Ad

Tuesday 31 December 2013

Berita utama sepanjang tahun

 
TIRAI tahun 2013 berlabuh hari ini dengan pelbagai kisah suka duka dan pahit manis yang semuanya akan dikenang dalam satu lagi lipatan sejarah sepanjang 365 hari yang telah dilalui.

Insiden berdarah pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, kes tembak yang berleluasa, fenomena jerebu dan kisah seorang wanita Malaysia yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London antara peristiwa besar yang menjadi tajuk utama akhbar tahun ini.

Pengganas Jamalul Kiram ceroboh Lahad Datu

KIRA-KIRA 150 pengganas Sulu menceroboh daerah Lahad Datu di Sabah sejak 12 Februari. Penceroboh dari selatan Filipina itu dipimpin Raja Muda Agbimuddin Kiram atas arahan Jamalul Kiram III yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Selepas rundingan secara baik gagal, pasukan keselamatan negara telah melancarkan Ops Daulat pada 5 Mac bagi mengusir kumpulan pengganas berkenaan keluar dari pusat lokasi persembunyian mereka di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Sepanjang dua bulan tempoh konflik berkenaan, seramai 67 anggota kumpulan pengganas maut manakala sembilan orang anggota keselamatan negara gugur.

Mereka ialah Asisten Supritendan (ASP) Zulkifli Mamat, 29; Sarjan Sabaruddin Daud, 46; Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, 52; ASP Michael Padel, 36; Sarjan Abdul Azis Serikon, 48; Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27; Sarjan Detektif Baharin Hamit, 49; Sarjan Salam Togiran, 42; Koperal Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan, 21.

Pada 7 Mac, kerajaan mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi memantapkan lagi pasukan Angkatan Tentara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Imigresen.

Jamalul Kiram meninggal dunia di Manila pada 20 Oktober akibat kegagalan fungsi organ.


KUANTAN, Pahang hampir lumpuh akibat banjir besar.

Musibah banjir hujung tahun

AWAL Disember lalu, bencana banjir yang melanda negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Johor bukan sahaja menyebabkan kemusnahan harta benda, tetapi juga kehilangan nyawa.

Malah, direkodkan seramai 64,272 mangsa terpaksa berlindung di lebih 200 pusat pemindahan banjir di seluruh negara. Selain itu, tiga orang terkorban akibat banjir iaitu Mohamad Ashraf Mohd. Nor, 17 yang lemas di Kemaman, Terengganu serta dua beranak, Megat Mohd. Nazli Jamali, 17, dan bapanya, Jamali Jani, 45. Kedua-dua mereka lemas selepas bot yang dinaiki terbaik di Sungai Isap, Kuantan, Pahang.

Darurat jerebu jejas 1.46 juta pelajar

FENOMENA jerebu yang melepasi bacaan 300 Indeks Pencemaran Udara (IPU) iaitu kategori tahap bahaya memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengisytiharkan Darurat Bencana Jerebu di beberapa negeri pada 23 Jun. Berikutan itu, sebanyak 1,817 buah sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Johor ditutup selama beberapa hari. Seramai 1.46 juta pelajar terlibat dalam penutupan sekolah itu.

SUMBER RUJUKAN: KOSMO ONLINE 31.12.13

No comments:

Post a Comment