KUALA LUMPUR - Hari ini
merupakan detik terakhir yang bakal memahat 1001 nostalgia dalam arena sukan
negara mahupun antarabangsa apabila tahun 2013 bakal berlalu pergi sementara
tirai 2014 sedang mengintai masuk dalam tempoh beberapa jam lagi.
Turut menerima tempias
adalah kontrak Datuk K. Rajagobal selaku jurulatih Harimau Malaya akan tamat
secara rasminya setelah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berhasrat
menyambung khidmatnya, manakala esok pula, bermulalah langkah baharu jurulatih
sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee untuk menggalas tanggungjawab
sukan No. 1 dunia itu.
Menurut Kim Swee, yang
juga pengendali skuad Harimau Muda A, segala perancangan kini berada di dalam
genggamannya bagi mengatur corak permainan di samping berkemungkinan besar
merombak jentera Harimau Malaya selepas melihat ada di antara pemain yang
selama ini telah dinafikan bakatnya.
Pastinya, beliau membuat
pemilihan pemain berdasarkan prestasi semasa mereka sepanjang kempen Liga
Malaysia, malah harapan peminat bola sepak tanah air untuk melihat beberapa
bintang liga tempatan mendapat tempat dalam skuad kebangsaan dan menyarung
jersi Malaysia mampu menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, Kim Swee
enggan menyebut siapa pemain yang bakal membarisi skuad Harimau Malaya
bimbingannya kelak, tetapi mengakui prestasi semasa mereka antara kriteria
utama yang akan menjadi sandaran dalam membentuk pasukan, yang masih mempunyai
peluang tipis untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2015.
"Buat masa ini, saya
mahu tunggu kempen liga Malaysia bermula sebelum saya memutuskan siapa yang
akan dipilih. Sudah tentu ada bakat-bakat terpendam yang harus kita gilap.
"Tidak semestinya
pemain-pemain yang sedia ada akan dikekalkan. Mereka harus merebut tempat dalam
kesebelasan utama dalam setiap kelab yang mereka wakili dan semestinya,
prestasi semasa menjadi tanda aras pemilihan.
"Kemungkinan besar
ada perubahan. Sebab ada sedikit bayangan, tetapi yang pastinya saya mahu
menilai prestasi mereka dalam dua atau tiga perlawanan liga dahulu, dari situ
saya akan dapat gambaran penuh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia
di sini, semalam.
Bintang tengah Kelantan
yang muncul Pemain Paling Bernilai 2013, Mohd. Badri Radzi antara pemain yang
dijangka menjadi anggota baharu skuad kebangsaan.
Harimau Malaya yang
mengumpul empat mata kini menduduki tangga ketiga dalam Kumpulan D dan
dijadualkan bertemu Yaman di tempat lawan dalam saingan kelayakan Piala Asia
AFC 2015 pada 5 Mac akan datang.
Mengulas lanjut mengenai
tarikh bagi Harimau Malaya memulakan sesi latihan, pengendali kelahiran Melaka
itu memberitahu, mereka akan bertemu pada penghujung bulan Februari nanti
memandangkan perlu akur kepada jadual perlawanan domestik.
"Sebab kita ada liga
dan ada jadual untuk pasukan kebangsaan bersiap sedia sebelum perlawanan
kelayakan itu nanti. Berkemungkinan 20 Februari tahun depan kita sudah boleh
mengadakan sesi latihan," ujarnya.
SUMBER RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131231/su_01/Kim-Swee-bayang-buat-rombakan#ixzz2p09egdas
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment