Oleh FERZALFIE FAUZI-ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Lee Chong Wei
KUALA LUMPUR - Jaguh
perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei bukan sahaja menamatkan musim 2013
dengan kekal di ranking No.1 dunia, malah menjadi pemain badminton yang
memperoleh hadiah wang kemenangan terbanyak dalam kejohanan Persekutuan
Badminton Dunia (BWF).
Semalam portal badminton
terkenal, badzine mengeluarkan senarai 50 pemain yang berjaya meraih kutipan
hadiah wang tunai terbanyak dan Chong Wei menjadi satu-satunya wakil negara
yang berada dalam senarai tersebut.
Chong Wei yang masih segar
dengan kejuaraan Siri Super Akhir 2013 bulan lepas, berada di tangga teratas
dengan mengutip hampir AS$300,000 (RM982,000), manakala menduduki tangga kedua
pemain wanita China, Zhao Yunlei.
Sejak 27 Disember 2012, Chong
Wei berjaya mengekalkan ranking No.1 dunia sehinggalah ia baru dikemaskini pada
26 Disember 2013, namun pemain dari Pulau Pinang itu mungkin sedikit terkilan
kerana masih gagal meraih gelaran dunia selepas tewas kepada seteru utama, Lin
Dan dalam perlawanan akhir di Guangzhou Ogos lalu.
Chong Wei menyertai 13
kejohanan tahun lalu dengan berjaya muncul juara Super Siri Premier Terbuka
Korea, Siri Super Terbuka Malaysia, Siri Super Terbuka India, Siri Super
Premier Terbuka Indonesia, Siri Super Terbuka Jepun, Siri Super Hong Kong dan
Siri Super Akhir di Kuala Lumpur.
Selain Kejohanan Dunia, Chong
Wei juga terpaksa akur dengan seorang lagi pemain China, Chen Long apabila
tewas kepada pemain tersebut dan muncul naib juara di All England dan Super
Siri Premier Denmark.
Pada Grand Prix Emas Australia,
Chong Wei terkandas di separuh akhir apabila tumpas kepada pemain China, Tian
Houwei. Dia juga kalah kepada Kenichi Tago dari Jepun, juga di separuh akhir
Siri Super Hong Kong.
Bagaimanapun, wang tunai yang
berjaya diraih Chong Wei sebenarnya lebih daripada yang dikeluarkan badzine
kerana dia juga beraksi pada beberapa kejohanan bukan dalam kalendar BWF
seperti Liga China, Indonesia dan India.
Kesemua liga tersebut
menawarkan hadiah yang lumayan, malah dia turut menerima yuran penampilan.
Selain menerima bayaran dengan
menyertai setiap kejohanan tersebut, Chong Wei juga menjadi duta beberapa
syarikat ternama.
Kedudukan Chong Wei yang
merupakan satu-satunya pemain Malaysia berada dalam kelompok 50 tersebut
membuktikan bahawa standard dia dan pemain-pemain Malaysia yang lain terlalu
jauh.
Musuh tradisi Chong Wei, Lin
Dan memang tidak menyertai beberapa kejohanan tahun ini dan gagal menempatkan
diri dalam ranking 100 terbaik dunia, namun dia masih lagi boleh berbangga
menjadi pemain badminton meraih pendapatan lumayan kerana menurut sumber dia
mendapat kontrak di China yang mencecah enam angka setahun.
Yunlei, juara Sukan Olimpik
muncul pemain kedua mengutip hadiah kemenangan terbanyak dengan meraih
AS$167,195 (RM547,647).
Kemampuannya beraksi cemerlang
dalam dua acara, beregu wanita dan campuran membolehkannya menikmati habuan
besar.
Selain Yunlei sembilan lagi
pemain China, Li Xuerui, Zhang Nan, Bao Yixin, Wang Shixian, Wang Xiaoli, Yu
Yang, Tang Jinhua, Wang Yihan dan Chen Long berada dalam kelompok 15 pemain
yang menerima hadiah kemenangan tertinggi.
SUMBER RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140101/su_01/Chong-Wei-tuai-hasil-lumayan#ixzz2p61mKOq8
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment