Ad

Tuesday 31 December 2013

Gunung Sinabung hambur lahar panas

GUNUNG Sinabung menghamburkan debu dan lahar panas di Karo semalam.
 
JAKARTA - Lebih 19,000 orang berpindah ekoran Gunung Sinabung di Karo, Sumatera menghamburkan lahar panas, kata seorang pegawai semalam.

Jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, gunung itu sebelum ini menghamburkan debu dan serpihan batu panas setinggi 7,000 meter ke udara sejak kelmarin.

"Gunung Sinabung kekal berada pada tahap berjaga-jaga yang tinggi dan kami memberi amaran bahwa tiada sebarang aktiviti dalam lingkungan lima kilometer radius dari gunung tersebut.

"Pada malam kelmarin, seramai 19,126 orang telah meninggalkan rumah masing-masing dan kami menjangkakan bilangan mereka akan meningkat," kata Sutopo.

Gunung tersebut merupakan salah sebuah daripada gunung berapi yang aktif di Indonesia.

Pada Ogos lalu, lima orang terbunuh dan ratusan lagi terpaksa berpindah selepas sebuah gunung berapi meletus di wilayah Nusa Tenggara Timur. - AFP

SUMBER:KOSMO ONLINE 1.1.2014

Ribut salji di Asia Barat

 
KENDERAAN yang terperangkap dalam salji setebal 37 sentimeter.

RIBUT salji yang melanda sebahagian besar Asia Barat pada Jumaat lalu telah menenggelamkan Baitulmuqaddis, menyebabkan banjir di Gaza dan keadaan dingin serta basah di negara yang bergolak, Syria.

Keadaan itu juga merupakan kali pertama selepas 100 tahun Baitulmuqaddis diliputi salji tebal yang menyebabkan beberapa tempat utama ditutup.

Menurut laporan agensi berita AFP, ribut salji terburuk sejak tahun 1879 itu turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik ke atas lebih 29,000 kediaman di seluruh Israel, termasuk 13,000 di Baitulmuqaddis.

Keadaan tersebut telah memaksa pihak berkuasa meningkatkan kawalan dan melakukan sekatan kepada orang ramai yang ingin melawat bandar-bandar bersejarah di negara berkenaan.

Di samping itu, agensi berita Mesir, MENA melaporkan, pelabuhan utama di Laut Mediterranean dan Laut Merah ditutup selama tiga hari berturut-turut sebagai langkah berjaga-jaga.

Salji turut meliputi Ramallah dan Bethlehem, bandar raya Palestin yang terletak berhampiran Baitulmuqaddis, sementara beberapa kawasan di tanah rendah mengalami banjir ekoran hujan lebat.

Dengan salji turun berterusan dan suhu persekitaran yang kian menurun, beberapa kawasan di Lebanon, Turki dan utara Syria turut berhadapan dengan tiupan angin kuat dan sejuk sejak seminggu lalu. Ia membawa satu lagi musibah kepada dua juta penduduk Syria yang sedia dilanda kekacauan dan kemusnahan lantaran perang saudara.

Ekoran itu, pihak berkuasa Israel telah mengeluarkan arahan menerusi media pada Jumaat lalu yang menghalang orang ramai memasuki dan keluar dari Baitulmuqaddis.

"Seramai 1,500 orang yang terkandas dalam kesesakan jalan raya telah diselamatkan. Kira-kira 1,000 orang diberi perlindungan di Pusat Persidangan Antarabangsa
PENDUDUK yang terjejas akibat banjir ditempatkan di dalam khemah di pusat-pusat penempatan sementara.

Baitulmuqaddis, sementara ratusan lagi dibawa ke pangkalan tentera berhampiran," ujar jurucakap polis, Micky Rosenfeld.

Tambahnya, tiga buah pusat kecemasan telah dibuka dan seramai 350 orang penduduk dirawat disebabkan simptom kesejukan.

Datuk Bandar Baitulmuqaddis, Nir Barkat telah meminta bantuan tentera untuk membantu dan menggesa agar penduduk sekitar berada di rumah masing-masing.

"Selama 54 tahun saya hidup, tidak pernah saya melihat pemandangan seperti yang berlaku di sini," ujar Nir.

Takat beku

Ketebalan salji adalah kira-kira 37 sentimeter. Suhu di bandar raya itu diramalkan mencecah 2 darjah Celsius pada waktu siang dan menurun ke takat beku pada sebelah malam

Perubahan cuaca itu turut mendapat perhatian Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry ketika melawat negara itu baru-baru ini dengan menyatakan suasana sejuk tersebut sama seperti di kampungnya.

Tebing Barat yang dilanda banjir memaksa pemerintah Hamas memindahkan penduduk di lebih 60 kediaman ke sebuah pusat penempatan sementara.

Keadaan buruk itu telah memaksa Israel membuka lintasan Kerem Shalon ke Gaza bagi membolehkan usaha-usaha kemanusiaan ekoran permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di Syria, seorang kanak-kanak dan bayi dilaporkan maut ekoran keadaan sejuk minggu lalu.

Malah, seorang aktivis di sebuah bandar kawalan pemberontak berkata, penduduk mengalami kesukaran untuk melindungi diri daripada kesejukan disebabkan ketiadaan bekalan elektrik, makanan dan bahan bakar.

"Kebiasaannya, kami berdepan tembakan, pertempuran, kekurangan makanan dan bahan api. Pada hari ini, keadaan bertambah buruk dengan kehadiran salji dan keadaan yang teramat sejuk," kata Abu Anas melalui internet dari bandar Hara.

Tambahnya, kanak-kanak dan warga emas merupakan golongan yang paling terjejas.

Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) terpaksa menunda bantuan udara antarabangsanya ke Syria sebelum ini dengan harapan untuk membawa masuk kira-kira 40 tan metrik bantuan dari utara Iraq.


LELAKI Palestin ini mengambil air sembahyang di kawasan Kubah Batu, Baitulmuqaddis.

Tersekat

Di bahagian timur, ribuan pengguna jalan raya telah terkandas di Iraq ekoran salji tebal.

"Anggota penyelamat telah membantu 6,600 orang dan lebih 1,700 kenderaan yang tersekat," kata Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah tempatan, Mahmoud Mozafar kepada agensi berita ISNA.

Sedang penduduk di rantau itu mengalami kesulitan, penduduk Mesir pula sibuk berkongsi gambar-gambar salji berkenaan di media sosial.

"Keseluruhan kawasan kelihatan memutih. Ia merupakan pengalaman pertama saya melihat keadaan seperti ini," kata Karim Kheirat kepada AFP melalui telefon di bandar Medinati, timur laut Kaherah.

Kawasan-kawasan pinggir bandar lain turut memperlihatkan penurunan salji.

Di Semenanjung Sinai, ribut salji telah mengakibatkan lapisan setebal beberapa sentimeter di kawasan bergunung sekitar Biara Saint Catherine buat kali pertama sejak sedekad lalu,

Sementara itu, bandar raya utara, Iskandariah hanya menerima sedikit salji tetapi pihak berkuasa telah menutup pelabuhan di sana kerana keadaan cuaca yang buruk dan angin kencang. - AFP

SUMBER:KOSMO ONLINE 

Baja kompos organik ciptaan pelajar sekolah

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo
  
PROJEK baja kompos yang diusahakan oleh pasukan Eco-Greenator dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Kesuma di Beranang, Selangor dinobatkan sebagai juara pertandingan Suara Remaja Memperjuangkan Pemuliharaan.

Ternyata usaha gigih pasukan tersebut selama beberapa bulan sejak bulan Mac 2013 tidak sia-sia.

Ketua projek, Muhammad Afiq Omaruddin, 16, mengakui kejayaan tersebut begitu bermakna buat mereka yang menyertai pertandingan tersebut buat kali pertama tahun ini.

“Alhamdulillah, rasa amat teruja apabila kami diumumkan sebagai juara pada pertandingan akhir ini. Meskipun pasukan lain juga hebat dengan pelbagai projek pemuliharaan, tetapi tuah memihak pada kami,” tutur Muhammad Afiq.

Program yang dikenali dengan singkatan YV4C itu merujuk kepada Young Voices for Conservation dianjurkan oleh pertubuhan Treat Every Environment Special (TrEES) sebagai satu inisiatif menggalakkan golongan pelajar mencintai alam sekitar. Ia telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pelajaran dan disokong oleh Affin Bank Berhad (Affinbank).


PESERTA dari SMK Bandar Tasik Kesuma memproses baja kompos di sekolah mereka.

Enam terpilih

Pada peringkat awal, sebanyak 39 pasukan dari sekolah-sekolah di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya bersaing untuk merebut tempat ke peringkat seterusnya.

Namun, hanya enam sekolah terpilih ke peringkat akhir berdasarkan projek yang diusahakan bagi memelihara alam sekitar yang berlangsung pada 12 November lalu di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar.

Pasukan tersebut terdiri daripada SMK Cheras Jaya, SMK Taman Sea, SMK Bandar Tasik Kesuma, SMK Serendah, SMK Wangsa Melawati dan SMK King George V.

Menurut Muhammad Afiq, pasukannya berjaya menghasilkan 150 kilogram baja kompos organik daripada bahan buangan taman dan sisa makanan yang diambil dari kantin sekolah.

“Kemudian, baja itu kami gunakan untuk menyuburkan taman-taman di kawasan sekitar sekolah. Malah, sebahagian daripada baja tersebut telah dijual bagi membiayai kos untuk meneruskan pelaksanaan projek ini,” jelasnya ketika ditemui.

Sepanjang program ini berlangsung, setiap pasukan tampil dengan penyelesaian sendiri untuk menghijaukan sekolah dan menggembleng tenaga warga sekolah masing-masing bagi menjayakannya.


PESERTA dari SMK Serendah bekerjasama membina pagar taman di cerun yang berhampiran kantin sekolah mereka.

Gubah taman

Selain itu, para peserta turut dibantu merancang dan melaksanakan projek melalui bengkel latihan yang diadakan oleh pihak penganjur.

Pengarah TrEES, Christa Hashim memberitahu, secara keseluruhan, lebih 65 tan bahan kitar semula seperti kertas, plastik, tin, kotak minuman dan minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan oleh sekolah-sekolah tersebut.

“Setiap pasukan juga kreatif menggubah taman yang ditanam dengan pelbagai pokok untuk mempelbagaikan tumbuhan semula jadi di sekolah masing-masing.

“Hakikatnya, melalui pertandingan ini, para peserta dapat mencungkil bakat yang ada dalam diri, meluaskan pengetahuan, menajamkan kemahiran dan mengenali erti semangat berpasukan untuk meraih kejayaan,” ungkap Christa.

Antara projek unik yang menarik perhatian ialah pemindahan kelawar yang tinggal di loteng SMK King George V di Seremban, Negeri Sembilan melalui penyediaan sarang kelawar di tempat lain.

Meskipun kelawar berguna bagi alam sekitar, tetapi guano atau najis kawanan haiwan itu mampu membahayakan kesihatan warga sekolah tersebut.


Contoh baja kompos yang dihasilkan pelajar dalam program YV4C ini.

Projek mengusahakan sebuah taman di lereng bukit di SMK Serendah bagi mengelakkan berlakunya hakisan tanah juga harus diberi pujian.

“Kami bimbang keselamatan penghuni sekolah jika berlaku hakisan tanah pada cerun-cerun yang curam bersebelahan kantin sekolah ini. Sebab itulah kami sepakat untuk menanam pokok dalam mengekalkan keutuhan tanah di situ,” kata wakil pasukan, Teh Ai Yee, 16.

Bagi pasukan dari SMK Cheras Jaya pula, kertas sisa dan bungkusan plastik dari kantin sekolah yang dahulunya dibuang kini dianggap sebagai sumber yang berharga.

Justeru, mereka bertindak mengitar semula dan menggunakan untuk mengindahkan kawasan taman. Malah, sisa kertas digunakan semula sebagai kantung pelindung sayur-sayuran dan membuat kertas lukisan serta kolaj.

Sementara itu, menggunakan sistem membuat kompos yang digelar bokashi, pasukan dari SMK Taman Sea berjaya mengurangkan sisa makanan mentah dari dapur kantin dan sisa makanan yang sudah dimasak tetapi tidak habis dimakan oleh pelajar.

Kompos bokashi ini digunakan untuk menyuburkan sepetak tanah kosong yang dijadikan kebun sayur-sayuran organik di sekolah mereka.

Usaha ini juga secara tidak langsung mendidik warga sekolah tentang cara menggunakan baja organik untuk menanam buah-buahan dan sayur.

Untuk maklumat lanjut mengenai program ini layari laman www.facebook.com/YV4C.TrEES.

SUMBER:KOSMO ONLINE 1.1.2014

Eto'o mohon maaf


ETO'O tidak mengaku salah kerana mengasari Suarez kelmarin.

LONDON - Penyerang Chelsea, Samuel Eto'o mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Jordan Henderson selepas menewaskan Liverpool 2-1 pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge kelmarin.

Bagaimanapun, Eto'o enggan mengaku salah meskipun dia dikatakan telah mengasari Luis Suarez pada perlawanan tersebut.

Eto'o, 32, dilihat mengasari Suarez dalam kotak penalti pada penghujung babak kedua selepas dia berjaya meledakkan gol kemenangan Chelsea.

Namun pengadil, Howard Webb tidak memberikan sepakan penalti kepada skuad The Reds.

Eto'o turut terlepas daripada layangan kad meskipun mengasari Henderson.

"Dalam insiden Henderson, saya mengakui ia silap saya.

"Mungkin saya boleh dilayangkan kad merah gara-gara terjahan keras itu.

"Saya bukan pengadil tetapi saya tetap mahu memohon maaf kepada Henderson," kata Eto'o.

Ketika diminta mengulas mengenai insiden pertembungan dengan Suarez, Eto'o berkata: "Memang ada berlaku pertembungan.

"Namun, ia bukan satu kesalahan sehingga Liverpool harus diberikan sepakan penalti," katanya. - Agensi

SUMBER:KOSMO ONLINE 1.1.2014

Liverpool elak buat silap


 
PEMAIN-PEMAIN Liverpool perlu mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama ketika melayan kunjungan Hull City di Anfield malam ini.

LIVERPOOL - Brendan Rodgers menegaskan bahawa Liverpool tidak akan mengulangi kesilapan yang sama ketika melayan kunjungan Hull City pada aksi Liga Perdana England di Anfield malam ini.

Skuad kendalian Rodgers itu tewas mengejut 1-3 kepada Hull City di Stadium KC pada 1 Disember lalu selepas mereka melakukan beberapa kesilapan termasuk jaringan sendiri pemain pertahanan The Reds, Martin Skrtel.

Begitupun, Rodgers tetap yakin Liverpool akan bangkit untuk memburu kemenangan pertama selepas mencatat dua kekalahan berturut-turut kepada Manchester City dan Chelsea.

"Sangat mudah kerana kami akan beraksi di laman sendiri dan kami menjangkakan kemenangan.

"Kami kecewa dengan tahap permainan kami ketika itu (1 Disember lalu). Kami beraksi jauh daripada standard sebenar tetapi anda perlu memberikan kredit kepada Hull kerana berjaya memenangi perlawanan itu.

"Namun, kami berazam untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama sekali lagi kerana perlawanan di laman sendiri sangat penting buat kami.

"Kami sedar perlawanan ini (malam ini) akan menjadi sengit sama seperti mana-mana aksi-aksi liga yang lain.

"Mereka (Hull City) baru sahaja mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas Fulham. Keputusan seperti itu jarang berlaku di saingan Liga Perdana England lebih-lebih lagi apabila kedudukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

"Ia adalah satu keputusan yang sangat hebat dicatat Hull City," kata Rodgers.

Pada aksi malam ini, Rodgers berharap kapten, Steven Gerrard akan diturunkan setelah kembali menjalani latihan bersama skuad The Reds selepas sembuh daripada kecederaan hamstring sejak 7 Disember lalu.

Bagaimanapun, Liverpool terpaksa melupakan khidmat pemain tengah, Joe Allen dan tonggak pertahanan, Mamadou Sakho yang mengalami kecederaan ketika tewas 1-2 kepada Chelsea di Stamford Bridge, Isnin lalu. - AFP

SUMBER:KOSMO ONLINE 1.1.2014

Schumacher bertambah baik

 
LOKASI di mana Schumacher terbabit dalam kemalangan ketika bermain ski di resort French Alpine di Meribel, Perancis pada Ahad lalu.

GRENOBLE, Perancis - Michael Schumacher selamat menjalani pembedahan kedua selepas ujian imbasan pada otaknya menunjukkan tanda-tanda positif semalam.

Bagaimanapun, doktor yang melakukan pembedahan itu enggan memberikan jaminan mengenai masa depan bekas juara dunia perlumbaan kereta Formula Satu (F1) itu.

Schumacher yang akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-45 pada Jumaat ini mengalami kecederaan serius di kepala selepas terjatuh dan terhantuk pada batu ketika bermain ski dalam satu percutian keluarga di pergunungan Alps, Perancis pada Ahad lalu.

Pengurus Schumacher mengesahkan bahawa insiden itu menyebabkan topi keledar yang dipakainya pecah, manakala kumpulan doktor memberikan kredit untuk dia sembuh sepenuhnya.

Keadaan Schumacher lebih stabil selepas menjalani pembedahan kedua tetapi dia masih dalam keadaan koma dan doktor enggan memberikan jaminan bila keadaan itu akan berakhir.

"Kami tidak boleh memberitahu anda secara terperinci mengenai masa depannya," kata Gerard Saillant yang juga seorang juru bedah dan rakan kepada ahli keluarganya yang kini berada di Grenoble.

Saillant berkata, sesuatu yang 'bodoh' untuk meramal mengenai proses pemulihan Schumacher.

Schumacher dan anak lelaki berusia 14 tahun bermain ski di resort French Alpine di Meribel di mana keluarganya memiliki sebuah calet apabila dia terjatuh dan sebelah kanan kepalanya terhantuk pada sebuah batu.

Pada mulanya, dia telah dikejarkan ke sebuah hospital tempatan sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Grenoble yang memiliki pasukan neurologi terbaik di Perancis.

