Ad

Friday 27 December 2013

Amirulhadi sah milik JDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my
 
Amirulhadi keluar dari bilik jawatankuasa tatatertib FAM selepas mendengar keputusan kes beliau di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
PETALING JAYA - Pemain tengah kontroversi, Amirulhadi Zainal didapati menandatangani kontrak yang sah dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk mewakili Johor Darul Ta‘zim tetapi didenda RM25,000 kerana melanggar Peraturan Status dan Perpindahan Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pemain berkenaan melakukan dua kesalahan di bawah Artikel 2 Perenggan 5(C)(i) dalam Lampiran 3A peraturan iaitu pertama, dia tidak mendedahkan keadaan sebenar kepada pasukan yang baharu ditandatangani (Johor Darul Ta‘zim) tentang kontrak permainan yang terdahulu (Pahang).

“Kedua, dia tidak membuat pengesahan dengan pasukan Pahang (atau Persatuan Bola Sepak Pahang - PBP) yang dia telah tandatangani terdahulu bagaimana kedudukannya sebelum pergi kepada pasukan baharu dan (menandatangani) kontrak baharu," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Kata Takiyuddin, Amirulhadi dikehendaki membayar denda itu kepada FAM, namun mana-mana pihak sama ada pemain, PBP atau PBNJ yang jika tidak berpuas hati dengan keputusan ini, mempunyai tempoh tiga hari bekerja (tidak termasuk cuti umum) untuk membuat rayuan kepada FAM (Jawatankuasa Rayuan).

“Memandangkan kontrak PBNP tidak sah, maka pendaftaran pemain itu oleh Pahang juga tidak sah. Namun, PBNJ mesti berurusan balik dan merujuk dengan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM kerana ini kes istimewa mengenai sama ada dia sah didaftarkan atau tidak," katanya.

Tanpa mahu mendedahkan alasan sebenar kontrak Pahang tidak sah dan didapati meragukan itu, kata Takiyuddin, secara umumnya sesuatu kontrak itu menjadi sah hanya kalau ditandatangani semua pihak berkenaan.

‘‘Perlu dinyatakan jelas apakah terma dan syarat yang perlu dinyatakan atau dengan kata lain kalau tandatangani kontrak kosong, itu tidak sah.

“Kami mendapati ada keraguan dalam kontrak ini, justeru (Pahang) tidak berhak pada apa-apa pampasan perpindahan. Perjanjian dengan PBNJ sah kerana ketika (Amirulhadi) menandatangani perjanjian dengan mereka, dia dianggap bebas. Oleh kerana tiada kontrak sah, dianggap tiada kontrak (dengan Pahang). Denda itu kerana dia melanggar peraturan FAM dan dibayar kepada FAM, bukan Pahang atau Johor," katanya.

Kata Takiyuddin, kes pemain itu dibuka kerana PBNJ telah menulis surat rasmi untuk meminta rujukan daripada FAM, malah jawatankuasanya memanggil kedua-dua pasukan berkenaan sebelum itu lagi kerana berasa isu kontrak pemain perlu diberikan perhatian serius oleh pasukan atau pemain yang melibatkan dokumen undang-undang dan boleh menjadi tidak sah jika tersilap.

Sementara itu, jawatankuasa juga mengarahkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) membayar RM34,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL) berupa kos latihan pemain Harimau Muda A, Ahmad Hazwan Bakri yang sebelum itu mewakili Kuala Lumpur selama 34 bulan mulai 2008 hingga Oktober 2011.

“Isunya bukan siapa salah, siapa betul atau buat pusingan U tetapi berapa pampasan yang perlu diberikan kepada pasukan KL atas pemergian pemain ini ke Selangor. Formula kami yang berdasarkan peraturan status FAM dan FIFA hanya membenarkan kos latihan, bukan pampasan perpindahan.

“Pemain ini telah dilatih Kuala Lumpur selama 34 bulan bermula 2008 hingga Oktober 2011. Kos untuk melatih seorang pemain menjadi pemain yang baik tidak termasuk gaji ialah RM1,000 sebulan. PBKL menuntut dibayar RM200,000 manakala FAS menawarkan kurang daripada yang kami kenakan, RM25,000," jelasnya.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131228/su_01/Amirulhadi-sah-milik-JDT#ixzz2oicNw2EG © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment