hassan.

Bagi seorang lagi peminat tanahair, Mohd Nor Iqmal, dia ternyata kecewa dengan Portimonense SC yang dianggap cuba mengambil kesempatan ke atas populariti Safawi di Malaysia bagi menaikkan 'likes' di Facebook kelab itu.

"Yang aku cuma risaukan, kelab-kelab luar negara ni ambil pemain kita hanya untuk marketing pasukan dia orang. Dah sampai target, booommm!! babai!," kata Iqmal.

Sementara itu, Shhalim Mhsh pula mahu barisan kejurulatihan pasukan memberi kepercayaan kepada Safawi untuk turun sebagai pemain gantian.

"Kelab kena bagi Pawi (Safawi) bermain. Sekurang-kurangnya 25 minit terakhir sebelum perlawanan berakhir. Percayalah Safawi mampu beri impak yang baik kepada pasukan," kata Shhalim.

Safawi, 23, yang berhijrah daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) secara pinjaman selama semusim sebelum ini turut tercicir apabila namanya tidak disenaraikan dalam dua aksi terdahulu.

Sebaliknya, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu hanya beraksi bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun Portimonense menentang Sporting CP yang berkesudahan tewas 3-1 yang berlangsung dua minggu lalu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 2:40 PM


Safawi sedia rebut peluang dalam skuad utama Poetimenense

 SUKAN



SAFAWI kekal bersabar untuk menunggu peluang untuk beraksi bersama kelab Portimonense SC dalam aksi Liga Portugal kelmarin.

Safawi sedia rebut peluang dalam skuad utama Poetimenense

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

3 November 2020, 10:20 am

PEMAIN sensasi Harimau Malaya, Safawi Rasid sabar menanti peluang untuk ditempatkan dalam skuad utama Portimo­nense SC pada perlawanan kompetitif selepas namanya tidak disenaraikan ketika pasukan itu tewas 1-2 kepada Santa Clara dalam aksi Liga Portugal kelmarin.

Kata Safawi, buat masa ini dirinya berada pada tahap terbaik, selain sudah selesa dengan kea­daan persekitaran selepas berhijrah secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jendela perpindahan bulan lalu.

Namun, Safawi mengakui perebutan tempat dalam skuad utama sangat sengit memandangkan tahap dan kualiti bola sepak di Portugal sangat tinggi tambahan pula liga di sana diiktiraf antara lima saingan terbaik di Eropah.

Persaingan rebut tempat sangat sengit dan kita tahu Liga Portugal mempunyai kualiti yang sangat tinggi dan diiktiraf sebagai salah satu daripada lima liga terbaik di Eropah.

Saya percaya masa akan tiba dan peluang akan ada untuk saya buktikan kemampuan,” katanya kepada pemberita semalam.

Pemain berusia 23 tahun negara itu mengakui sangat positif selain cukup bermotivasi dalam usaha memikat jurulatih kerana apa yang penting adalah memberi tumpuan penuh pada sesi latihan.

Main atau tidak keputusan terletak di tangan jurulatih (Paulo Sergio). Paling penting tugas saya sebagai pemain profesional adalah memberi segalanya dalam latihan bersama skuad utama,” katanya lagi .

Pemain negara kelahiran Terengganu itu sebelum ini hanya membuat satu kemunculan bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun Portimonense SC ketika tewas 1-3 kepada Sporting Lisbon dalam aksi Liga Revelacao B-23 di Stadium Dois Irmaos pada 16 Oktober lepas.SUMBER-KOSMO ONLINE

Mohon bersabar, beri Safawi ruang

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peminat digesa supaya bertenang dan memberi masa kepada tonggak Harimau Malaya yang kini beraksi bersama Portimonense SC, Safawi Rasid diberi ruang untuk memahami falsafah bola sepak Portugal.

Menurut pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, ketiadaan Safawi dalam senarai barisan pemain Portimonense dalam tiga perlawanan adalah kemungkinan dia masih belum mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh kelab terbabit.

Katanya, Safawi yang baharu saja bersama kelab itu awal bulan lalu perlu memahami dan menghadam konsep serta gaya permainan Eropah yang lebih mencabar.

Jelasnya, terdapat perbezaan besar antara kualiti liga di Asia berbanding liga di Eropah terutamanya dalam aspek kekuatan dan kepantasan.

"Safawi masih lagi cuba menghadam falsafah bola sepak Eropah. Kalau dia (Safawi) bagus di rantau kita dan bagus dalam perlawanan-perlawanan antarabangsa (bersama Harimau Malaya), tapi tak semestinya dia akan bagus di Eropah.

"Bagi saya kita harus memberi ruang untuk Safawi betul-betul memahami falsafah dan hadam serta biasakan kemahiran lebih-lebih dengan gaya permainan di sana.

"Kita kena ingat, liga Portugal main dalam UCL (Liga Juara-Juara Eropah) manakala kita main dalam ACL (Liga Juara-Juara Asia) di mana kita kena akui liga mereka lebih tinggi, biarpun kelab Safawi di tempat bawahan.