Dr. Emmanuel Gay yang juga ketua pakar bedah saraf di hospital itu berkata, ujian imbasan otak yang dilakukan lewat Isnin lalu menunjukkan sedikit perkembangan yang positif.

Bagaimanapun, ia tidak dapat menerima tekanan yang tidak dijangka.

"Saya perlu katakan bahawa ujian imbasan otak yang dilakukan itu sungguh menakjubkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau dan beberapa doktor lain bimbang keadaan Schumacher masih tidak berubah selepas berjaya melakukan pembedahan bagi menghilangkan lebam yang besar di sebelah kiri otaknya.

"Kami tidak boleh bercakap bahawa dia terlepas daripada bahaya," kata Dr. Jean-Francois Payen yang juga ketua unit rawatan rapi hospital itu. - Agensi

SUMBER:KOSMO ONLINE 1.1.2014

Harimau Malaya hilang taring

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI-fazli.yadi@kosmo.com.my
 
IMBAS KEMBALI... Skuad Harimau Malaya meraikan kejayaan muncul juara Piala Suzuki AFF 2010.

SABAN tahun, bola sepak menutup kalendar sukan tempatan kekal dengan tradisi sebagai sukan No. 1 tanah air.

Biarpun Harimau Malaya kerap dibayangi dengan prestasi hambar, penyokong-penyokong tetap 'gila bola' dan masih sanggup memenuhi stadium.

Sepanjang tahun 2013, prestasi skuad Harimau Malaya sentiasa menjadi topik utama di setiap dada akhbar tempatan.

Apa yang pasti, 2013 bukanlah tahun yang diimpikan buat peminat serta penyokong setia bola sepak tempatan melihat prestasi skuad Harimau Malaya.

Era kejatuhan Harimau Malaya

SENTUHAN Datuk K. Rajagobal yang mula membimbing skuad Harimau Malaya sejak 2009 pasti melekat di benak fikiran peminat-peminat fanatik tempatan.

Magis Rajagobal ketika membantu Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki 2010 selain menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Loas menjadi kemuncak prestasi kariernya sebagai pengendali Harimau Malaya.

Begitupun, sentuhan luar biasa Rajagobal itu dilihat serba tidak menjadi sepanjang tahun lalu sehingga menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menyambung kontraknya yang tamat secara rasmi semalam.

Kemuncak kepada keputusan itu dibuat apabila Harimau Malaya gagal layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015 selaku dua pasukan terbaik dalam Kumpulan D.

Kini Harimau Malaya perlu mengharapkan keajaiban untuk mencuri satu slot Piala Asia 2015 selaku pasukan ketiga terbaik peringkat kumpulan.

Sebagai rekod, kali terakhir Harimau Malaya merakamkan kemenangan ialah ketika menewaskan kelab Australia, Sydney Olympic 4-0 pada aksi persahabatan Jun lalu.

Prestasi Harimau Malaya semakin dikecam selepas mereka tewas 0-5 kepada pasukan bertaraf kelab iaitu kelab Jepun, Shonan Bellmare dan Tokyo Verdy pada Julai lalu.

Seperti biasa, FAM terus menjadi 'medan' oleh pengkritik-pengkritik sebagai platform menghentam prestasi hambar Harimau Malaya.

Sejurus keputusan tersebut, FAM akhirnya mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Rajagobal yang gagal menepati Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) iaitu layak ke pentas Piala Asia 2015 di Australia.

Jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee diberikan mandat oleh FAM untuk membimbing sementara Harimau Malaya yang akan mengharungi aksi terakhir Kumpulan D Piala Asia 2015 menentang Yemen Mac depan.

Bagi pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, beliau menyifatkan tindakan FAM yang tidak melanjutkan kontrak Rajagobal bukan bersifat peribadi.

Kay Kim berkata, setiap jasa dan pengorbanan Rajagobal tetap dikenang.

"Setiap permulaan tetap akan berakhir dengan penutup. Perkara itu tidak terkecuali buat Rajagobal.

"Tidak dapat dinafikan, sumbangan Rajagobal kepada bola sepak negara cukup besar tetapi mungkin sudah tiba masanya FAM mencari jalan lain untuk meningkatkan tahap keupayaan bola sepak negara.

"Jika statistik menceritakan situasi sebenar skuad negara, FAM harus bertindak. Saya percaya FAM tidak memiliki sentimen lain (selepas tidak melanjutkan kontrak Rajagobal).

"Pada masa sama, FAM semakin terdesak untuk mencari calon-calon lebih sesuai untuk mengemudi skuad kebangsaan.

"Pada pendapat saya, kita tidak boleh lagi nak melakukan 'eksperimen' kerana kita membawa nama naik negara di pentas antarabangsa.

