Ad

Tuesday 31 December 2013

Talian hayat terakhir

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
 
AMIRULHADI mendapat ‘lampu hijau’ daripada FAM untuk menyarung jersi Johor DT mulai musim ini.

HARI ini bagaikan ‘talian hayat’ terakhir buat Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) berjuang demi mendapatkan semula bekas pemain kebangsaan, Amirulhadi Zainal.

Ini kerana, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan melanjutkan tempoh rayuan yang diberikan kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Status Pemain pada Jumaat lalu yang membenarkan Amirulhadi, 27, menyertai Johor Darul Takzim (Johor DT) musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, hari ini merupakan tarikh akhir bagi mana-mana pihak mengemukakan rayuan masing-masing selepas diberikan masa selama tiga hari bermula kelmarin.

Menurut beliau, tarikh itu tidak akan dilanjutkan biarpun hari ini merupakan cuti umum sempena Tahun Baru.

“Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, esok (hari ini) merupakan tarikh akhir buat mana-mana pihak mengemukakan rayuan masing-masing.

“Mereka telah diberikan peluang berbuat sedemikian sejak Isnin lalu (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Jumaat lalu, Jawatankuasa Status Pemain FAM yang dipengerusikan Takiyuddin membenarkan Amirulhadi menyertai Johor DT selepas mendapati kontrak selama dua tahun pemain itu bersama PBNP sebelum ini meragukan.

Namun, Amirulhadi tetap didenda RM25,000 atas dua kesalahan iaitu tidak mendedahkan keadaan sebenar kepada pasukan yang baharu ditandatangani (Johor DT) berhubung kontrak bersama pasukan terdahulu (Pahang), selain tidak membuat pengesahan dengan pasukan Pahang sebelum menyertai Johor DT.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah kelmarin juga mengesahkan Amirulhadi tidak perlu menunggu sehingga jendela perpindahan pemain dibuka semula Mac tahun depan untuk beraksi bersama Harimau Selatan.

Ini kerana, Amirulhadi telah didaftarkan sebagai pemain Johor DT sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup pada 17 Disember lalu.

Biarpun segala-galanya tampak tipis buat peminat fanatik Tok Gajah supaya Amirulhadi kekal bersama Pahang, apa jua kemungkinan masih boleh berlaku.

Mengulas lanjut, Takiyuddin memberitahu mana-mana pihak sama ada Amirulhadi, PBNP dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor perlu berhubung terus dengan Jawatankuasa Rayuan FAM jika tidak bersetuju dengan keputusan pihaknya sebelum ini.

“Ia kini dikendalikan oleh Jawatankuasa Rayuan FAM, jadi mana-mana pihak perlu berhubung terus kepada mereka jika terdapat sebarang rayuan berhubung perkara itu.

“Kami hanya akan mendedahkan sebarang perkara berbangkit (termasuk isu kontrak meragukan) kepada Jawatankuasa Rayuan FAM jika perlu,” jelasnya.

KOSMO ONLINE 1.1.2014

No comments:

Post a Comment