"Beri ruang untuk Safawi memahami dan hadam serta bagi dia serasi dengan gaya bola sepak sana. Kita kena bagi dia masa," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, peminat bola sepak tanahair berang apabila kelibat Safawi tiada bersama pasukan sekaligus mencetuskan tanda tanya.

Paling mengecewakan apabila kelab berkenaan menerusi Facebook rasmi menulis nama Safawi seolah memberi harapan pemain itu akan beraksi.

Namun segala harapan itu palsu apabila Safawi langsung tidak kelihatan termasuk di bangku simpanan yang kemudiannya mendatang kemarahan penyokong Malaysia seolah di 'scam' oleh kelab terbabit.

Susulan itu, ratusan penyokong dan netizen tempatan mula menyerang Facebook Portimonense SC dengan mendakwa kelab berkenaan sengaja menggunakan nama pemain Harimau Malaya itu untuk mendapatkan perhatian di laman sosial.

Tambah Sadek lagi, peminat perlu bersabar dan jangan memberi komen di laman sosial yang boleh menambah tekanan kepada Safawi.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 7:20 PM

Sunday 1 November 2020

Kali ini main lebih lama?



AKSI Luqman Hakim Shamsudin (kanan) ketika menentang Anderlecht dalam penampilan sulungnya bersama KV Kortrijk di Liga Pro Belgium minggu lalu. – IHSAN KV KORTRIJK

Oleh Media Mulia

1 November 2020, 10:00 am

KUALA LUMPUR: Selepas membuat penampilan bersejarah ketika menentang Anderlecht minggu lalu, Luqman Hakim Shamsudin bersedia diturun­kan buat kali kedua bersama KV ­Kor­trijk dalam Liga Pro Belgium menentang Zulte Waregem esok.

Minggu lalu, penyerang remaja sensasi berusia 18 tahun itu beraksi dalam 16 minit terakhir permainan dan sentuhannya membawa kepada gol tunggal Kortrijk, biarpun pasukan tersebut akhirnya tumpas 1-3.

Selepas bekerja keras untuk mendapat tempat dalam skuad utama, pengendali pasukan, Yves Vanderhaeghe memuji bakat graduan sulung Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) itu, sekali gus memberi bayangan dia mungkin menjadi watak penting Kortrijk.

Malah, kelab Belgium itu turut melancarkan dokumentari khas mengenai perjalanan Luqman dari Kota Bharu, Kelantan itu diberi tajuk #The Journey of Luqie.

Luqman mempunyai bakat luar biasa. Kami perlu membentuknya menjadi pemain terbaik dan melatih dia agar dapat ber­aksi mengikut tempo sebenar.

Saya percaya tempo permainan Eropah lebih mencabar dari di Malaysia dan kami sedang menyiapkannya untuk ber­aksi mengikut tempo sebenar Eropah,” kata Vanderhaeghe dokumentari yang dilancarkan semalam.

Sementara itu, Luqman me­ngakui nikmat menjaringkan gol di pentas Eropah amat luar biasa dan membuatkannya cukup bersemangat untuk membuktikan kemampuan.

Dia diberi peluang beraksi selama 30 minit dalam perlawanan persahabatan pertamanya bersama pasukan senior September lalu dan berjaya mencipta impak dengan membantu mereka menang 2-1 ke atas BX Brussel.

Saya menjaringkan gol di Eropah untuk pasukan Eropah, skuad utama KV Kortrijk. Biarpun cuma aksi persahabatan, saya gembira,” kata Luqman.

Menurut Luqman, Vanderhaeghe banyak memberi tunjuk ajar dan meningkatkan keyakinannya, malah jurulatih itu memberi kata-kata semangat sebelum dia masuk mengggantikan Peter Golubovic pada minit ke-74 dalam pertemuan menentang Anderlecht.

SUMBER-UM ONLINE

Safawi sedia galas tanggungjawab

MyMetroTopic



Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hanya tinggal selangkah saja buat bintang Harimau Malaya, Safawi Rasid untuk menyarung jersi skuad utama Portimonense FC apabila dia mempunyai harapan cerah untuk turun beraksi pada perlawanan menentang Santa Clara esok.

Walaupun senarai nama untuk skuad utama belum diumumkan lagi, namun prestasi membanggakan yang di tampil pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu ketika sesi latihan memberi harapan untuk disenaraikan sekurang-kurangnya sebagai pemain simpanan.

Safawi ketika dihubungi Arena Metro memaklumkan dia tidak mahu meletakkan harapan tinggi untuk tersenarai namun segalanya terserah kepada barisan kejurulatihan nanti.

Menurutnya, ketika ini dia sudah bersedia jika namanya muncul dalam skuad utama malah akan memberikan persembahan terbaik sekali gus dapat membanggakan peminat bola sepak tanah air.

"Sudah pasti ramai yang menantikan penampilan pertama saya bersama skuad utama, namun serahkan kepada jurulatih yang lebih tahu bila khidmat saya diperlukan.

"Ketika ini, sesi latihan berjalan lancar dan dapat mengikut corak latihan yang diterapkan oleh pasukan malah satu pengalaman berharga dapat menjalani latihan bersama pemain lebih berpengalaman," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 8:51 PM