"Mungkin sudah tiba masanya Rajagobal berehat seketika. Paling mustahak, para penyokong harus kekal memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Harimau Malaya perlu nafas baharu

BEKAS pemain kebangsaan, Khalid Ali turut menggesa FAM mencari calon tepat untuk mengemudi skuad Harimau Malaya mulai tahun ini.

Selepas menyaksikan lebih banyak rekod buruk Harimau Malaya tahun lalu, Khalid percaya sudah tiba masanya pasukan kebangsaan diberikan nafas baharu dalam dalam usaha memperbaiki ranking dunia.

Khalid percaya Harimau Malaya memerlukan taktikal baharu dan beliau menyifatkan pengambilan jurulatih asing dilihat mampu memperkasakan skuad kebangsaan.

"Buat masa ini, kita memerlukan satu strategi baharu yang mana FAM perlu berbelanja sedikit untuk mendapatkan jurulatih-jurulatih yang berkualiti.

"Bukan saya mengatakan jurulatih kita tidak bagus tetapi buat masa ini, pengalaman mereka (pengendali import) membeza status kelas antara jurulatih tempatan.

"Jika kita masih berminat untuk mencabar kuasa-kuasa besar Asia seperti Australia, Jepun atau Korea Selatan, sudah tiba masanya kita mengorak langkah.

"Boleh dikatakan kita memiliki ramai pemain-pemain muda yang berkualiti dan dengan tunjuk ajar jurulatih-jurulatih ternama dunia, saya yakin kita mampu mencabar tiga kuasa besar Asia itu," katanya.

KOSMO ONLINE 1.1.2014

Talian hayat terakhir

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
 
AMIRULHADI mendapat ‘lampu hijau’ daripada FAM untuk menyarung jersi Johor DT mulai musim ini.

HARI ini bagaikan ‘talian hayat’ terakhir buat Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) berjuang demi mendapatkan semula bekas pemain kebangsaan, Amirulhadi Zainal.

Ini kerana, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan melanjutkan tempoh rayuan yang diberikan kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Status Pemain pada Jumaat lalu yang membenarkan Amirulhadi, 27, menyertai Johor Darul Takzim (Johor DT) musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, hari ini merupakan tarikh akhir bagi mana-mana pihak mengemukakan rayuan masing-masing selepas diberikan masa selama tiga hari bermula kelmarin.

Menurut beliau, tarikh itu tidak akan dilanjutkan biarpun hari ini merupakan cuti umum sempena Tahun Baru.

“Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, esok (hari ini) merupakan tarikh akhir buat mana-mana pihak mengemukakan rayuan masing-masing.

“Mereka telah diberikan peluang berbuat sedemikian sejak Isnin lalu (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Jumaat lalu, Jawatankuasa Status Pemain FAM yang dipengerusikan Takiyuddin membenarkan Amirulhadi menyertai Johor DT selepas mendapati kontrak selama dua tahun pemain itu bersama PBNP sebelum ini meragukan.

Namun, Amirulhadi tetap didenda RM25,000 atas dua kesalahan iaitu tidak mendedahkan keadaan sebenar kepada pasukan yang baharu ditandatangani (Johor DT) berhubung kontrak bersama pasukan terdahulu (Pahang), selain tidak membuat pengesahan dengan pasukan Pahang sebelum menyertai Johor DT.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah kelmarin juga mengesahkan Amirulhadi tidak perlu menunggu sehingga jendela perpindahan pemain dibuka semula Mac tahun depan untuk beraksi bersama Harimau Selatan.

Ini kerana, Amirulhadi telah didaftarkan sebagai pemain Johor DT sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup pada 17 Disember lalu.

Biarpun segala-galanya tampak tipis buat peminat fanatik Tok Gajah supaya Amirulhadi kekal bersama Pahang, apa jua kemungkinan masih boleh berlaku.

Mengulas lanjut, Takiyuddin memberitahu mana-mana pihak sama ada Amirulhadi, PBNP dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor perlu berhubung terus dengan Jawatankuasa Rayuan FAM jika tidak bersetuju dengan keputusan pihaknya sebelum ini.

“Ia kini dikendalikan oleh Jawatankuasa Rayuan FAM, jadi mana-mana pihak perlu berhubung terus kepada mereka jika terdapat sebarang rayuan berhubung perkara itu.

“Kami hanya akan mendedahkan sebarang perkara berbangkit (termasuk isu kontrak meragukan) kepada Jawatankuasa Rayuan FAM jika perlu,” jelasnya.

KOSMO ONLINE 1.1.2014

Rajagobal hijrah ke Singapura?

 
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

TINGGAL KENANGAN... Rajagobal mengakhiri tahun 2013 dengan melepaskan status sebagai pengendali Harimau Malaya.

DESAS-DESUS kini bertiup kencang apabila bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal dilapor bakal berkelana ke Singapura.

Spekulasi itu semakin hangat apabila Rajagobal dikatakan hampir menyatakan persetujuan untuk membimbing salah satu kelab di negara republik tersebut.

Rajagobal yang membimbing skuad negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 dan memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, kini bebas menyertai mana-mana pasukan selepas kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi tamat semalam.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Rajagobal mengakui, beliau menerima banyak tawaran untuk menjadi jurulatih pasukan baharu.

Rajagobal turut memberikan sedikit bayangan mengenai masa depannya biarpun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak tahu mengenai tawaran daripada (salah satu kelab) Singapura tetapi saya akui memang ada tawaran daripada pasukan-pasukan lain.

“Kita tengoklah macam mana. Jika tiada aral melintang, saya rasa tiada masalah untuk berbincang (dengan mana-mana pasukan).

“Saya mahu menilai terlebih dahulu setiap tawaran yang saya terima dan saya tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.

“Saya akan fikirkan kemudian dan buat masa ini, saya mahu berehat bersama keluarga,” kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Rajagobal berkata, beliau akan mengumumkan mengenai hala tuju terbaharunya jika telah bersetuju menerima tawaran daripada mana-mana pihak.

“Seperti yang saya katakan tadi, memang ada tawaran tetapi saya akan maklumkan kepada semua pihak jika ada sesuatu yang baharu,” katanya.

Pada November lalu, FAM memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dengan bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu yang mula membimbing skuad Harimau Malaya sejak 2009.

Ini kerana Rajagobal gagal memenuhi Petunjuk Prestasi Indeks (KPI) yang ditetapkan FAM iaitu layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

KOSMO ONLINE 1.1.2014

Prestasi pelajar luar bandar meningkat

MARAN 30 Dis. - Usaha kerajaan dalam merapatkan jurang pendidikan pelajar luar bandar menunjukkan peningkatan apabila jumlah pelajar cemerlang kawasan itu kini hampir menyamai mereka di luar bandar.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, perkara itu dapat dilihat dengan pencapaian murid dan pelajar yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut beliau, pencapaian berkenaan membuktikan bahawa pendidikan negara berada pada tahap kelas antarabangsa hasil pelaburan besar kerajaan dalam sektor tersebut.

"Kejayaan itu juga turut disokong dengan komitmen tinggi pelbagai pihak termasuk guru, wakil rakyat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Taraf penyediaan mutu pendidikan terbaik itu secara tidak langsung menyaksikan negara ini menjadi tumpuan serta destinasi pelancongan pendidikan popular di dunia khususnya dari Asia dan benua Afrika," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang memperoleh 5A dalam UPSR serta 7A dan 9A bagi PMR di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, sebagai pelajar cemerlang, penetapan matlamat amat penting dalam menentukan hala tuju pembelajaran yang menjadi perintis kepada kejayaan yang lebih besar.

Beliau juga mengingatkan pelajar khususnya beragama Islam supaya menetapkan matlamat selari dengan tuntutan agama dan syariat.

"Matlamat yang ditetapkan perlu seiring dengan penetapan sasaran yang akan menjurus kepada terlaksananya matlamat tersebut," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20131231/wp_03/Prestasi-pelajar-luar-bandar-meningkat#ixzz2p6Cyxe1q © Utusan Melayu (M) Bhd

Empat pelajar cemerlang dapat anugerah khas

 
ROSDI Ismail (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Ismail Mohamed Said (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nurhanis Anis Fadzilah di SMK Kuala Krau, Pahang, baru-baru ini.
KUALA KRAU 31 Dis. - Empat pelajar, termasuk Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU) merupakan antara 416 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang menerima anugerah kecemerlangan pendidikan Parlimen Kuala Krau di sini baru-baru ini.

Mereka menerima hadiah berupa wang tunai dan sijil yang disumbangkan oleh Yayasan Pahang (YP) dan UMNO Bahagian Kuala Krau dengan nilai keseluruhan RM51,900 dalam majlis yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau.

Pelajar Orang Asli, Nurzimah Sabaruddin, 15, menerima Anugerah Khas Parlimen Kuala Krau apabila memperoleh 7A dalam PMR tahun ini.

Nurzimah yang bersekolah di SMK Kuala Krau dan tinggal di Kampung Pasu merupakan antara calon anak Orang Asli terbaik peringkat kebangsaan.

Seorang pelajar OKU, Norhanis Arif Fadzilah, 15, yang mendapat 6A dalam PMR turut menerima anugerah tersebut.Dua pelajar SMK Jengka 18, Noratikah A. Aziz, 15, dan Siti Syamila Anis Md. Salleh, 15, yang memperoleh 8A juga menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said.

Ismail ketika ditemui berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah meletakkan asas pendidikan terbaik kepada rakyat melalui bajet tahunan.

"Infrastruktur pendidikan negara adalah antara yang terbaik di dunia dan patut dimanfaatkan sebaik mungkin oleh rakyat kerana perkara itu menjadi asas kepada kejayaan akademik," katanya.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamad Jaafar dan Pengarah Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20140101/wp_02/Empat-pelajar-cemerlang-dapat-anugerah-khas#ixzz2p6BKUhwX © Utusan Melayu (M) Bhd

Perlis juara Piala Emas Raja-Raja ke-73

 
Pasukan Perlis dinobatkan sebagai juara perlawanan akhir Proton Piala Emas Raja-Raja 2013 selepas berjaya menewaskan pasukan Kedah melalui sepakan penalti, 7-6 di Stadium Darul Aman di sini malam ini. - BERNAMA
ALOR SETAR - Perlis mengulangi kejayaannya pada 2009 apabila muncul juara Proton Piala Emas Raja-raja 2013 bagi edisi ke-73 selepas menundukkan Kedah 7-6 menerusi penentuan penalti di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Pada edisi ke-69 (2009) Perlis menundukkan Kedah dengan jaringan 2-0.

Perlawanan itu terpaksa ditentukan menerusi tendangan penalti selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan selepas masa tambahan.

Jaringan penalti pasukan Perlis dijaringkan oleh Mohd. Ikmal Faiz Azmi, Anas Shaharom, Nashrul Syazrin Roslan, Andrien Jurad Chamrong, Mohammad Haziq Muiz Abdul, Muhammad Nasri Ahmad Tauhid dan Mohd. Hazwan Zainun, manakala gol Kedah disempurnakan Muhammad Syafiq Ahmad, Mohd. Irwan Syazmin Wahab, Mohamad Syamim Alif Sobri, Mohd. Kamal Azira Abd Manah, Mohammad Ridzuan Rumlee dan penjaga gol, Mohd. Muhaimin Mohamad.

Aksi kedua-dua pasukan yang agak seimbang dan saling berbalas serangan gagal untuk diterjemahkan dalam bentuk gol dalam tempoh 120 minit.

Trofi kejuaraan disampaikan oleh Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah yang juga Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah. - BERNAMA

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131231/su_05/Perlis-juara-Piala-Emas-Raja-Raja-ke-73#ixzz2p6ABDcj3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Azamuddin sedia 'berkorban'

 
Mohd. Azamuddin Akil (kiri) bersedia mengorbankan posisi sebagai penyerang demi memberi laluan kepada pemain import, Dickson Nwakaeme.
MARAN - Pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia 2013, Mohd. Azamuddin Mohd. Akil sanggup meninggalkan posisinya sebagai penyerang bagi memberi laluan kepada pemain import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme yang akan beraksi bersama Tok Gajah musim depan.

Azamuddin berkata, Pahang mungkin akan menggunakan gandingan dua penyerang import iaitu Nwakaeme serta Matias Conti di bahagian serangan dan dia sedia beraksi diposisi lain.

"Kehadiran Nwakaeme akan memberi suntikan baharu kepada Tok Gajah untuk mengharungi Liga Malaysia musim depan dan kemampuannya telah terbukti ketika bersama Kelantan sebelum ini.

"Jika jurulatih menggunakan dua penyerang import bermakna saya akan bermain di posisi lain jika ingin disenaraikan dalam kesebelasan utama," katanya.

Dia berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis Perarakan Piala Malaysia di Bandar Tun Razak, Jengka dekat sini semalam bersama lapan lagi pemain Pahang iaitu Conti, Azidan Sarudin, Mohd. Hafiz Kamal, Mohd. Syawal Norsam, Mohd. Zaiza Zainal Abidin, R. Gopinathan, Mohd. Nasril Nourdin dan Mohd. Hazry Rozali.

Azamuddin memberitahu, semangat kerjasama dalam pasukan yang selalu diterapkan oleh jurulatih membuatkannya sanggup bermain di mana-mana posisi selain penyerang.

"Saya tidak kisah jika tidak diberi peluang sebagai penyerang utama kerana apa yang penting adalah kebaikan kepada pasukan kerana jurulatih lebih mengetahui siapa layak menggalas tugas sebagai penyerang," ujarnya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131231/su_04/Azamuddin-sedia-berkorban#ixzz2p698COnw © Utusan Melayu (M) Bhd